UIAM Kampus Kuantan: Cita dan Cinta Kami

Brotherhood Tour @ IIUM Kuantan.
(Gambar: Muhamad Hanif Sahidi/Md. Shakil Sarker)
Macam baru semalam saya mendakapnya dengan cukup erat, berkongsi kasih sayang bersama-sama. Macam baru semalam saya beramah mesra dengannya, berkongsi segala idea bernas dan pengalaman luas, tak kurang juga cerita suka dan duka. Macam baru semalam kami bersatu suara dan irama, memecah dan memeriahkan suasana.

Rupa-rupanya, hari-hari itu sudahpun berlalu pergi. Yang tinggal hanyalah kenangan dan pengajaran.

Mendengar Luahan Rasa (Raqib Majid, 2011), walaupun pengisiannya sungguh serupa dengan Kupu-kupu Cinta (Renanda Lastri, 2012; Awang Abdul Muizz Awang Marusin, 2014), saya rindu. Mungkin kerana Luahan Rasa yang saya dengari lebih sayu; lebih-lebih lagi apabila dibawakan oleh penyair mahupun penyanyi yang amat sinonim dengan nada dan jiwa yang sepatutnya.

Tuhan, dengarkan aku
ingin meluahkan rasa hati

Tuhan, izinkan aku
ingin menyanjung hati si dia

Ku harap
bisa membahagiakan dia
selamanya dengan restuMu.

(Raqib Majid, Luahan Rasa, 2011)

Saya menjiwai nada sayu tersebut ketika mendengar gemersik suara beliau menyanyikan Luahan Rasa pada satu majlis di Kuantan pada Disember 2013. Video tersebut ada dalam simpanannya di muka buku.

Saya menemui beliau – seseorang yang saya maksudkan itu – di UIAM Kampus Kuantan, 236 kilometer daripada kampus induk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sampai ke saat ini, saya masih terngiang-ngiang suaranya. Rindu agaknya. Apa tidaknya, betapa indahnya saat-saat itu semua.

Saya membawa diri menemuinya di sana bukanlah kerana apa-apa, tetapi kerana ingin berkongsi cita dan cinta kami dengan mereka, untuk bersatu sebagai satu walaupun jarak jauh dan lokaliti membezakan; dan pada masa yang sama, untuk meluaskan silaturrahim.

Tuan rumah dan ketua delegasi bergambar bersama
di Perpustakaan UIAM Kuantan.
(Gambar: Muhamad Hanif Sahidi)
Saya terhutang budi sesungguhnya dengan sahabat senior saya, Muhammad Lutfi Azmi. Di tengah-tengah kesibukan, beliau masih sudi untuk bersama saya selama saya menjejak kaki ke UIAM Kampus Kuantan, merealisasikan hasrat kami yang murni.

Bersama warga kerja Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman (MRC) as-Siddiq dan Ruqayyah, saya turut berterima kasih setinggi-tingginya kepada warga kerja Mahallah Khalid al-Walid, Fatimah az-Zahra dan Ummu Kalthum; lebih-lebih lagi MRC mereka. Pada waktu mereka semua merancang dan bersedia untuk sesuatu yang lebih besar, mereka masih sudi menerima kehadiran kami, merasai sendiri keunikan UIAM Kampus Kuantan.

Lawatan Muhibbah ke UIAM Kampus Kuantan (Cawangan Indera Mahkota) (Brotherhood Tour @ IIUM Kuantan) adalah titik temunya. Lawatan muhibbah tersebut selamat disempurnakan pada 17-19 April 2015 hasil kerjasama dan perkongsian pintar 5 buah kolej kediaman (Mahallah) di UIAM Kampus Gombak dan Kuantan – Mahallah as-Siddiq dan Mahallah Ruqayyah sebagai delegasi; Mahallah Khalid al-Walid, Mahallah Fatimah az-Zahra dan Mahallah Ummu Kalthum sebagai tuan rumah.

Program ini adalah yang kedua diadakan hasil daripada hasrat saya untuk merapatkan jurang antara komuniti UIAM di Kampus Gombak dan Kampus Kuantan, untuk menjiwai kehadiran UIAM Kampus Kuantan sebagai saudara kepada kampus-kampus UIAM yang lain, dan untuk memberi peluang cerah kepada warga UIAM Kampus Gombak untuk merasai suasana UIAM Kampus Kuantan.

Mendahului program ini adalah Latihan Intensif sempena Kejohanan Debat Bahasa Arab antara Institusi Pengajian Tinggi sempena Sambutan Maal Hijrah 1436 yang telah dijayakan oleh Kelab Debat dan Pengucapan Awam Bahasa Arab UIAM (IIUM Munazarah) pada 17-19 Oktober 2014. Idea tersebut datang setelah saya, buat pertama kalinya, mengunjungi UIAM Kampus Kuantan di Bandar Indera Mahkota dan Gambang, pada 3-5 September 2014, atas jemputan pentadbiran Pusat Asasi UIAM.

Pada ketika itu, UIAM Kampus Kuantan (Cawangan Asasi Gambang) menjadi tuan rumah kepada latihan ini. Hasil daripada latihan tersebut, seramai 8 orang terpilih untuk mewakili UIAM ke pertandingan tersebut, yang akhirnya menyaksikan kejayaan UIAM mengekalkan trofi Johan Kategori Terbuka.

Mengingati peristiwa tersebut, saya terhutang budi dengan semua yang terlibat, terutamanya warga kerja Pusat Asasi UIAM, Gambang, atas segala pertolongan yang diberikan dan kerjasama yang ditunjukkan sehingga program tersebut berjaya dilaksanakan dan berjaya memberi impak positif kepada rekod cemerlang UIAM dalam bidang debat dan pengucapan awam bahasa Arab. Mudah-mudahan Allah SWT membalas segala budi mereka dengan ganjaran berlipat kali ganda.

Hasrat untuk mengadakan Lawatan Muhibbah ke UIAM Kuantan bermula pada pertengahan Februari; hampir-hampir pada penghujung Februari. Di tengah-tengah kesibukan mengurus dan merancang sesuatu sempena Karnival Sukan UIAM (ISC) 2015, Alhamdulillah, kami masih diberikan kesempatan untuk merancangnya sehinggalah Kunjungan Hormat ke UIAM Kuantan pada 13-15 Mac berjaya direalisasikan.

Kunjungan tersebut menjadi garis permulaan kepada 5 buah Mahallah yang terlibat di UIAM Kampus Gombak dan Kuantan untuk memulakan perkongsian pintar dengan merealisasikan Lawatan Muhibbah ke UIAM Kuantan. Mesyuarat pada 14 Mac yang dihadiri oleh wakil-wakil pemimpin Mahallah di kedua-dua kampus mencapai suatu konsensus untuk memulakan perancangan lawatan tersebut.

Kunjungan tersebut juga menjadi peluang kepada saya untuk bertemu semula dengan sahabat-sahabat dan rakan-rakan yang pernah bersama saya di UIAM Kampus Petaling Jaya pada Jun 2012 hingga Oktober 2013. Entah berapa ramailah yang saya telah temui pada saat itu. Saat saya menemui mereka, teringat di minda dan jiwa, betapa saat-saat saya bersama mereka dahulu di sana mempunyai nilai nostalgia yang tiada tolok bandingnya.

Alhamdulillah. Pada hari yang telah ditentukan, Lawatan Muhibbah tersebut berjaya direalisasikan. Lawatan tersebut mempunyai 4 segmen. Segmen pertama adalah aktiviti-aktiviti berpusat, yang mana setiap ahli delegasi dilibatkan untuk melakukan aktiviti-aktiviti berkumpulan yang berkaitan dengan bidang kerja seorang pemimpin residen kolej kediaman. Bagi Mahallah as-Siddiq, aktiviti-aktiviti sedemikian merupakan kesinambungan kepada program Latihan Kepimpinan Mahallah as-Siddiq 2015 yang berjaya diadakan pada 4 April, melibatkan wakil-wakil kolej kediaman dan wakil-wakil sokongan mereka.

Sebelum itu, dalam segmen yang sama, para ahli delegasi dibawa melawat ke hampir semua bangunan yang dibina UIAM Kampus Kuantan, termasuklah Kulliyyah Pergigian yang memiliki pusat latihan pergigian dan klinik pergigian yang termoden dan tercanggih di Asia. Aktiviti ini turut melibatkan Cawangan Jalan Hospital, tempat letaknya Kulliyyah Kejururawatan.

Perhimpunan Wakil-wakil Kolej Kediaman
UIAM Gombak-Kuantan.
(Gambar: Muhamad Hanif Sahidi)
Lawatan Kemasyarakatan (Care Visit) ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, pula merupakan segmen kedua bagi program ini. Melalui lawatan tersebut, semua ahli delegasi diberi pendedahan mengenai operasi hospital dan diberi penerangan mengenai keadaan sebahagian pesakit yang ditahan di wad-wad berkaitan. Pada segmen tersebut, UIAM telah menghadiahkan beberapa buah tangan kepada para pesakit sebagai tanda kasih sayang warga UIAM sebagai sebahagian daripada masyarakat.

Segmen ketiga, Perhimpunan Wakil-wakil Kolej Kediaman UIAM Gombak-Kuantan (IIUM Gombak-Kuantan Mahallah Representatives' Assembly), merupakan suatu segmen yang terpenting bagi Lawatan Muhibbah ini. Bagi tuan rumah dan delegasi, Perhimpunan ini amat simbolik melihat kepada peranannya yang penting dalam mencorakkan masa muka kolej-kolej kediaman di kedua-dua buah kampus.

Perhimpunan ini menjadi bermakna dengan kehadiran beberapa orang yang pernah bersama saya dalam MRC UIAM Kampus Petaling Jaya 2012/2013. Lebih-lebih lagi, apabila mereka diraikan dan diberikan penghargaan di dalam Perhimpunan ini kerana perkhidmatan mereka pada masa lalu.

Perhimpunan ini menjadi lebih bermakna apabila kedua-dua orang terpenting dalam Lawatan Muhibbah ini bersatu suara, menyanyikan Kupu-kupu Cinta, yang menjadi simbolik kepada kewujudan semula hubungan antara pemimpin-pemimpin residen kolej kediaman di UIAM Kampus Gombak dan Kuantan.

Pertemuan ini menjadi suatu bererti
di kala diri menepi untuk warna-warna hati

(Renanda Lastri, Kupu-kupu Cinta, 2012)

Melalui Perhimpunan ini, semua ahli diberi peluang untuk berkongsi pengalaman dan idea sepanjang memimpin kolej kediaman. Melalui Perhimpunan ini juga, semua ahli dilibatkan dalam perbincangan yang berfokus kepada usaha untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku di kolej kediaman masing-masing.

Hari Persaudaraan (Brotherhood Day) yang menjadi segmen terakhir Lawatan Muhibbah ini tidak kurang juga pentingnya. Walaupun segmen ini berfokus kepada perkongsian pengalaman sepanjang Lawatan Muhibbah berlangsung, segmen ini menjadi ruang kepada kesemua 5 buah Mahallah untuk meraikan persahabatan dan persaudaraan antara tuan rumah dan delegasi, dan menjadi wadah untuk mereka semua mempersembahkan doa dan harapan agar hubungan sebegini rupa dikekalkan.

Secara keseluruhannya, Alhamdulillah, Lawatan Muhibbah ini berjaya mencapai objektifnya. Semua ahli delegasi amat bersyukur dan gembira kerana dapat menyertai perjalanan sejauh 236 kilometer, sekaligus dapat menjejakkan kaki ke UIAM Kampus Kuantan, bertemu dengan orang-orang baru, berkongsi tawa dan hiba, dan bersatu sebagai sebuah komuniti UIAM (IIUM Community). Pada masa yang sama, semua ahli delegasi berjaya merasai pengalaman hasil pengamalan prinsip Integrasi dan Pengantarabangsaan yang menjadi sebahagian daripad teras UIAM.

Secara peribadinya, Lawatan Muhibbah tersebut menjadi lawatan kelima saya ke daerah Kuantan sejak menyertai UIAM Kampus Gombak pada Februari 2014. Setelah 5 kali mencecah kaki jauh ke timur saya, Alhamdulillah; saya berjaya mengenali Kuantan dan UIAM Kampus Kuantan (Indera Mahkota, Jalan Hospital dan Gambang) dengan lebih dekat dan mendalam.

Rentetan itu, saya menjiwai kewujudan Kuantan dan orang-orangnya sebagai sebahagian daripada hidup saya, lebih-lebih lagi UIAM Kampus Kuantan. Tidak mengapa andai mereka di sana selalu jauh di mata, kerana hakikatnya, mereka semua amat dekat di jiwa. Terima kasih yang tidak terhingga kepada UIAM Kampus Kuantan dan warganya kerana sudi berkongsi cita dan cinta kalian bersama kami.

Saya dan Muhammad Najib.
(Gambar: Shahriar Hasan/Md. Shakil Sarker)
Lebih-lebih lagi kepada 'adik-beradik' dan sahabat-sahabat rapat saya di sana – sekadar menyebut beberapa nama: Muhammad Najib, Afif Afnan, Luqman, Muhammad Harith, Muhammad Murtadha dan Muhammad Farhan – yang, sejak lama, menjadi sebahagian daripada cita dan cinta saya. Sejak lama, di pelbagai tempat dan ketika, kami saling berkongsi; memberi manfaat dalam pelbagai bentuk sesama sendiri.

Setiap daripada kita mempunyai cita dan cintanya. Kadangkala sama, kadangkala sebaliknya. Persamaan menemukan kita; dan perbezaan memisahkan kita. Cita dan cinta yang dahulu menemukan, akhirnya memisahkan. Begitu pun, yakinlah, cita dan cinta kita yang akan menyatukan kita semula di masa muka.

Mudah-mudahan Allah SWT merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

UIAM Gombak, Selangor
24-25 April 2015

Comments