Sastera Kupu-kupu Cinta

Pengenalan

Jikalau berbicara mengenai Kupu-kupu Cinta karya Renanda Lastri (2012), terlebih dahulu ingin saya rakamkan penghargaan kepada sahabat saya, Muhammad Azzim Muhamad Razak. Dialah yang telah memperkenalkan lagu ini kepada saya, Mac tahun sudah. Saya masih mengingatinya.

Pertama kali mendengar senikatanya, saya sendiri tidak mengerti apa aspirasi sebenarnya. Yang saya fahami hanyalah cinta. Begitulah, betapa irama sudah terlalu sinonim dengan nada dan jiwa cinta; tidak dapat dipisahkan walau apa pun yang akan melanda. Dendangkanlah apa-apa jenis irama pun, pasti yang pertama akan ditemui dahulu adalah cinta; sedangkan banyak lagi aspirasi yang kita boleh persembahkan dan terjemahkan.

Dari Mata Sastera

Lihat dulu sasteranya. Kita tidak perlu berbincang soal asonansi – pengulangan huruf vokal – dan aliterasi – pengulangan huruf konsonan – kerana mana-mana karya, hatta sajak-sajak rindu saya sekalipun, akan menonjolkan dua unsur yang paling asas yang sama. Aspek metafora yang dibawakan oleh karyawan ini membuatkan saya tidak mengerti puisi ini pada permulaan. Jikalau saya, seorang sasterawan muda, tidak mampu memahami dengan sebaiknya aspirasi puisi ini, orang kebanyakan apatah lagi.

Metafora diertikan sebagai perbandingan yang menggabungkan perkataan bersifat konkrit dan abstrak. Frasa “kupu-kupu cinta” itu sendiri membawa unsur metafora. Itu baru satu. Belum lagi kita perkatakan tentang unsur ambiguiti dan konotatif yang wujud dalam karya ini, juga sifat karya ini yang sebenarnya seolah-olah sedang bermonolog.

Selaku Pencinta

Tetapi, biarlah. Saya fikir, ini hanyalah sekadar kata yang diterjemah oleh tangan yang meninta, setelah melihat dengan mata yang sebenarnya masih ternampak sirna di sebalik cahaya. Bukanlah saya membenci cinta. Mengapa harus? Saya juga seperti kalian dan mereka, seorang pencinta.

Rasulullah SAW juga seorang pencinta. Terabadi dalam dua peninggalan Baginda, al-Quran dan as-Sunnah, yang terkandung banyak cerita cinta. Bacalah al-Quran, Surah al-Fath, ayat 29, “Muhammad itu Pesuruh Allah, dan setiap yang bersama Baginda itu tegas ke atas orang-orang kafir; dan berkasih sayang sesama mereka...”

Allah SWT yang menciptakan cinta itu juga pencinta, bukan? Carilah dalam kalamNya, Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang (Quran, 1:2); Allah itu Maha Pengasih ke atas hamba-hambaNya yang bertaubat dan menjaga kebersihan (Quran, 2:222); dan banyak lagi.

Jikalau mengenangkan cinta Allah dan RasulNya SAW, teladani pula Surah Ali Imran, ayat 31, “Katakanlah, (wahai Muhammad): Jikalau kamu semua mencintai Allah, maka ikutilah aku; kelak Allah akan menyayangi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu semua. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Sudah itu, mengapa harus? Cinta itu fitrah, bukan? Cuma, adalah menjadi amanah kita untuk mengurusnya dengan sebaiknya. Kita ada keutamaan dalam cinta kita. Jikalau dicari dalam kitab Fiqh al-Aulawiyyat karangan Dr. Yusuf al-Qaradhawi sekalipun, pasti akan ditemui betapa kecintaan itu ada susunan keutamaannya. Ikutilah sebaiknya, nescaya kita akan dapati bahawa kitalah dari kalangan yang gembira lagikan bahagia.

Memaknakan Karya

Persoalan di sini, sejauh manakah cinta itu, lebih-lebih lagi seperti yang diterangkan dalam Kupu-kupu Cinta? Jikalau dibuka Kamus Dewan (2010), cinta itu ada empat makna yang sangat mendalam lagikan berbeza, iaitu sayang, berahi, rindu dan dukacita; yang mana hampir kesemua takrifan itu mengandungi penambahan frasa “yang teramat sangat”.

Tersebarnya konsep sebenar sastera yang dibawa oleh Renanda Lastri, maka Kupu-kupu Cinta sudah memberi persandarannya yang tersendiri kepada cinta antara lelaki dan wanita yang dilihat bercirikan Islam. Klip video sebenar yang diterbitkan sekurang-kurangnya berjaya merungkai persoalan sebenar yang bermain di fikiran setiap yang mengetahui lagu ini mengenai maksud dan halatuju sebenar lagu ini.

Pun begitu, saya lebih gemar untuk memberi penafsiran mengenai lagu ini sebelum maksud sebenar yang terbuku dirungkaikan. Pada waktu itu, pendengar lagu mampu memahami lagu ini pada dua sudut pandang, iaitu hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.

Kepelbagaian Kefahaman

Hubungan dengan Allah SWT terserlah dalam karya ini melalui beberapa mesej. Pertama, apabila keseluruhan hati karyawan itu diserahkan kepada Allah SWT. Kedua, apabila beliau meluahkan rasa cintanya kepada Allah SWT.

Pun begitu, kita harus menerima hakikat bahawa adanya pula beberapa mesej yang dibawakan bertemakan hubungan sesama manusia. Pertama, karyawan itu sebenarnya sangat girang akan sebuah pertemuan yang diaturkan pada waktu hati sedang berbolak-balik. Kedua, beliau juga sebenarnya mencintai orang yang ditemuinya melalui syair-syair cintanya. Ketiga, beliau juga mahu kasih sayang itu berlayar ke arah restu.

Cuma, melalui sastera ini, kita cuba wujudkan beberapa persoalan. Persoalan pertama, ciri-ciri dualisme yang wujud dalam frasa “Syair-syair cinta tercipta kerana dia”. Dualisme, pada hemat saya, adalah kewujudan dua makna. Dualisme ini wujud apabila frasa tersebut boleh ditakrifkan sebagai dua perkara. Pertama, bahawa seorang pencinta melirik kata-kata indahnya kerana Allah, kerana mencintai Allah. Kedua, dengan sebab mencintai seseorang, seorang pencinta tetap akan menggubah ayat-ayat bombastik untuk meluahkan kecintaannya.

Persoalan kedua frasa “kupu-kupu cinta” itu sendiri yang mempunyai unsur konotatif – keluasan makna – dan ketaksaan – kepelbagaian makna. Walaupun maksud tepat frasa itu, pada hemat Renanda Lastri, adalah seorang wanita yang dicintai, sebenarnya frasa itu juga sudah memberi pelbagai maksud, termasuklah cinta itu sendiri sebagai sesuatu yang menggembirakan dan amat dihargai, dan seseorang yang amat dekat di hatinya sehingga membawanya untuk mengasihi orang yang disebutkan.

Rentetan kepelbagai makna tersebut, datang pula persoalan yang seterusnya, iaitu keterbukaan lagu ini. Lagu ini tidaklah sebenarnya bersifat terbuka. Dalam erti kata yang lain, lagu ini bertemakan rasa kasih sayang antara pasangan yang bercirikan Islam. Namun begitu, kepelbagaian makna telah memungkinkan dua sudut pandang. Di satu sudut pandang yang lain, lagu ini bertemakan kasih sayang yang bercirikan Islam, namun bersifat lebih terbuka – lebih menjurus kepada persaudaraan dan persahabatan.

Hubungan dengan Allah, Hubungan sesama Manusia

Setelah dianalisa konsep yang dibawakan, saya lebih suka untuk menyimpulkan bahawa sebenarnya lagu ini membawa maksud, “Aku sayang kamu kerana Allah,” kerana beberapa sebab.

Pertama, lagu ini yang menunjukkan keterbukaannya. Selama saya mendengar lagu ini, saya menganggap bahawa lagu ini juga – selain daripada hakikat sebenar lagu ini – sesuai untuk alam persaudaraan dan persahabatan. Perihal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW bahawa antara tiga ciri seseorang merasakan kemanisan iman adalah apabila seseorang itu mengasihi saudaranya yang lain, bertemu dan berpisah kerana Allah.

Kedua, lagu ini menyandarkan hubungan dengan manusia dengan hubungan dengan Allah. Dalam erti kata lain, integrasi definisi mewujudkan suatu aspirasi bahawa setiap jalinan yang dihubungkan sesama manusia perlulah didahului dengan memperbaiki hubungan dengan Allah SWT. Pernah Rasulullah SAW bersabda, “Seandainya ingin memperbaiki hubungan sesama manusia, maka perbaikilah hubungan dengan Allah.”

Ketiga, fungsi doa sebagai sebaik-baik hadiah untuk orang yang dicintai. Kita digalakkan untuk mendoakan kesejahteraan orang-orang yang kita kasihi. Allah SWT berfirman, “Berdoalah, nescaya aku akan menjawabnya.” Adab persaudaraan pula mengajar kita agar kita mendoakan mereka tanpa perlu mereka ketahui. Di sinilah timbul satu persepsi yang kukuh lagi utuh bahawa setiap jalinan sesama manusia hendaklah disandarkan pula kepada Allah SWT.

Penutup

Kesimpulannya, cinta itu fitrah kurniaan Allah SWT; tiada seorang pun dapat menolaknya. Cuma, kita mempunyai kewajipan untuk mengurusnya dengan sebaiknya. Kupu-kupu Cinta, secara hakikatnya, mengajar kita untuk mengurus cinta antara dua insan – lelaki dan wanita – berpandukan hukum syarak. Di sudut ini, komposer berjaya meluahkan aspirasi sebenar Kupu-kupu Cinta.

Namun, kewujudan unsur-unsur sastera yang lain sedikit sebanyak sudah mengubah pembawaan puisi tersebut. Pun begitu, Kupu-kupu Cinta masih membawakan aspirasi yang sama, yang lebih terbuka kepada semua. Hal ini selari dengan tuntutan agama agar menguruskan cinta dengan cara yang diredhai oleh Allah SWT.

Comments

  1. terimakasih kepada bapak awang abdul muiz menjadikan lagu saya sebagai tajuk dlm tulisan bapak...salam kenal..nama saya renanda lastri dari indonesia...blog saya : www.renandalastri.blogspot.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Ramadhan. Salam kenal jua, Ibu Renanda... Semoga lagu ini menjadi inspirasi kepada kita semua.

      Delete

Post a Comment