Wednesday, 21 December 2011

Respon Brunei mengenai Kemalangan di Tamparuli

Radio Televisyen Brunei (RTB) semalam mengeluarkan pengumuman khas daripada Sultan Brunei yang juga Perdana Menteri Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, berikutan kemalangan yang menimpa warga Brunei di Tamparuli, Tuaran, Sabah. Berita mengenai kemalangan secara ringkas telah disiarkan semalam.

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Paduka Seri Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin wad Daulah ibni al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Saadul Khair wad Deen, Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah berkenan menghantar perutusan takziah kepada ahli-ahli keluarga yang terlibat dalam tragedi kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kehilangan jiwa dan kecederaan ke atas beberapa penumpang dari Negara Brunei Darussalam di daerah Tuaran, Sabah, baru-baru ini.


Dalam perutusan tersebut, KDYMM Paduka Seri Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merasa amat dukacita apabila mengetahui akan kejadian tersebut dan seterusnya menyampaikan ucapan takziah kepada ahli-ahli keluarga mangsa yang terlibat dan berharap mereka akan bersabar serta berdoa semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.


Bagi mereka yang cedera dalam kemalangan tersebut, KDYMM juga mendoakan semoga mereka akan cepat sembuh.


Berikutan dari kejadian ini, KDYMM telah menitahkan kementerian-kementerian yang berkenaan seperti Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; kementerian-kementerian lain serta pihak-pihak yang berkenaan dalam kerajaan baginda untuk mengambil peranan masing-masing dalam membantu mangsa-mangsa terlibat.


KDYMM seterusnya mengurniakan titah perintah supaya semua kemudahan seperti kos perubatan bagi mereka yang cedera dalam kejadian tersebut dan penghantaran balik jenazah ke Negara Brunei Darussalam dengan menggunakan pesawat khas, ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Warta ini dibacakan oleh pemberita RTB pada jam 10 malam semalam.


Dalam Berita RTB yang disiarkan jam 9 pagi tadi, baginda menitahkan Menteri Kewangan Keduanya, Datuk Seri Setia Awang Abdul Rahman Ibrahim; Menteri Kebudayaan Belia dan Sukannya, Datuk Seri Setia Awang Hazair Abdullah, yang juga pemangku Menteri Kesihatan Brunei; Panglima Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Datuk Paduka Seri Amiruddin Ehsan Abidin, serta para Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Agama dan Kementerian Kesihatan, mewakili baginda Sultan ke Kota Kinabalu, Sabah, hari ini, untuk menguruskan hal ehwal berkaitan kemalangan ini.


RTB sedang mengikuti perkembangan tragedi ini.

0 comments:

Post a Comment