Penyampaian Perutusan Takziah

Saya sebentar tadi menziarahi Hospital Tuaran. Difahamkan, sekumpulan 40 orang warga Brunei ditimpa kemalangan di Kampung Koporingit, Tamparuli, Tuaran, Sabah, ketika perjalanan dari Tawau ke Kota Kinabalu, sekitar jam 3 petang tadi. Kebanyakan daripada mereka dikejarkan ke Hospital Tuaran dan Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu.

Kandungan berita boleh dilayari di sini atau di sini atau di sini.

Sehubungan dengan perkara itu, saya sebentar tadi menghantar perutusan takziah kepada warga Kementerian Luar dan Perdagangan dan warga Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu. Perutusan diterima oleh Setiausaha Pertama Suruhanjaya berkenaan, Yang Mulia Tuan Hj. Abdul Malik Hj. Kamis.

Perutusan ditulis sebagai berikut:

Saya dan keluarga yang menetap di Tuaran, baru sahaja pulang dari kembara di daerah Kundasang dan Ranau pada 18-19 Disember lepas. Alhamdulillah, kami selamat.

Namun, pada petang tadi, sekitar jam 4.30 petang, saya difahamkan sekumpulan 40 orang warga Negara Brunei Darussalam (NBD) yang melancong ke negeri Sabah ini, ditimpa kemalangan di Kampung Koporingan, Tamparuli, Tuaran; ketika dalam perjalanan dari bandar Tawau menuju bandaraya Kota Kinabalu. Sebilangan warga cedera, manakala 6 orang warga NBD terkorban.

Saya dan keluarga, dengan penuh simpati, mengucapkan setinggi-tinggi takziah atas kematian 6 orang warga NBD yang ditimpa kemalangan dalam perjalanan tersebut. Pastinya keluarga yang terlibat akan merasa sedih atas kematian ahli keluarga mereka yang tersayang di bumi Sabah ini. Semoga tabah menghadapi cabaran yang dihadapi.

Bagi Muslimin dan Muslimat yang turut terkorban dalam kemalangan, adalah didoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka semua. Al-Fatihah.

Mohon jasa baik Yang Mulia Datuk/Datin/Tuan/Puan agar salam ini dapat disampaikan kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan di Tamparuli, Tuaran, Sabah, Malaysia; petang tadi.

Petang tadi, saya turun ke Hospital Tuaran, melihat keadaan mangsa. Banyak pihak mengendalikan kes ini. Antaranya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran; Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran; Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Negeri Sabah; Hospital Tuaran, Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran, Hospital Kota Belud, Klinik Kesihatan (KK) Tamparuli, KK Kiulu, KK Tenghilan, KK Luyang, Hospital Likas, Hospital Queen Elizabeth 1 dan 2 serta Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Tuaran.

Menurut IPD Tuaran, Pejabat Suruhanjaya Tinggi Brunei di Kota Kinabalu telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Comments