Menjadi Sahabat kepada Pelajar


"Saya memang bercita-cita untuk berada di atas jalan pendidikan. Tetapi, saya tidak pernah terfikir bahawa jalan tersebut akan menemukan saya dengan pelajar-pelajar yang usianya jauh lebih muda dari saya, tetapi akhirnya menjadi sahabat."

(dedikasi kepada semua pelajar yang menjadi sahabat rapat yang saya cintai)

Lima tahun lepas, saya berada di pengajian tinggi. Namun, tidaklah keseluruhan lima tahun itu saya gunakan sepenuhnya hanya di menara gading. Pendidikan menunjukkan saya jalan ke sekolah pertama selama sebulan dan ke sekolah kedua selama empat bulan. Sejurus tamat pengajian, saya ditunjukkan jalan ke sekolah ketiga selama dua minggu, sebelum mengambil rehat yang agak panjang sementara menunggu dihantar ke sekolah keempat, tempat saya berkhidmat kini.

Berkhidmat di sekolah keempat tidak menghalang saya untuk mengekalkan hubungan dengan tiga buah sekolah yang terdahulu, terutamanya sekolah pertama dan kedua. Malah, saya berterima kasih kepada sekolah-sekolah tersebut kerana telah dan masih menerima saya apa adanya. Terima kasih saya yang lebih besar lagi kepada semua sahabat rapat yang saya cintai, tidak dapat saya sebutkan nama mereka satu persatu, sama ada yang masih berada di sana atau yang meneruskan pendidikan atau kerjaya di tempat lain kerana sudah dan masih menerima diri ini apa adanya.

Saya memang bercita-cita untuk berada di atas jalan pendidikan. Tetapi, saya tidak pernah terfikir bahawa jalan tersebut akan menemukan saya dengan pelajar-pelajar yang usianya jauh lebih muda dari saya, tetapi akhirnya menjadi sahabat. Sebagai yang demikian, saya tidak boleh terhadkan diri saya hanya setakat mengajar dan memimpin di dalam dan luar bilik darjah, tetapi bersedia untuk berkongsi segala yang dimiliki dan termampu untuk diberi kepada mereka dan menjengah semula bersama mereka zaman remaja yang sudah lama ditinggalkan.

Sebagai balasan, mereka juga harus bersedia untuk menjengah lebih awal zaman pengajian tinggi serta zaman kerjaya yang sahabat tuanya telah dan sedang hadapi, berkongsi cerita-cerita kehidupan yang mereka sedang hadapi, serta memberi apa-apa yang terdaya pada mereka untuk dikongsi; bukanlah kerana mengharapkan balasan, tetapi kerana saling memberi dan menerima merupakan sifat murni sebuah persahabatan.

Sebagai seorang guru, abang dan sahabat, saya gembira untuk bersahabat dengan pelajar-pelajar yang benar-benar faham erti dan aspirasi sebenar persahabatan. Di sebalik kesibukan mereka mengurus jadual harian serta menyelesaikan kerja rumah serta tugas tambahan yang diberikan di sekolah, mereka masih punya waktu walaupun sekejap untuk bertemu, mendengar dan menyampaikan nasihat dan cerita, berkongsi suka dan duka, jatuh dan bangun, terang dan gelap sebuah kehidupan.

Mereka tidak sentiasa punya waktu lapang untuk bersama di luar sekolah. Hanya mereka yang betul-betul mempunyai kesempatan sedemikian dapat berjumpa diri ini di tempat tertentu, melakukan perkara yang hampir serupa tetapi dalam suasana yang lebih bebas dan gembira. Tetapi, saya tidak kisah kerana apa yang lebih penting dalam persahabatan adalah sejauh mana saya dan mereka saling memahami, menerima, berkongsi dan berdoa untuk diri dan hubungan yang terjalin.

Saya sedar akan cabaran dan rintangan yang saya, mereka dan persahabatan ini sedang dan akan alami pada masa hadapan. Tetapi, semua itu tidaklah sepatutnya menjadi alasan untuk hubungan murni ini dijatuhkan begitu sahaja. Sebagai sebahagian daripada hidup orang lain, berita gembira harus diraikan dengan kesyukuran dan kegembiraan; berita duka pula harus dikongsikan dengan doa dan ingatan dari jauh mahupun dekat. Khabar berita harus bertukar sesuai pada waktunya agar tidak terjejas hubungan.

Saya tidak meminta lebih-lebih kerana saya tahu mereka tidak semestinya mampu untuk memberikan apa yang selayaknya. Tetapi, cukuplah, tanggungjawab moral saya untuk memberi apa adanya dan menerima daripada mereka apa juga yang mereka akan kongsikan pada masa hadapan.

Saya sangat gembira, pada usia saya yang sekarang ini, untuk menjadi abang dan sahabat di samping menjadi guru di sekolah yang sama atau yang berbeza. Kerana melaluinya, pendidikan akan menjadi lebih mudah. Realitinya, pendidikan bukanlah semata-mata mengenai pemindahan ilmu dan kemahiran, tetapi juga pemupukan nilai murni dan budi bahasa menerusi pendekatan yang lebih hemat dan mesra.

Semoga Allah lanjutkan usia saya dan mereka. Semoga Allah lanjutkan jua persahabatan dan persaudaraan yang dijalinkan untuk selama-lamanya. Semoga Allah abadikan saya dan mereka dalam redha dan kasih sayang-Nya serta dalam syafaat kekasih-Nya. Saya masih mahu mencintai.

Comments