Sekolah Hebat Berjiwa Besar: 15 Hari Mencintaimu


“Sekolah Hebat Berjiwa Besar” yang saya ceritakan ini merupakan sekolah keempat saya ditugaskan untuk menjadi guru. Hanya pada kali ini, saya menyertainya setelah ditetapkan masuk ke dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan. Alhamdulillah, beginilah berkat doa dan sokongan terlalu ramai individu dan organisasi, terutamanya ibu bapa dan keluarga yang selama ini mengikat diri ini dengan cita-cita menjadi seorang guru sehingga menjadi realiti.

Walaupun terbit sedikit penyesalan dalam diri ini berikutan hasrat yang tidak tercapai, kedatangan saya ke sekolah tersebut membuatkan saya merasa lebih bertuah daripada biasa. Pertama, kerana ketika berlalunya sesuatu zaman, datang pula berikutnya suatu zaman. Saya menerima panggilan untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat ketika diri ini merasa sudah tidak punya apa-apa dan tidak diperlukan.

Kedua, kerana terlalu banyak rekod luar biasa yang sekolah tersebut telah capai selama kewujudannya di tepi daerah sebagai sekolah harian biasa. Ketiga, kerana warganya yang berjiwa besar akhirnya menerima saya sebagai sebahagian daripada mereka. Mereka lebih yakin untuk menerima saya apabila saya mengulang kembali tiga prinsip perjuangan saya di hadapan golongan yang berbeza, iaitu untuk menjadi segalanya, bersedia dengan segala kemungkinan, dan memberikan yang terbaik untuk semua.

Keempat, dan yang menyebabkan saya terdetik untuk menulis ini, adalah kerana ada dua orang (berserta kawan-kawan mereka) yang datang dalam kehidupan diri ini yang kelihatan biasa-biasa sahaja, tetapi sebetulnya jauh lebih baik daripada saya. Pencapaian serta sumbangan yang mereka catatkan jauh lebih banyak dan tinggi daripada apa yang saya sangkakan dan apa yang telah saya capai selama ini.

Walaupun begitu, bukanlah kehebatan dan keistimewaan yang ada pada diri masing-masing yang menyebabkan pertemuan tersebut. Hakikatnya, saya tidak pernah bermimpi untuk datang dan tetap berada di sana, apatah lagi untuk bertemu orang-orang seperti mereka. Pada mulanya, mereka sukar untuk menerima saya; saya pun. Hanya setelah berlalu hari demi hari, saya lebih mengenali mereka, malah lebih senang untuk bertemu dan bersama mereka, terutamanya pada awal pagi dan waktu senggang.

Perkara itu lebih saya rasai apabila Allah tunjukkan kepada hati ini, pada suatu hari, bahawa orang-orang tersebut akan menjadi sahabat saya yang berikutnya. Hari ini, mereka benar-benar menjadi sahabat rapat saya yang berkongsi sekolah yang sama, cita-cita yang hampir serupa, serta menjalani rutin harian bersama-sama walaupun kadangkala pada tempat dan keadaan yang berbeza.

Mereka membuatkan saya ketawa di depan mereka kerana riangnya zaman persekolahan yang mereka sedang hadapi, lebih-lebih lagi ketika zaman yang mereka harungi itu akan sampai ke penghujungnya tidak lama lagi. Tetapi, mereka jugalah yang membuatkan saya mengalirkan air mata apabila mengenangkan diri ini yang belum mahupun tidak mencapai apa-apa yang telah mereka capai dan tidak dapat menyumbangkan apa-apa kepada persahabatan dan persaudaraan kami.

Sebagai seorang guru dan sahabat, komitmen saya sentiasa mengenai berkongsi. Saya hanya ingin memberi apa-apa yang saya terdaya untuk berkongsi. Hanya dengan memberi, persahabatan dan persaudaraan akan menjadi lebih murni sesuai dengan tuntutan ke atas sekolah untuk mempromosikan kegembiraan, kasih sayang dan hormat-menghormati.

Mulai dari saat pertama saya menemui mereka, saya ingin mencintai. Sampai bila-bila pun, saya ingin mencintai mereka, malah lebih ramai lagi yang akan menanti di kemudian hari; dengan harapan agar Allah menerima kasih sayang yang kami curahkan sesama kami sebagai kunci menuju kejayaan yang lebih besar di sini dan di sana. Saya benar-benar mencintai mereka, tetapi masa belum tentu sentiasa berpihak kepada mereka mahupun diri ini untuk menerimanya.

Comments