Tanggungjawab Menjaga Agama


"Adalah menjadi kewajipan kita untuk meletakkan kepentingan agama mendahului, malah mengatasi segala kepentingan yang lain. Hal ini demikian kerana, agama merupakan pembimbing kehidupan setiap umat yang ingin mencapai kejayaan yang hakiki di dunia dan di akhirat."

Saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Islam merupakan ad-Din, sebuah cara hidup yang lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan. Sebagai yang demikian, Islam datang bersama kerangka dasar Akidah (kepercayaan), Syariah (undang-undang dan peraturan) dan Akhlak (nilai-nilai murni dan budi bahasa), yang kemudiannya datang bersama lima tujuan utama Islam dijadikan sandaran kehidupan yang kita sebut sebagai Maqasid Syariah. Salah satu daripadanya ialah Hifz ad-Din (untuk menjaga agama).

Prinsip Hifz ad-Din memerlukan kita, sebagai umat Islam, untuk menjaga keutuhan Islam dan Iman dalam diri kita dan orang-orang sekeliling dan, pada masa yang sama, memelihara Islam daripada sebarang ancaman dalaman dan luaran. Justeru, adalah menjadi kewajipan kita untuk meletakkan kepentingan agama mendahului, malah mengatasi segala kepentingan yang lain. Hal ini demikian kerana, agama merupakan pembimbing kehidupan setiap umat yang ingin mencapai kejayaan yang hakiki di dunia dan di akhirat.

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya bersyukur kerana Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara. Oleh kerana Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan meletakkan urusan agama di bawah bidang kuasa negeri, Sabah mengesahkan status demikian pada 27 September 1973 menerusi Perkara 5A, Perlembagaan Negeri Sabah.

Islam yang kita semua pegang pada hari ini adalah berasaskan pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah, suatu pegangan yang sentiasa memerlukan kita untuk memahami dan memaknakan falsafah Rahmatan lil Alamin. Agar lebih mudah difahami oleh semua, pegangan dan falsafah tersebut menggariskan bahawa ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW merupakan satu-satunya ajaran yang benar, sesuai pada pelbagai tempat dan ketika, sah dan meluas di serata alam, serta diredhai di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 3:

“Aku (Allah) telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.”

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Sejarah telah membuktikan betapa mustahaknya Islam dalam mewujudkan serta mengekalkan kestabilan sesebuah negara. Kewujudan Negara Madinah pada zaman Rasulullah SAW adalah kerana Islam. Rakyat yang bernaung di bawah pemerintahan Islam di sana, sama ada mereka itu umat Islam atau sebaliknya, sama-sama dipayungi rahmat dan berkat.

Walaupun Rasulullah SAW dan para Sahabat berkewajipan meneruskan dakwah Islam kepada seluruh umat, prinsip keadilan dan tolak ansur terus menunjangi kepelbagaian masyarakat. Rakyat Negara Madinah yang bukan beragama Islam tidak dipaksa untuk memeluk agama Islam. Mereka memeluk agama Islam kerana keperibadian dan kebijaksanaan Rasulullah SAW dan para Sahabat, baik dalam keadaan perang mahupun aman.

Diskriminasi yang wujud kerana perbezaan akidah, kabilah dan warna kulit ditolak tepi, sebaliknya fitrah manusia dipelihara. Perpaduan dijadikan tradisi peradaban demi mewujudkan keamanan dan kemakmuran. Kekuatan fizikal, mental dan rohani yang dimiliki oleh umat menjadi asas kepada kegemilangan Islam yang memungkinkan Islam tersebar ke segenap penjuru dunia serta terpelihara daripada sebarang bentuk bahaya.

Malangnya, kekuatan umat Islam pada zaman dahulu tidak sama dengan kekuatan umat Islam pada zaman kini. Tidak semua dalam kalangan kita pada hari ini mampu untuk menjaga agama. Sudah tahu tidak mampu menjaga agama, agama dirosakkan atas nama hak asasi manusia, identiti keagamaannya hanya ditinggalkan atas nama.

Kita semua harus sedar bahawa, hanya dengan jati diri yang tinggi dan semangat waja, kita mampu memelihara agama dan sekali gus mengekalkan rahmat dan berkat yang selama ini melimpah ke segenap penjuru dunia. Oleh itu, kita mesti melakukan muhasabah dengan menilai semula kekuatan kita dari semua perkara, baik ekonomi, sosial dan kebudayaan, serta politik dan keselamatan.

Kita juga mesti memerhatikan tahap perpaduan dan integrasi yang kita semua sudah kecapi. Realitinya, perbalahan dan perpecahan yang berpanjangan sentiasa melemahkan, malah menyebabkan kita dilihat tidak berdaya tahan dan berdaya saing dari semua segi, sekali gus menyebabkan kita ketinggalan jauh di belakang mereka yang berbeza kepercayaan dengan kita.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Sebagai umat Islam, kita diamanahkan untuk memelihara Islam dan umatnya secara keseluruhan. Kita semua berperanan mengatur strategi mengikut kemampuan masing-masing untuk memelihara dan mempertahankan Islam mengikut acuan Malaysia. Pada masa yang sama, pendekatan yang bijaksana mestilah diaplikasikan dan ditonjolkan agar Islam sentiasa dilihat sebagai sebuah agama yang mempromosikan rahmat kepada seluruh alam. Firman Allah dalam Surah An-Nahl, ayat 125:

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Dialah Tuhanmu yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk."

Segala kelemahan dan kekurangan yang menyebabkan agama tidak dapat dipelihara dengan baik hendaklah diperbaiki dan ditambahbaik secara bersama supaya kekuatan Islam dapat dikembalikan seperti mana asalnya menerusi usaha-usaha berikut:

Pertama: Memahami dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.

Kedua: Memperkasakan institusi diraja serta mempertahankan kekuasaannya terhadap pengekalan dan kemajuan Islam serta umatnya.

Ketiga: Menguatkan perpaduan dan integrasi sesama rakyat, khususnya sesama umat Islam.

Keempat: Memastikan Islam dan umatnya sentiasa mengambil keutamaan dalam pembuatan, pelaksanaan serta penterjemahan segala dasar dan peraturan.

Kelima: Memberi kefahaman yang terang dan nyata kepada seluruh rakyat, lebih-lebih lagi umat Islam, berkaitan Fiqh yang menjurus kepada imej, halatuju serta cara hidup Malaysia agar usaha menangani cabaran masa depan dapat dimantapkan dan diselaraskan.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Mengakhiri khutbah, marilah kita renungi intipati-intipati penting sebagai pedoman dalam kehidupan kita.

Pertama: Islam datang bersama lima Maqasid Syariah, salah satu daripadanya ialah Hifz ad-Din.

Kedua: Kita mesti belajar daripada kekukuhan dan keutuhan Negara Madinah yang menjadikan prinsip Hifz ad-Din sebagai tunjang kepada seluruh hak asasi manusia rakyatnya.

Ketiga: Kekuatan umat Islam dari segi fizikal, mental dan rohani mesti dikembalikan dan ditambahbaik demi memastikan agama terus dijaga dan perpaduan sesama umat terus terpelihara.

Jumaat, 19 Oktober 2018.
Masjid al-A'laa, Kampung Lokub, Manggatal, Kota Kinabalu, Sabah.
Khutbah sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan suntingan.

Comments