Pengorbanan: Harga Sebuah Cinta


"Tidak ada tangis yang tidak bisa diusap cita. Tidak ada juang yang tidak bisa dikalahkan cinta. Perjuangan dan pengorbanan memerlukan kita melakukan segala-galanya yang termampu dan terdaya. Hakikatnya, perjuangan dan pengorbanan itu sendiri segala-galanya buat kita."

Tekan di sini untuk membaca teks penuh.

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air, di mana pun jua berada di seluruh pelusuk dunia: Selamat Hari Raya Aidiladha.

Marilah kita mulakan hari kita dengan memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa, kerana dengan limpah kurnia-Nya serta izin-Nya, dapatlah kita meraikan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini. Pada masa yang sama, marilah kita tingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh kejayaan yang sebenar-benarnya di dunia dan di akhirat.

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Hari ini tidak seperti biasanya. Virus Korona 2019 (COVID-19) masih menular di seluruh dunia. Malaysia turut tidak terlepas daripada terkena bahayanya. Ketika ucapan ini disampaikan, 8,964 orang telah disahkan positif COVID-19 di Malaysia dengan kes aktif semasa dicatatkan seramai 223 orang.

Rentetan itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berlaku di dalam negara. Larangan keluar dan masuk sempadan negara bagi urusan yang tidak penting masih berkuatkuasa. Stesen-stesen kuarantin untuk setiap orang yang masuk ke dalam negara masih dibuka. Mulai 1 Ogos, pemakaian penutup mulut dan hidung di dalam kenderaan awam dan tempat awam yang sesak diwajibkan kepada semua.

Lebih daripada itu, tidak ada rakyat Malaysia yang dihantar menyempurnakan ibadah haji di Makkah seperti tahun-tahun sebelumnya. Kita memahami perasaan semua calon haji dari Malaysia. Malah, kita turut berdukacita dengan mereka. Semoga tetap diberi kemampuan dan dihantar oleh Allah untuk melaksanakan ibadah haji pada tahun seterusnya, seraya dikurniakan kekuatan dan ketabahan mempersiapkan diri hingga tiba masanya. 

Walaupun begitu, perkara-perkara tersebut mesti dilakukan bagi membasmi pandemik daripada terus menular dalam negara dalam skala yang lebih besar. Hasilnya, kadar kesembuhan daripada pandemik bagi Malaysia masih berada pada tahap yang boleh disyukuri dan dibanggakan. Alhamdulillah, ketika ucapan ini disampaikan, sebanyak 96.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 telah mencapai kesembuhan.

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Perkara ini menyebabkan Kerajaan memutuskan untuk beralih kepada PKP Bersyarat dan, setelah itu, PKP Pemulihan. Sejak daripada itu, lebih banyak kebenaran dan kelonggaran diberikan secara berperingkat berpandukan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kerajaan agar kelangsungan negara dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan.

Hari ini, lebih ramai penjawat awam, pekerja swasta dan pengusaha kembali ke tempat kerja. Pelajar-pelajar harian dan asrama dapat kembali bersekolah seperti biasa. Aktiviti-aktiviti sukan dan rekreasi dibenarkan semula. Lebih bermakna daripada itu, termasuk pada hari ini, solat fardhu dan sunat serta aktiviti pengimarahan di masjid dan surau dapat disertai seramai yang dibolehkan mengikut keluasan. Begitulah juga dengan ibadah korban di masjid, surau, pusat penyembelihan dan tempat awam lain yang diizinkan mengikut bilangan binatang korban dan bilangan pelaksana yang dibenarkan.

Allahu Akbar! Telah Allah besarkan perlindungan-Nya yang membolehkan kita dijauhkan daripada penularan pandemik yang sentiasa membahayakan. Allahu Akbar! Telah Allah besarkan kemuliaan-Nya untuk membolehkan seluruh rumah-Nya di tanah air ini diimarahkan dengan segala pengabdian. Allahu Akbar! Telah Allah besarkan hari ini melebihi hari-hari yang lain dengan pelaksanaan ibadah haji dan ibadah korban. Walillahilhamd! Telah Allah limpahkan kasih sayang-Nya dengan membolehkan kita meraikan hari ini dengan sederhana, sentosa dan aman.

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi Allah,

Sesungguhnya pencapaian yang direkodkan oleh negara dalam menangani pandemik COVID-19 sebelum-sebelum ini bukanlah ruang dan peluang menjadikan kita alpa dan leka, lebih-lebih lagi ketika indeks penularan pandemik (R-naught, R0) negara diancam peningkatan luar biasa. Bukan sahaja penularan pandemik yang akan selalu menakutkan kita, tetapi juga PKP yang mungkin dikembalikan semula kepada asal permulaannya sekiranya keadaan negara semakin berbahaya.

Selama mana COVID-19 masih wujud dalam negara, selama itulah kita mesti berusaha gigih untuk mengelakkannya, dan selama itu jugalah masih ada dalam kalangan kita yang terus berhempas pulas menanganinya tanpa lalai dan lupa. Merekalah anggota Perkhidmatan Kesihatan, Polis, Angkatan Tentera serta Perkhidmatan Awam lainnya yang terus berjuang di jalan Allah, mengamankan tanah air daripada bahaya yang lebih besar dan luar jangka. Itulah musuh yang tidak nyata yang memerlukan taktik dan teknik yang berbeza. 

Hari ini, negara turut memperingati Hari Pahlawan, hari yang mengingatkan kita kepada setiap orang yang pernah dan masih berjuang dan berkorban untuk keamanan dan kemakmuran tanah tumpah darah kita. Sama ada masih berada di dalam perkhidmatan atau sudah pun menjadi veteran, mungkin juga telah menutup usia, terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada mereka semua.

Merekalah yang sesungguhnya membuatkan kita semua hidup dalam makmur dan bahagia. Taat setia mereka kepada Raja dan Negara tidak ada tolok bandingnya. Harta yang mereka gadaikan dan nyawa yang mereka korbankan terlalu besar ertinya. Belum dikira makan yang tidak cukup kenyang dan tidur yang tidak cukup lena hanya kerana menjaga kita semua. Itulah sebenar-benarnya sumbangan mereka kepada rakyat dan negara. Kita sendiri kadang-kadang terlupa untuk mensyukuri segala yang ada di sekeliling kita. 

Hanya setelah ketiadaan, barulah kita terbangun dari mimpi, menghargai segala yang mana mungkin akan kembali untuk selamanya. Merekalah penjawat awam, pegawai dan anggota polis dan tentera, pekerja swasta serta sukarelawan yang terkorban dalam perkhidmatan selama pandemik COVID-19 masih menular dalam negara. 

Turut tidak terkecuali, 124 orang mangsa pandemik COVID-19 yang tewas dalam pertarungan menentangnya serta ramai lagi yang kita kenali, yang tidak sempat meraikan Hari Raya Aidiladha bersama kita kerana telah kembali ke rahmat Tuhan yang Maha Kuasa. Takziah diucapkan kepada ahli keluarga mereka. Mudah-mudahan dikurniakan kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan kehidupan.

Muslimin dan Muslimat yang dilindungi Allah,

Segala yang kita harungi sejak hari pertama pandemik COVID-19 melanda negara menuntut pengorbanan. Ketika negara dan dunia berada pada masa aman sekali pun, sesuatu yang dihasratkan hanya dapat dicapai menerusi pengorbanan. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, pengorbanan mesti kita lakukan. Tanpanya, hidup tidak mungkin dapat dilangsungkan. Keluhuran dan kepentingan masyarakat juga tidak mungkin dapat dipertahankan.

Hakikatnya, ada pengorbanan yang paling besar dan paling agung yang pernah dikisahkan dan dimaktubkan di dalam al-Quran yang mesti dijadikan pengajaran dan teladan. Itulah kisah dua beranak, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS, yang menjadi asas kepada sambutan Hari Raya Aidiladha, penyembelihan binatang korban serta tahapan keimanan dan ketaqwaan.

Apa tidaknya, kepatuhan Nabi Ibrahim AS kepada perintah Allah SWT, terutamanya ketika diperintahkan menyembelih Nabi Ismail AS, tidak pernah berbelah bahagi dan tidak pernah ada tolok bandingnya. Begitulah juga dengan Nabi Ismail AS yang serentak patuh kepada Allah SWT serta ayahanda baginda. Semua ini sudah terang lagi bersuluh diceritakan di dalam Surah al-Saffat, ayat 102:

“Maka, ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah, apa pendapatmu? Anaknya menjawab: “Wahai ayah! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; dengan izin Allah, ayah akan mendapati aku dari kalangan orang-orang yang sabar.”

Hasil daripada ketaatan tersebut, Allah SWT menghantar seekor kibas kepada Nabi Ibrahim AS sebagai ganti kepada Nabi Ismail AS untuk dikorbankan. Bertitik tolak daripada sejarah ini, Islam menganjurkan umatnya yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban setiap tahun. Syariat ini sangat dituntut bagi membuktikan cinta kepada Allah melebihi segala-galanya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Haj, ayat 37:

“Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya adalah ketaqwaan dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya, dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang ihsan (yang berusaha supaya sentiasa baik amalannya).”

Muslimin dan Muslimat yang diberkati Allah,

Tidak ada tangis yang tidak bisa diusap cita. Tidak ada juang yang tidak bisa dikalahkan cinta. Perjuangan dan pengorbanan memerlukan kita melakukan segala-galanya yang termampu dan terdaya. Hakikatnya, perjuangan dan pengorbanan itu sendiri segala-galanya buat kita.

Kita selalu menghayatinya menerusi sirah perjuangan Rasulullah SAW dan para Sahabat Baginda. Kita juga selalu mempelajarinya menerusi sejarah para nabi dan rasul sebelumnya. Kita selalu menjiwainya melalui lima prinsip Rukunegara. Kita juga selalu meneladaninya menerusi perjuangan dan pengorbanan orang lain di sekeliling kita. Hakikatnya, selama mana pun kita mampu hidup bersendiri, kita tetap akan memerlukan orang lain untuk melengkapkan kehidupan kita. Mereka benar-benar melakukannya dan kita benar-benar merasainya.

Kepada ibu bapa, keluarga dan sanak saudara, terima kasih yang tidak terhingga atas banyaknya pengorbanan mengasuh, membentuk dan membesarkan kita menjadi insan yang mulia di sisi Allah dan Rasul-Nya serta berguna kepada agama, bangsa dan negara. Terima kasih yang lebih lagi kerana menjadikan rumah kita syurga buat setiap insan yang menginginkannya.

Kepada guru-guru, ribuan terima kasih atas banyaknya pengorbanan menyampaikan dan memahamkan ilmu dan budi sehingga dapat difahami dan diamalkan sampai ke hari ini. Segala dedikasi dan tekad guru-guru mendidik anak bangsa amatlah dihargai dan disanjung tinggi.

Sempena Hari Persahabatan Sedunia pada 30 Julai, kepada sahabat-sahabat dan rakan-rakan, terima kasih atas kesetiaan, kebahagiaan dan penghargaan yang disudikan di pelbagai tempat, ketika dan keadaan. Segala perkongsian, perjuangan dan penerimaan selama waktu persahabatan dan persaudaraan sentiasa diingati sepanjang zaman kehidupan.

Kepada semua yang telah selama ini berjuang dan berkorban, terima kasih diucapkan atas segala bakti yang dicurahkan. Terima kasih juga diucapkan kerana menjadikan “Malaysia Prihatin” suatu kenyataan. Nama dan jasa kalian bersemadi di minda dan jiwa semua hingga ke hari kemudian. Semoga Allah menerima daripada mereka dan kita segala pengorbanan dan mengurniakan kekuatan kepada mereka dan kita untuk meneruskan perjuangan.

Jumaat, 31 Julai 2020
Masjid al-A'laa, Kampung Lokub, Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah

Comments