Tuhan, Gantungkan Sepiku


Tuhan, gantungkan sepiku
di tengah perantauan

Aku hanya mampu meninta
saat aku ingin meluahkan
Rinduku tidak mampu bersuara
melainkan suara jiwa yang meniti
jatuh dan bangun kembara
terang dan gelap kehidupan

Kamu tak selalu menjadi petunjuk
kepada dua jalan yang menentukan
tetapi kamu sentiasa menjadi bukti
apa ertinya sebuah perjuangan
yang membutuhkan persendirian
atau bersatu dalam sebuah jemaah
yang tidak selalu melihatkan kemanisan
tetapi pedih jiwa dan hancur hati

Tiada dalam kamus namanya kebencian
apatah lagi cemburu dan hasad dengki
Kita hakikatnya senantiasa satu
meski berbeza pilihan dan jalan

Tuhan, gantungkan sepiku
kami hanya ingin mencari-Mu

Surau Nur al-Hidayah, SMK Sungai Pusu, Gombak, Selangor
Khamis, 18 April 2019, jam 8.40 malam

Comments