Membentuk Peradaban Menerusi Penulisan


Manusia dengan bahasa tidak dapat dipisahkan. Hakikatnya, kita sentiasa memerlukan bahasa. Malah, kehidupan kita sentiasa dipandu oleh bahasa. Dari awal pagi hingga ke larut malam, bahasa bukan sahaja memudahkan komunikasi kita, tetapi juga menghubungkan kita dengan mereka yang berkongsi dunia yang sama dengan kita.

Sempurnanya dunia kita pada hari ini adalah kerana bahasa, keindahannya serta penzahirannya di bibir bicara dan tinta. Sempurnanya kita, penutur bahasa Melayu, pada hari ini adalah kerana kemampuan kita menggunakan bahasa Melayu dengan megah dan bangga. Sempurnanya juga bahasa Melayu kita kerana dibudayakan oleh lebih kurang 300 juta orang penutur di seluruh dunia, dengan majoriti penuturnya datang daripada negara-negara Nusantara.

Sebagai penutur bahasa Melayu, tanggungjawab kita terhadap bahasa tidaklah terhenti setakat menuturkannya secara baku atau mengikut dialek tempatan, tetapi juga untuk mengaplikasikannya menerusi penulisan makalah ilmiah, puisi dan prosa. Bahasa seseorang manusia tidak akan lengkap hanya sekadar mendengar, membaca dan berbicara. Oleh itu, carilah keindahan bahasa serta ketinggian nilai keilmuan menerusi penulisan. Carilah juga identiti masyarakat dan tanah air kita menerusi penulisan. Carilah juga erti sebenar kerukunan sebuah peradaban menerusi penulisan.

Dengan menulis, kita bukan sahaja meneroka dunia, tetapi juga mencipta dunia yang beradab dan bersejarah. Dengan menulis juga, kita bukan sahaja meninggalkan kenangan untuk generasi masa kini, tetapi meninggalkan sama pengajaran untuk renungan generasi masa hadapan. Dengan menulis jugalah, kita tidak setakat menanam benih bahasa, tetapi juga menumbuhkan pepohon sastera pada waktu dan tempatnya.

Sebagai sebuah persatuan yang mempromosikan bahasa, sastera dan budaya, Ikatan Penulis Sabah (IPS) mempunyai misi mengembalikan semula semangat mencintai penulisan kreatif dan ilmiah dalam kalangan rakyat di negeri Sabah, khususnya kanak-kanak, remaja dan belia. IPS juga datang bersama misi memudahcara perjalanan rakyat mempelajari dan mengapresiasi bahasa, sastera dan budaya kebangsaan di negeri Sabah.

Ramai yang mengganggap sastera sebagai susah, tidak penting dan tidak bertempat di hati rakyat Malaysia. Hakikatnya, sastera tidaklah seperti yang mereka fikirkan. Sastera merupakan kreativiti. Sastera adalah transformasi. Sastera adalah kualiti. Sastera adalah jati diri. Sastera adalah bunga yang mengindahkan bahasa. Sastera adalah dedaun yang memayungi seni dan budaya.

Mencintai sastera bermaksud mencintai bahasa. Mencintai bahasa bermaksud mencintai budaya. Mencintai budaya bermaksud mencintai negara. Mencintai negara menjadikan kita sebuah tamadun yang maju, berilmu dan bahagia sesuai dengan matlamat yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Oleh itu, sama-samalah kita kembali kepada fitrah mencintai bahasa, sastera dan budaya. Kecintaan tersebut bukan sahaja membolehkan kita semua terus maju ke hadapan, tetapi juga membolehkan keseimbangan insan bergerak seiring dengan arus pemodenan. Jangan biarkan bahasa, sastera dan budaya hancur dimamah kemajuan sains dan teknologi. Sebaliknya, jadikan itu semua sebagai penyumbang kepada kemanusiaan insan berterusan.

Comments