Membangunkan Jiwa Islami: TS25, Rahmatan lil Alamin dan Wasatiyyah


"Perancangan yang besar memerlukan kepada jiwa yang besar. Perkara-perkara yang kelihatan luar biasa mesti dijadikan biasa. Semua itu untuk memastikan masyarakat sentiasa merasai denyut nadi sekolah yang hebat dan atas namanya di tanah air kita."

Saya menyertai Perkhidmatan Awam Persekutuan, enam bulan yang sudah. Perkara pertama yang menjadi perhatian saya sebagai penjawat awam adalah penubuhan Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, Penampang.

Penubuhan BADAR di sekolah ini asalnya kedengaran janggal sekali. Lazimnya, penubuhan BADAR di sesebuah sekolah menengah seiring dengan pelaksanaan program Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) kelolaan Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pendidikan (KPM). SUMUR sudah mengambil tempat di lebih kurang 200 buah sekolah menengah biasa di Malaysia sejak tahun 2016. Tetapi, ketika idea ini diperkenalkan, malah sehingga idea ini direalisasikan, sekolah kita tidak terikat dengan kewajipan melaksanakan SUMUR.

Asalnya, sekolah kita hanya mempunyai sebuah Jawatankuasa Surau yang biasa yang tidak berketua. Hari ini, BADAR bukan lagi sesuatu yang asing di sekolah kita. Seorang guru dan 23 orang pelajar menjadi saksi kepadanya. Mesyuarat Ulungnya pada 18 Januari, serta penzahirannya secara rasmi oleh Pengetua, tiga hari selepas itu, mengesahkan penubuhan BADAR di sekolah kita. Perasmian kita semua lebih bermakna apabila Penyampaian Watikah Kepimpinan Pelajar dilaksanakan secara serentak, Isnin lepas (8 April). Kita amat berterima kasih kepada semua yang mendukung perjuangan kita sejak saat pertamanya.

Penubuhan BADAR merupakan langkah berani dan terpuji yang kita harus sama-sama raikannya dengan rasa syukur dan gembira. Walaupun SUMUR tidak diwajibkan di sekolah kita, BADAR meneruskan fungsi menjamin keberterusan Surau serta aktiviti-aktivitinya, kepentingan Kelas Aliran Agama (KAA) serta pelajar-pelajarnya, serta pembangunan komuniti Islam di sekolah kita secara keseluruhannya.

Begitu pun, kita tidak dapat nafikan pelbagai cabaran dan dugaan yang menimpa BADAR serta ahli-ahli Jawatankuasanya. Idea yang diterima dan disokong di peringkat Pengurusan tidak semestinya dilayan serupa di peringkat Profesional dan Pelaksana. Walaupun persetujuan dapat dicapai secara berperingkat-peringkat, ada sahaja individu mahupun golongan yang cuba menjadikan isu-isu tertentu sebagai tali yang mengikat.

Akibatnya, kita kehilangan sebilangan individu yang asalnya pengasas kepada perjalanan kita. Kita tidak ada pilihan melainkan untuk membiarkan mereka meneruskan tanggungjawab yang lebih bermakna untuk kita semua, di luar persekitaran kita. Kita ucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada mereka semua. Dedikasi dan sumbangan mereka kepada kita sentiasa memotivasikan kita untuk mencapai cita-cita kita yang mulia.

Benar, nama kita bukanlah nama yang besar. Kata mereka, kita akan sentiasa kecil dan berada di bawah sampai bila-bila; mereka yang sebaliknya akan sentiasa besar dan berada di atas semua yang kecil untuk selamanya. Kita sedar, kita buat masa ini hanyalah satu per empat puluh (1/40) daripada keseluruhan populasi sekolah kita. Begitu pun, kita mesti kekal berjiwa besar dan merdeka.

Pertama, kerana kita adalah pemimpin kepada lebih kurang 1,500 orang pelajar yang beragama Islam di sekolah kita. Sebagai sebuah pasukan, kita bukan sahaja mewakili kepentingan mereka, tetapi juga memimpin langkah mereka sekaligus memastikan mereka tetap berada di atas landasan yang sebenar-benarnya. Kita adalah mercu kepada kesejahteraan Islam serta komunitinya di sekolah kita.

Apabila SUMUR dikuatkuasakan sepenuhnya nanti di sekolah kita, Usrah diwajibkan satu masa setiap hari Jumaat. Semua pelajar Muslim dan Moral diwajibkan menyertainya. Pada ketika itu, BADAR akan mempunyai sekurang-kurangnya 120 orang AJK atau satu kelas nisbah dua orang pemimpin Usrah, iaitu seorang Naqib dan seorang Naqibah.

Kedua, kerana kemerdekaan yang tanah air kita kecapi membolehkan kita melakukan segalanya dalam suasana yang makmur dan bahagia. Tugas dan tanggungjawab kita kepada negara dan rakyat tidak jauh bezanya berbanding dengan apa-apa yang mereka ada. Yang membezakan kita, mereka dan kawan-kawan di lapangan yang lain hanyalah bidang kerja sahaja. Di mata Yang Maha Esa, kita semua sama. Tetapi, akhirnya yang membezakan setiap insan adalah iman dan taqwa.

Oleh itu, marilah kita gunakan jiwa dan raga kita yang besar dan merdeka untuk melakukan segala yang terbaik untuk diri kita dan masyarakat di sekeliling kita. Jadikan diri kita seorang Khalifah Allah di muka bumi yang memimpin langkah; memikul amanah berasaskan semangat Iqra. Penubuhan BADAR di sekolah kita membawa bersama hasratnya untuk “Bersama Menjayakan Transformasi Sekolah 2025 (TS25) menerusi Gagasan Rahmatan lil Alamin dan Wasatiyyah”.

TS25 tidaklah menggambarkan kedudukan sesebuah sekolah yang luar biasa, tetapi bukanlah juga perjuangan yang biasa-biasa di Malaysia. TS25 mempromosikan peningkatan kualiti sekolah serta pemerkasaan kemenjadian dan kebolehpasaran pelajar menerusi persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang bermakna, peningkatan kualiti guru, keberkesanan pemimpin sekolah dan sokongan ibu bapa dan komuniti berterusan.

Sebagai pemimpin agama, tugas dan tanggungjawab kita adalah untuk mempromosikan falsafah Rahmatan lil Alamin dan Wasatiyyah kepada semua pemegang taruh di sekolah kita serta mengaplikasikannya menerusi aktiviti-aktiviti yang bersifat rutin dan berkala. Falsafah Rahmatan lil Alamin memerlukan kita meneladani kejujuran, kebertanggungjawaban, penyampaian dan kebijaksanaan Rasulullah SAW. Falsafah itu juga memerlukan kita memaknakan erti kasih sayang dalam konteks Islam yang sebenar.

Walau bagaimanapun, kasih sayang tidak semestinya dengan kelembutan. Ada kalanya, kita mesti beramal dengan ketegasan, tetapi bukanlah pula dengan kekerasan. Di sinilah pentingnya falsafah Wasatiyyah yang tidak setakat meletakkan kita di tengah-tengah orang sekeliling, tetapi juga menekankan keseimbangan dunia dan akhirat. Sesungguhnya harga sebuah keamanan dan kemakmuran terlalu besar nilainya untuk kita. Keamanan dan kemakmuran tidak dapat dicapai semata-mata dengan kecenderungan, tetapi sebaliknya menerusi keseimbangan dan kesederhanaan yang sentiasa mencitrakan keadilan dan kesaksamaan.

Menyedari hakikat ini, kita telah mempersetujui dua dokumen penting yang memandu perjalanan kita. Pertama, Pelan Operasi BADAR 2019, yang mana sebahagian sedang dan telah berjaya dilaksanakan. Setakat semalam (12 April), prestasi keseluruhan BADAR mencatatkan 28.45 peratus. Walaupun Pelan Operasi disemak dan dinilai tiga kali setahun, 2019 merupakan tahun permulaan kepada kita semua. Oleh itu, tiada sasaran tertentu digariskan bagi membolehkan kita semua melihat sejauh manakah kita boleh bergerak sebagai satu dan untuk semua.

Kedua, Rancangan Transformasi BADAR 2019-2025. Dalam tempoh enam tahun, kita mahukan kepimpinan yang berwibawa, pemasyarakatan Pusat Islam yang berterusan, kesenian Islam sebagai bidang kebitaraan dan sebuah organisasi yang senantiasa berpaksikan rakyat. Dalam tempoh yang sama, kita dan pengganti-pengganti kita mesti menjayakan 16 inisiatif dan 42 petunjuk prestasi yang menjurus kepada empat strategi yang telah disebutkan.

Tahun ini, kita mula mengorak langkah menjalinkan kerjasama pintar dengan sekurang-kurangnya sebuah sekolah di luar daerah Putatan dan Penampang, sebuah jabatan Kerajaan dan sebuah pertubuhan bukan Kerajaan. Tahun ini juga, kita memperkenalkan Ijtimak KAA, sebuah perhimpunan berkala khas untuk semua pelajar KAA menimba ilmu dan pengalaman serta berkongsi pandangan dan saranan.

Tahun ini, kita mulakan latihan berkala – iaitu sebulan sekali atau dua kali – untuk mereka yang berminat menyertai acara-acara berteraskan Dakwah dan Tarbiyyah pada tahun mendatang, iaitu Nasyid, Syarahan Agama, Tilawah al-Quran, Hafazan al-Quran, Khat dan Kuiz Keagamaan. Tahun ini juga, kita meminjam Debat dan Pidato Bahasa Arab, Kompang dan Tunas Niaga masing-masing daripada tuannya, masing-masing bagi menyemarakkan bahasa Arab, kesenian Islam serta ekonomi dan keusahawanan Islam, di samping memasukkan elemen sukan dan rekreasi di dalam gerak kerja kita.

Perancangan yang besar memerlukan kepada jiwa yang besar. Perkara-perkara yang kelihatan luar biasa mesti dijadikan biasa. Semua itu untuk memastikan masyarakat sentiasa merasai denyut nadi sekolah yang hebat dan atas namanya di tanah air kita. Begitu pun, ada amanah yang lebih besar yang kita harus pikul bersama, iaitu Islam yang sentiasa memandu kita dari dunia ini ke akhirat sana. Bersama kita jayakan hasrat murni kita demi manfaat sama. Kepada Allah kita serahkan segala cita-cita dan harapan, mudah-mudahan diberikan kudrat dan iradat berterusan untuk meneruskan perjuangan, agar doa, usaha, ikhtiar dan tawakal kita sentiasa dikabulkan.

Mesyuarat Penuh Badan Dakwah dan Rohani, SMK Tansau, Penampang 4/2019
Sabtu, 13 April 2019
Surau Nur al-Hidayah, SMK Tansau, Penampang, Sabah

Comments