Mensyukuri Kejayaan, Meneruskan Perjuangan Menerusi TS25


"TS25 merupakan satu perjuangan yang amat besar nilainya, yang kita semua mesti teruskan dengan kudrat dan iradat kita yang sekecil-kecilnya mahupun yang sebesar-besarnya. Banyak lagi yang kita harus lakukan bersama demi keberlangsungan manfaat kita bersama."

Hari ini merupakan hari ke-55 persekolahan bagi tahun 2019. Kesempatan yang ada diambil untuk mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya datang ke sekolah pada hari ini. Kepada yang tidak bersama kita pada hari ini, kita doakan agar mereka dapat kembali semula bersama kita pada hari persekolahan yang berikutnya.

54 hari yang lepas, sekolah kita telah menyaksikan pelbagai episod kejayaan yang kita semua, sebagai "Sekolah Hebat Berjiwa Besar", raikan dan teladani bersama-sama, baik dalam bidang bahasa, seni dan sukan. Kita semua berbangga kerana, di tengah-tengah cabaran dan dugaan yang menimpa sekolah ini, warganya yang berpegang kepada jati diri "Biasakan yang Luar Biasa" tetap bersemangat waja untuk mengharumkan nama baik sekolah kita.

2018 merupakan tahun yang membanggakan sekolah ini serta warganya. Alhamdulillah, rekod peperiksaan SPM pada tahun sudah menunjukkan lonjakan saujana, sekaligus menjadikan sekolah kita yang kedua terbaik di daerah Putatan dan Penampang. Kita semua bersyukur dan berbangga dengan kejayaan sebegini rupa.

Walaupun begitu, kita jangan cepat berpuas hati dengan segala yang kita kecapi kini. TS25 merupakan satu perjuangan yang amat besar nilainya, yang kita semua mesti teruskan dengan kudrat dan iradat kita yang sekecil-kecilnya mahupun yang sebesar-besarnya. Banyak lagi yang kita harus lakukan bersama demi keberlangsungan manfaat kita bersama.

Saya harap kita semua kembali pada hari persekolahan berikutnya dalam keadaan yang "Berilmu, Berdisiplin dan Berwawasan". Warga SMK Tansau mesti penuh ilmunya di dada, kaya akhlak di jiwanya dan cerah wawasan di mindanya.

Pelajar-pelajar SMK Tansau mesti berbangga memiliki semangat jingga yang membara; suatu semangat yang membolehkannya sentiasa taat setia kepada sekolahnya, memuliakan ibu bapa dan keluarganya, menghormati guru-gurunya, menjunjung tinggi budaya keilmuan, berazam menanamkan diri dengan segala budi pekerti yang mulia dan kemahiran insaniah yang berguna.

Kata-kata ini bukanlah semata-mata satu pesanan dan rayuan dari seorang guru kepada pelajar-pelajarnya, tetapi hanya sekadar kemahuan seorang ibu bapa agar anak-anaknya berpegang kepada akhlak mulia dan sahsiah terpuji. Begitulah jua harapan seorang abang dan kakak kepada adik-adiknya agar menjadi manusia yang baik dan berguna.

Selamat berehat daripada persekolahan, selamat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing dan selamat kembali ke sekolah ini dengan semangat jingga yang membara dan akhlak yang mulia.

Dirgahayu sekolah transformasi. Jasamu tetap disanjung tinggi.

Perhimpunan Rasmi Sidang Petang, SMK Tansau, Penampang
Jumaat, 22 Mac 2019
Dataran Datin Patimah, SMK Tansau, Penampang, Sabah

Comments