Transformasi di Era Reformasi


9 Mei tahun sudah (2018), rakyat memilih untuk mengharungi “Malaysia Baharu”, bukanlah Malaysia yang baru sahaja merdeka dan berdaulat, tetapi Malaysia yang ‘bernafas baru’ hasil pemilihan teraju Kerajaan yang baru. Teraju Kerajaan yang sudah memilih perkataan ‘transformasi’, suatu perkataan yang didengar tidak popular di sisi rakyat, namun memberi sentuhan yang sangat berimpak tinggi kepada negara dan rakyat.

‘Transformasi’ mungkin tidak didengar elok oleh golongan tertentu. Walau bagaimanapun, perkataan yang sama yang sesungguhnya membolehkan mereka merasai pelbagai sentuhan daripada Kerajaan ketika itu tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman siasah. Transformasi telah sesungguhnya melonjakkan nama negara ke aras yang lebih tinggi di persada dunia.

Tiada negara di dunia, sepanjang lima hingga sepuluh tahun yang sudah, mengambil langkah berani mendekatkan secara langsung rakyat dengan perkhidmatan Kerajaan di kota dan desa. Dalam tempoh yang sama, negara telah menyaksikan galakan kewangan disuntik kepada industri kecil dan sederhana, kesarjanaan digalakkan ke tahap yang tertinggi, pengangkutan awam dilonjakkan, peluang kerjaya di dalam Perkhidmatan Awam diluaskan, serta Sukan Asia Tenggara dijayakan buat kali yang berikutnya.

Sudah menjadi resam negara, pemimpin berjasa silih berganti. Sebagai rakyat yang sivik, di samping kita berhak untuk memilih sesiapa sahaja dan apa-apa jua parti untuk menjadi Kerajaan, kita dituntut berterima kasih kepada pemimpin yang telah selesai kepimpinannya dan mengalu-alukan pemimpin semasa selama mana beliau membuat dan membawa kebaikan kepada rakyat secara keseluruhannya.

Walaupun begitu, teraju Kerajaan semasa bukanlah orang baru, tetapi orang lama yang membawa perwatakan dan naratif yang berbeza. Yang baru hanyalah orang-orang yang memilih untuk sebarisan bersama beliau. Teraju Kerajaan kali ini memilih ‘reformasi’, iaitu memulakan semula pensejarahan negara dari awalnya dengan cara yang berbeza daripada ‘Malaysia yang pertama’.

Rentetan itu, Kerajaan melakukan pelbagai jenis pembaharuan termasuklah penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi pelbagai bidang, pelancaran Pelan Anti Rasuah Nasional, pengenalan Naratif Baharu Amalan Pendidikan, keluasan kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar, serta pengenalan kaedah belanjawan sifar. Bagi Kerajaan semasa, begitulah cara mereka menterjemahkan ‘Malaysia yang kedua’.

Walau bagaimanapun, tidak semua rakyat memahami aspirasi sebenar sebuah reformasi. Yang mereka inginkan hanyalah sentuhan-sentuhan daripada Kerajaan yang tidak sepatutnya dikurangkan, apatah lagi dilalukan begitu sahaja dari hidup mereka. Hakikatnya, melalui undang-undang dan dasar, Kerajaan sentiasa bertanggungjawab memastikan keamanan dan kemakmuran rakyat terus terpelihara sesuai dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan aspirasi rakyat secara keseluruhannya.

Oleh hal yang demikian, gagasan transformasi masih berada di hati rakyat walaupun berada di zaman reformasi. Hal ini demikian bukanlah kerana parti mana yang membawa gagasan itu atau siapakah pemimpin yang memperkenalkannya, tetapi kehendak transformasi yang sentiasa berpaksikan kepada keadaan ekonomi, sosial dan fizikal negara yang boleh digunakan dan diupayakan menerusi pelbagai penambahbaikan yang bersesuaian.

Komuniti pendidikan negara masih boleh senyum dengan dasar semasa pendidikan negara. Dalam era reformasi, Kementerian Pendidikan (KPM) mengekalkan transformasi sebagai nadi kejayaan pendidikan negara. KPM memperkenalkan program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) pada tahun 2016 dan meneruskannya sehingga kini. TS25 bermatlamat menggandakan kemenjadian murid dan menambah bilangan sekolah berkualiti menerusi persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang bermakna, peningkatan kualiti guru, keberkesanan pemimpin sekolah dan sokongan ibu bapa dan komuniti berterusan.

Menerusi TS25, pelajar bukan sahaja boleh menikmati kualiti akademik yang lebih baik, tetapi juga dapat menerokai penguasaan dan pengamalan ilmu, kemahiran dan bakat yang bukan akademik. Perkara ini penting bagi memastikan pelajar mencapai kemenjadiannya secara holistik dan seimbang, baik akademik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan. Guru, pada masa yang sama, mampu menguasai pelbagai kemahiran pengajaran dan kepimpinan dan dapat menterjemahkannya menerusi hubungan dengan industri dan komuniti.

Sejak tahun 2016, TS25 telah menunjukkan keberhasilannya yang tersendiri. Walaupun sekolah-sekolah TS25 tidak setanding dengan Sekolah Berprestasi Tinggi dan Sekolah Kluster Kecemerlangan, sekolah-sekolah tersebut telah mencapai kecemerlangannya dalam pelbagai bidang kebitaraan seperti rekacipta, pengucapan awam dan keusahawanan. Sebahagian daripada mereka, malah, sudah menempa nama di persada negara dan antarabangsa dalam bidang kebitaraan yang berkaitan.

Secara tuntasnya, transformasi tidak dapat dinafikan daripada arus pembangunan negara. Walaupun negara sedang mengharungi era reformasi, transformasi harus sentiasa menjadi panduan untuk membolehkan negara dan rakyat mencapai kejayaan yang berimpak tinggi dan berterusan di pelbagai ketika dan lapangan. Hal ini demikian kerana, transformasi bukan sahaja mendekatkan rakyat dengan negara, tetapi juga membuatkan rakyat sentiasa berbangga dengan negara yang sentiasa mara selangkah ke hadapan, menerajui dan mendepani perubahan.

Photo courtesy of Harvard International Review

Comments