Doa untuk Sekolah dan Warga


Ya Allah,
Kami adalah anak-anak Malaysia di negeri Sabah
yang meletakkan hidup dan mati kami hanya untuk-Mu
yang meneladani dan meneruskan perjuangan Rasul-Mu
yang memberi jiwa dan raga untuk memegang erat Rukunegara

Dengan rahsia keagungan-Mu dan kebesaran-Mu
berkatilah Sekolah Menengah Kebangsaan Tansau, Penampang
sekolah yang hebat dengan jiwa yang besar
berserta seluruh warganya yang berilmu, berdisiplin dan berwawasan

Rahmatilah ibu bapa kami, keluarga kami
guru-guru kami dan sahabat-sahabat kami
yang masih diberi kehidupan mahupun yang telah selamanya kembali
Anugerahkanlah kepada mereka ganjaran yang sebesar-besarnya
atas jasa mereka kepada kami yang tidak terkira bilangannya dan ertinya

Ya Allah,
Permudahkanlah kami menimba dan menguasai ilmu dan kemahiran
Tanamkanlah dalam diri kami nilai-nilai murni dan budi bahasa
Bekalkanlah kami semangat yang tidak pernah menyerah dan mengalah
untuk menyambung perjuangan yang tidak pernah ada pengakhiran

Kuatkanlah sesama kami perpaduan dan persaudaraan
meski ada sahaja yang menjarakkan dan membezakan
Ajarkanlah kami kasih sayang yang tidak akan pernah menggagalkan
Jauhkanlah kami daripada musibah dan marabahaya yang menakutkan

Tunjukkanlah kami jalan untuk merangkul keunggulan
di pelbagai tempat dan ketika, peringkat dan lapangan
jauh sekali untuk mengejar kebanggaan dan kemasyhuran
tetapi untuk manfaat dan renungan semua, sepanjang zaman

Ya Allah,
Sesungguhnya tidak terkira dengan jari hajat dan cita-cita kami
tidak semua mampu diluahkan, terlalu banyak yang tersembunyi
hanya kepada-Mu sahaja kami meminta dan berdoa
terimalah segala doa kami dan janganlah Engkau putuskan harapan kami

Comments