Tahun Baru Bersama Azam dan Istiqamah


"Kedatangan tahun baru tidaklah semestinya bersifat menggembirakan, malah harus sentiasa menginsafkan dan menyedarkan kita bahawa umur semakin meningkat, kematian juga semakin dekat."

Saudara sebangsa dan setanah air,

Selamat Tahun Baru 2019. Marilah sama-sama kita merafakkan segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa. Dengan limpah kurnia-Nya serta izin-Nya, dapatlah kita meneruskan kehidupan pada tahun 2019.

Marilah juga sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Berlalu sahaja tahun 2018 menandakan datanglah pula tahun 2019. Peringatan mahupun sambutan tahun baru, sama ada Hijri atau Masihi, memang kebiasaannya sesuatu yang menggembirakan. Ada yang menyambutnya dengan qasidah, selawat, zikir dan doa. Ada jua yang menyambutnya dengan ceramah, forum dan ucapan. Ada jua yang menyambutnya semata-mata dengan sketsa, tarian dan nyanyian, percikan bunga api serta nyanyian lagu kebangsaan.

Begitu pun, kedatangan tahun baru tidaklah semestinya bersifat menggembirakan, malah harus sentiasa menginsafkan dan menyedarkan kita bahawa umur semakin meningkat, kematian juga semakin dekat. Mereka yang merasakan sedemikian pasti bertanya kepada diri sendiri, adakah amal ibadah dan khidmat bakti kita sudah mencukupi? Adakah sudah diganti atau belum ibadah wajib yang, secara sengaja atau tidak, ditinggalkan? Berapa banyakkah lagi dosa yang belum lagi kita bertaubat dan minta ampun daripada Allah SWT? Layakkah kita masuk ke syurga-Nya nanti di Hari Akhirat sana?

Saya tidak fikir jawapannya sentiasa positif. Sedangkan Rasulullah SAW yang bersifat maksum meminta ampun kepada Allah SWT 100 kali sehari, siapakah kita untuk senang-senang menjawab ‘ya’ kepada soalan itu semua? Sebagai umat Islam yang beriman, kita tidak boleh cepat berpuas hati dengan segala amal ibadah dan khidmat bakti yang kita telah lakukan selama ini. Malah, kita semua dianjurkan untuk tetap mengerjakan itu semua, walaupun secara berdikit-dikit, selagi hayat dikandung badan.

Saidatina Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT menyukai sesuatu amalan yang dikerjakan oleh salah seorang daripada kamu secara berterusan.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Walaupun hadis tersebut menyentuh secara langsung tentang keperluan umat Islam untuk meneruskan amal ibadah dan khidmat bakti walaupun sedikit, hadis tersebut secara tidak langsung menyediakan panduan kepada kita untuk membulatkan dan mengemaskini azam.

Sebelum berbuat demikian, kita mesti bermuhasabah diri dahulu. Kita mesti mengetahui sejauh manakah kita telah menyempurnakan ketaatan kita kepada Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Kita juga mesti mengetahui apakah lagi kelompongan yang terdapat dalam diri kita selama kita mengerjakan demikian. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hasyr, ayat 18:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (Hari Akhirat), dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Luas Pengetahuan-Nya tentang segala yang kamu kerjakan.”

Hanya setelah muhasabah diri, kita boleh berazam dengan apa-apa jua yang kita ingin capai pada masa kini dan masa hadapan. Walaupun begitu, azam tidak mencukupi tanpa perancangan dan persediaan dari semua aspek dan peringkat. Kedua-dua perkara tersebut penting bagi memastikan kelancaraan pelaksanaan pada tempat dan waktunya. Sesuatu pelaksanaan hanya dianggap berjaya sekiranya menepati azam, sesuai dengan persiapan dan perancangan, dan bersifat berterusan.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Mengakhiri khutbah, marilah kita renungi intipati-intipati penting sebagai pedoman dalam kehidupan kita.

Pertama: Di sebalik kegembiraan memperingati kedatangan tahun baru, kita diajak untuk menilai diri pada tahun lalu serta menyediakan diri untuk masa hadapan.

Kedua: Muhasabah diri dan azam untuk melakukan perubahan dan penambahbaikan tidaklah semata-mata dilakukan pada tahun baru sahaja, tetapi juga pada setiap masa.

Ketiga: Istiqamah merupakan nilai tambah kepada kesempurnaan sesuatu amalan.

Jumaat, 4 Januari 2019.
Masjid al-Baari, Taman Ketiau, Putatan, Sabah.
Khutbah sumbangan Jabatan Agama Islam Selangor yang diringkaskan.

Comments