Sandakan Selepas Sembilan Tahun


Saya kembali ke Sandakan setelah sembilan tahun tidak menjengah. Kali terakhir saya menjengah ke sebelah sana, saya masih di bangku sekolah menengah, mewakili sekolah dalam pertandingan pidato spontan bahasa Arab peringkat negeri.

Terbang dari Kota Kinabalu ke Sandakan seperti terbang ke negeri lain dalam negara yang sama. Itulah yang bermain di fikiran saya apabila terbang ke sana atas urusan peribadi dan akademik, dan nanti harus kembali semula ke sana kemudian untuk meneruskan urusan akademik.

Setibanya saya di Sandakan, ada satu nama yang meniti di minda dan jiwa saya. “Ustaz susah itu mahu cari rumah saya nanti,” begitulah lebih kurang ayat yang terngiang-ngiang di telinga saya, yang pernah orang itu katakan tidak lama dulu. Tetapi, saya tidak peduli. Saya ikhtiarkan diri mencari di manakah dalam daerah ini beliau berada.

Saya menjumpai petunjuk di alam maya, yang kemudiannya membawa saya ke sebuah sekolah tidak jauh dari pusat bandar. Saya berterima kasih sekali kepada pekerja di sana yang menunjukkan saya jalan sejauh lebih kurang enam batu lagi dari sekolah itu untuk sampai ke sana.

Hanya setelah berada di sana, saya menelefon ibu kepada orang tersebut. “Mak cik, saya kawan Arsyam dari Putatan yang menunggu di bawah,” kata saya kepada beliau.

Alhamdulillah, saya tidak salah orang. Ibunya bingkas memberitahu orang itu bahawa saya menunggu di bawah… dan saya sempat menitiskan air mata apabila menyedari bahawa saya benar-benar berada di tempat yang sepatutnya.

Arsyam mengajak saya naik ke tingkat empat dan masuk ke dalam rumahnya. Saya tidak punya banyak kata ketika itu kerana masih tidak percaya bahawa saya sudah menunaikan janji yang saya hasratkan lebih kurang dua minggu sebelumnya. Ketika itu, beliau baru mahu meninggalkan Tuaran setelah tiga tahun bermukim di sana.

Arsyam dan keluarga juga tertanya bagaimana saya boleh sampai ke tempat ini. Ketika saya menunjukkan jari saya kepada adik beliau, barulah mereka faham cerita yang sebenar.

Ibu beliau meminta saya bermalam di rumah itu bersama mereka. Saya menghargai pelawaan itu.Tetapi, saya memilih untuk membawa beliau ke pusat bandar dan bermalam semalam di penginapan. Perkara itu juga tidak pernah saya fikir, akan saya lakukan kepada orang yang rapat dengan saya; beliaulah orang yang pertama.

Hanya pada waktu itu, barulah kami berkesempatan bercerita dari hati ke hati, berjalan-jalan menikmati tepian Laut Sulu sambil menjengah pusat bandar yang sarat dengan sejarah silam. Bila tiba waktunya, kami singgah makan. Sama ada berjalan atau beristirahat di penginapan, kami mengambil sedikit waktu untuk menyanyi.

Memang sebolehnya kami berdua menjadi duo nasyid. Kami pernah jua terfikir untuk membuat persembahan sekiranya ada ruang dan peluang. Tetapi, nyanyian kami cukuplah hanya sekadar menghiburkan hati dan suasana.

Dua hari dan satu malam bersama Arsyam di kampung halamannya, bagi beliau, barangkali sesuatu yang menyukarkan. Tidak pernah Arsyam terfikir bahawa guru-gurunya dan kawan-kawannya dari sebelah barat akan datang hanya untuk menjengah beliau dan famili.

Begitu pun, saya senang hati sekali. Arsyam dan famili menerima kedatangan saya dengan rasa syukur dan gembira. Jauh di relung hati saya, saya bersyukur kerana hasrat saya bertukar menjadi kenyataan. Barangkali itulah hadiah yang Allah berikan kepada saya setelah sembilan tahun tidak menjengah ke Sandakan.

Malah, diri Arsyam itu sendiri sebetulnya hadiah yang terlalu berharga yang Allah berikan kepada diri ini.

Comments