Perayaan dan Perbezaan Pandangan


Saya rindu zaman saya masih kecil. Sebahagian daripada kawan saya adalah orang yang tidak seagama dengan saya. Merekalah teman berbasikal, berkejar dan berlari dengan saya di sekitar kawasan perumahan. Tetapi, kami diajar oleh keluarga masing-masing untuk memahami budi bahasa dan nilai-nilai murni. Setiap kali ada sambutan hari kelahiran, saya dan adik-beradik datang ke mari walaupun rumah yang menyambutnya tidak seakidah dengan kami.

Tapi, mereka sekali lagi memahami kami, maka dimasaknya untuk tetamu Muslim dengan masakan halal. Malah, saya disuruhlah pula oleh tuan rumah untuk membaca doa. Saya berterima kasih sekali kepada mereka yang mengajar saya apa erti sebenar menjadi umat Islam dan rakyat Malaysia yang mencintai perpaduan, persahabatan dan persaudaraan.

Kalau diberi peluang lagi untuk merasai semula zaman itu walaupun pada masa kini, apa salahnya saya ke mari. Kalau boleh, saya undang mereka untuk kali yang berikutnya datang ke mari walaupun sudah berada di rumah yang berbeza, tanda berterima kasih kepada Allah kerana merahmati sifat manusiawi yang membolehkan terus bersatu-padu, bersahabat dan bersaudara walaupun berbeza agama dan budaya.

Saya orang Borneo dan orang Malaya. Orang Borneo amat meraikan perpaduan dan keterangkuman. Orang Malaya pula amat tegas dalam bab menjaga agama. Saya fikir kedua-dua orang Borneo dan Malaya bersetuju dengan saya dalam hal ini. Hal ini menyebabkan orang Borneo dan Malaya sentiasa berbeza pandangan dalam segala perkara.

Perbezaan pendapat itu perkara biasa. Walaupun saya tidak menggemari debat, saya sendiri merupakan seorang pendebat yang sebati dengan perbezaan pendapat. Saya sentiasa menghormatinya walaupun saya tidak mampu membalasnya. Tetapi, bergaduh dan keras kepala dengan pandangan sendiri tidak sedikit pun menyelesaikan masalah, malah membesarkannya.

Isu perayaan orang bukan Islam sentiasa diheret ke pentas perdebatan yang bermusim, tidak berkesudahan dan tidak menghasilkan persepakatan. Tiada siapa yang dapat menyangkal perkara ini. Ulama dulu dan kini meneruskan perbezaan pendapat mereka mengenai hal ini berdasarkan dalil naqli dan aqli yang masing-masing pegang dan pertahankan.

Memanglah haram bagi orang Islam untuk menyertai ritual perayaan orang bukan Islam, apatah lagi beriktikad dengan kepercayaan mereka. Semua ulama, baik dulu dan kini, bersepakat terhadap perkara ini. Umat Islam, malah orang bukan Islam, sedia maklum akan perkara ini.

Walaupun begitu, Islam tidak mengajar umatnya untuk bergaduh, berkeras kepala dan bersifat sarkastik hanya kerana mempertahankan pendirian masing-masing. Benar, tidak semua sependapat apabila menyentuh isu mengucapkan selamat dan tahniah kepada orang bukan Islam sempena perayaan mereka dan meraikan bersama orang bukan Islam perayaan mereka.

Tetapi, kita mencintai perpaduan dan keterangkuman. Mengucapkan selamat dan tahniah kepada mereka sempena perayaan yang mereka sambut apa masalahnya. Kasihan kepada seseorang yang beragama Islam tetapi mempunyai keluarga dan sanak saudara yang berlainan agama. Ucapan selamat dan tahniah tidaklah pula disertai dengan iktikad kepada agama yang mereka anuti serta ritual yang terkandung dalam sesuatu perayaan.

Meraikan perayaan bersama mereka, dalam erti kata berkunjung ke rumah, bersalaman, bertanya khabar dan bermaafan, menjamah hidangan yang tersedia di rumah mereka (selagi halal dalam Islam) pun apa masalahnya. Kunjungan umat Islam ke rumah orang bukan Islam sempena perayaan mereka tidaklah pula kerana mahu ikut sama melakukan ritual yang terkandung dalam sambutan mereka. Jikalau mereka mahu lakukan sekali pun, itu kebebasan mereka untuk beragama yang agama Islam sudah jamin sejak sekian lama.

Oleh hal yang demikian, Kerajaan, sama ada pada Pentadbiran dahulu mahupun kini, mengadakan Majlis Rumah Terbuka, malah menggalakkan rakyat untuk membudayakan dan meneruskan amalan rumah terbuka di rumah masing-masing supaya, walaupun rakyat negara kita sentiasa berbeza agama dan budaya, perpaduan dan persaudaraan terus terpelihara.

Ada yang bertanya, mengapa umat Islam tidak berbuat baik kepada orang bukan Islam pada 364 hari yang lain dan hanya pada hari mereka menyambut perayaan mereka. Jawapannya sudah terang lagi bersuluh, kerana perayaan sentiasa bersifat istimewa walaupun keistimewaan itu tidak dikhususkan kepada kita. Kerana keistimewaan perayaan, mereka yang menyambutnya bersifat gembira.

Kesimpulannya, tidak salah untuk umat Islam bergembira dengan orang bukan Islam walaupun perayaan tersebut milik mereka. Kerana kita mahu tumpang gembira dan mahu terus rasa bersahabat dan bersaudara walaupun berbeza agama dan budaya, kita mengucapkan selamat dan tahniah kepada mereka serta berkunjung ke rumah mereka sempena perayaan. Akidah umat Islam tidak akan berubah. Malah, nilai kesederhanaan dan toleransi yang dipromosikan oleh Islam yang mungkin menarik ramai lagi orang untuk minat kepada Islam.

Comments