Mengimbas 2018


2018 merupakan tahun yang bersejarah buat saya. Pengakhiran kepada pengajian tinggi adalah perkhidmatan. Tetapi, pengajian tinggi akhirnya terus beriringan dengan perkhidmatan. Pengakhiran kepada pengajian ijazah dasar saya di UIAM, pada bulan Februari, merupakan permulaan kepada pengajian ijazah lanjutan di UMS.

Sejak itu, saya (dan empat orang pensyarah UIAM dan UMS) telah menulis empat buah kertas kerja kepada tiga buah persidangan di Malaysia dan Turki. Rakan penyelidikan saya membentang di Istanbul pada Oktober. Yang lain semuanya saya bentangkan di George Town dan Kota Kinabalu pada Julai dan Oktober.

Saya (dan dua orang pensyarah UMS) juga berjaya menerbitkan sebuah artikel di dalam sebuah jurnal berwasit antarabangsa. Mulai bulan ini dan untuk 12 bulan mendatang, penyelidikan saya (dan penyelia saya) ditaja oleh Geran Penyelidikan Pascasiswazah UMS berjumlah RM 5,000.

Tiga bulan sebelum sempurnanya semester kedua pengajian sarjana, saya menyertai Perkhidmatan Awam Persekutuan dan memulakan tugas sebagai guru di SMK Tansau. Saya menerima ijazah pertama saya secara formal daripada UIAM, empat minggu selepas pelantikan. Yang menyampaikannya adalah Ketua Setiausaha Kementerian tempat saya bernaung kini.

Saya bersyukur kepada Allah SWT atas rezeki yang sebesar ini. Saya gembira sekali untuk menerimanya, begitulah juga dengan keluarga saya. Namun begitu, tidak semua orang gembira dengan pencapaian saya. Bukanlah hasad dengki yang menjadi punca, tetapi kerana mereka tidak memberi apa pun nilai kepada pencapaian yang besar seperti ini.

Bagi mereka, segalanya yang saya capai dalam tempoh setahun kebelakangan sedikit pun tidak membawa erti apa pun jua caranya saya berkongsi. Mereka yang masih di bangku sekolah menengah – bukan di negeri ini, tetapi di negeri sana – hanya tahu memberi dan menerima pengiktirafan sesama sendiri. Harga sebuah ‘syukur’, ‘tahniah’ dan ‘terbaik’ amatlah murah sesama mereka, tetapi terlalu mahal bagi orang-orang yang berada di luar bulatan mereka.

Perkara ini merupakan salah satu daripada empat perkara yang membuatkan betapa lamanya saya mengharungi rasa dukacita. Orang di kanan dan kini, malah keluarga sendiri, hairan mengapa selalu sangat diri ini berlinangan air mata. Hanya Allah yang mengerti apa perasaan orang yang peduli untuk berkongsi tetapi berakhir menjadi orang yang tertolak ke tepi tidak bererti.

Hanya Allah jualah yang Maha Mengetahui isi hati hamba-hamba-Nya yang mencintai haiwan peliharaan. Mereka hadir menggantikan insan yang kejauhan. Mereka berikan diri mereka kepada mereka supaya kita pandai memberi. Namun begitu, hidup dan matinya sama seperti manusia, datang ke dunia dan kepada kita pada waktunya, dan kembali kepada Penciptanya juga pada waktunya.

Perkara yang sama saya rasai apabila negara memilih parti pemerintah baru buat pertama kali. Bukanlah kerana siapa yang membarisi pentadbiran setelah itu yang membuatkan saya berdukacita, tetapi halatuju yang – pada hemat saya – menyebabkan ketidakstabilan berterusan kepada rakyat dan negara. Hakikatnya, rakyat sentiasa mahukan yang terbaik daripada pentadbiran untuk negara.

Begitu pun, ada kesedihan yang lebih besar yang saya pernah harungi, terutamanya dalam tempoh dua hingga tiga bulan yang terakhir. Sepanjang tahun ini, saya meneruskan tradisi yang saya letakkan dalam kehidupan saya sejak dua tahun kebelakangan, iaitu untuk menziarahi 'famili' yang berada bersebelahan dengan pekan.

Saya selalu datang sana dengan tangan yang kosong. Saya hanya mampu berkongsi ilmu, pandangan dan pengalaman pada tempat dan waktunya, secara umum mahupun dalam bulatan kecil-kecilan. Saya harap mereka telah belajar banyak perkara di luar bilik darjah setiap kali mereka bersama saya. Itu sahajalah kelaziman yang termampu pada diri saya.

Apabila Kerajaan memutuskan untuk memisahkan saya dari sekolah tersebut kerana ditugaskan ke sekolah lain, jauh di relung hati, saya merasakan kehilangan yang agak besar. Saya bukan sahaja kehilangan sekolah itu, tetapi juga orang-orang yang berada di sana, apatah lagi mereka yang saya panggil sebagai ‘sahabat-sahabat rapat yang saya cintai’ walaupun saya ini guru mereka. Pada waktu itu, saya hanya mampu berharap dan berdoa.

Walaupun begitu, saya diajar untuk selalu berjiwa besar. Saya tidak pernah menolak ke tepi orang-orang yang tidak mempedulikan, malah membiarkan saya begitu sahaja. Mereka yang demikian sebetulnya adalah juga ‘sahabat-sahabat rapat yang saya cintai’, suatu pengiktirafan yang besar yang saya masih mahu sebolehnya kekalkan.

Saya juga tidak pernah menolak tepi orang-orang yang sudah berkongsi tempat dan waktu untuk duduk dan berdiri, bergembira dan berduka, berzikir dan berdoa, berjalan dan berlari bersama diri ini. Malah, saya mahu selamanya mencintai walaupun musim berganti dan dunia membenci.

Cinta kepada orang-orang seperti ini membuatkan saya sanggup mengembara ke penjuru lain dalam negara hanya untuk mencari dan mencintai. Boleh jadi mereka harian bagaimana sedalam mana pun rumah itu dihuni, masih boleh dijumpai untuk dicintai. Saya tidak kisah kerana bukan selalu saya boleh berbuat begini. Itulah, dan sebolehnya banyak lagi, caranya saya berterima kasih kepada mereka kerana telah dan masih menerima apa adanya diri ini.

Nama mereka banyak sekali. Saya hanya mampu menulis beberapa nama yang selalu bersama saya mahupun yang selalu berhubungan dengan saya dari kejauhan: Ammar Daniali, Muhammad Ikmal Hakim, Syed Ahmad Fawwaz Wafa, Afif Afnan dan Muhammad Najib – kesemua mereka telah dan masih berada di UIAM.

Aiman Arif, alumni KISAS di KYSNZ. Mohd. Khairul Farhan, alumni SMESH di KDU. Mohd. Arsyam, Safwan, Mohd. Afif, Muhammad Farhan Firdaus dan Daryl – kesemua mereka baru berlalu dari SMESH. Muhammad Afiq Danial, Muhammad Nabil, Khairune Amzar, Wan Muhammad Amirul Sofian dan Norisal – kesemua mereka masih bersama SMESH.

Muhammad Yusuf, Mohamad Syazraie, Muhammad Rahmuni Shazani, Mohamad Asyraf, Muhammad Harith dan Amir Naqiuddin – kesemua mereka alumni SMKSP. Muhammad Ashyraff yang baru berlalu dari SMKSP bersama kawan-kawannya. Muhammad Amir Hakim, Tuan Nabil Aiman dan Basil – kesemua mereka masih bersama SMKSP.

Budisetiawan, Mohd. Ziad Farhan, Muhammad Syafi Zuhairi dan Mohammad Iswandy – kesemua mereka baru berlalu dari SMK Tansau bersama kawan-kawan mereka.

Sebetulnya, banyak lagi yang perlu saya lakukan hanya untuk menyatakan, sedalam mana pun episod duka yang saya lalui, saya bersyukur dan berterima kasih sekali kepada sesiapa yang telah berkongsi doa, nasihat, sokongan dan dorongan untuk terus mencipta episod suka menerusi lebih banyak pencapaian dan pengiktirafan.

Saya sudah mula menikmatinya bersama sahabat-sahabat dan rakan-rakan sekerja dan sepengajian di sekolah saya yang terkini. Saya juga terus menikmatinya bersama sahabat-sahabat dan rakan-rakan sekerja dan sepengajian di UIAM, UMS, sekolah-sekolah saya yang terdahulu dan persatuan-persatuan awam yang masih saya sertai.

Para pendidik yang pernah mendidik saya suatu masa dahulu di Tadika JHEAINS Tuaran, SAN Pekan Tuaran, SK Berungis, Tuaran, SMKA Tun Ahmadshah, SMKA Kota Kinabalu dan UIAM – dan di sekolah-sekolah lain di seluruh negara – pasti gembira dengan apa-apa yang saya capai kini. Cita-cita yang saya dan ibu bapa saya laungkan selama ini akhirnya menjadi realiti.

Orang-orang yang lebih layak gembira dengan segalanya yang saya capai kini adalah ibu bapa dan adik-beradik yang menyumbang kehidupan mereka hanya untuk diri ini. Begitulah juga dengan sanak saudara dan jiran tetangga yang tidak putus-putus menyumbang doa, nasihat, sokongan dan dorongan untuk kejayaan diri ini masa kini dan masa nanti.

Mohon maaf sebanyak-banyaknya kerana banyak sangat menyusahkan. Mohon maaf juga sebanyak-banyaknya atas segala yang salah dan silap daripada diri ini. Begitu pun, terima kasih banyak-banyak kepada semua yang telah dan masih bersama diri ini selama ini memberi dan menerima segalanya yang dilayakkan kepada diri saya. Bengkok rasanya diri ini untuk membalas budi dan jasa semua.

Saya hanya mampu duduk dan berdiri sambil menadah tangan kepada Yang Maha Kurnia. Semoga Allah SWT mengampunkan dosa dan noda kita sepanjang kehidupan yang berlalu dan sepanjang kehidupan yang akan datang, serta mengurniakan kepada kita semua rahmat dan kasih sayang-Nya sepanjang diberi kehidupan dan setelah berlalu darinya untuk kembali kepada-Nya.

Benarlah, seperti mana adanya kata ‘selamat’ dalam ucapan selamat jalan kepada tahun 2018, begitulah jua adanya kata ‘selamat’ dalam ucapan Selamat Tahun Baru dan selamat datang ke tahun 2019.

Comments