Islam, Tiada yang Sepertinya


"Datangnya Islam membawa cahaya yang menerangi alam yang dahulunya gelap gelita. Datangnya pula Rasulullah SAW membawa rahmat kepada seluruh alam semesta. Bagindalah lambang sebenar kepimpinan melalui teladan. Sifat Baginda yang sentiasa bersih, cekap dan amanah membuatkan keperibadian dan profesionalisme Baginda sentiasa dicontohi dan dihayati oleh kita semua pada setiap tempat dan ketika."

Saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Islam, dari segi bahasa, bermaksud keamanan dan kesejahteraan. Dari segi istilah, Islam merupakan suatu agama yang didatangkan oleh Allah SWT kepada umat manusia dengan perantaraan Rasulullah SAW bersama-sama al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan kepada suatu cara hidup yang lengkap dan meliputi seluruh aspek kehidupan.

Islam merupakan satu-satunya agama yang diterima, disempurnakan dan diredhai oleh Allah SWT. Datangnya Islam membawa cahaya yang menerangi alam yang dahulunya gelap gelita. Datangnya pula Rasulullah SAW membawa rahmat kepada seluruh alam semesta.

Bagindalah lambang sebenar kepimpinan melalui teladan. Sifat Baginda yang sentiasa bersih, cekap dan amanah membuatkan keperibadian dan profesionalisme Baginda sentiasa dicontohi dan dihayati oleh kita semua pada setiap tempat dan ketika. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 21:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta yang banyak menyebut dan mengingati Allah (dalam masa susah dan senang).”

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Walaupun begitu, tidak cukup bagi kita hanya untuk mengehadkan takrifan ‘rahmat kepada seluruh alam’ setakat itu sahaja. Hakikatnya, kedatangan Islam membawa bersama tiga segmen pelengkap kehidupan umatnya, iaitu akidah, syariat dan akhlak. Semua itu adalah untuk memastikan lima tujuan perundangan – yakni Maqasid al-Syariah – sentiasa terjaga dan terpelihara, iaitu:

Pertama: Penjagaan agama yang dimanifestasikan melalui aktiviti-aktiviti pemantapan dan pengukuhan akidah umat Islam;

Kedua: Penjagaan nyawa yang dimanifestasikan melalui hukuman berat ke atas penjenayah pembunuhan dan penyeksaan;

Ketiga: Penjagaan akal yang dimanifestasikan melalui pengharaman arak dan dadah berbahaya;

Keempat: Penjagaan keturunan yang dimanifestasikan melalui pengharaman zina serta pembanterasan budaya yang berlawanan dengan fitrah manusia; dan

Kelima: Penjagaan harta yang dimanifestasikan melalui pengharaman judi dan pencegahan rasuah.

Begitu pun, Maqasid al-Syariah tersebut adalah dari sudut pandang Allah SWT terhadap makhluk. Adapun Maqasid al-Syariah dari sudut yang berlawanan adalah pengabdian dan ketaatan hamba kepada Penciptanya. Firman Allah SWT dalam Surah adz-Dzariyat, ayat 55 dan 56:

“...dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman; dan (ingatlah,) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepada-Ku.”

Sidang Jumaat yang mulia,

Sebagai orang Islam, kita seharusnya sedar betapa kehidupan serta kematian tidak hanya bertujuan untuk mencari siapakah di antara manusia yang paling baik amalannya, tetapi juga untuk memastikan hamba-hamba-Nya tetap menghambakan diri kepada Penciptanya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Mulk, ayat 1 dan 2:

“Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan Dialah Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Dialah Yang Maha Kuasa lagi Maha Pengampun.”

Justeru, kita perlu beriltizam melaksanakan tuntutan agama dengan menjaga segala perintah dan larangan Allah SWT, peka terhadap perkara-perkara yang halal dan haram di sisi-Nya, dan mengekalkan amal ibadah pada tahap yang terbaik sepanjang masa.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Mengakhiri khutbah, marilah kita renungi intipati-intipati penting sebagai pedoman dalam kehidupan kita.

Pertama: Islam merupakan satu-satunya agama yang diiktiraf sebagai sempurna dan diredhai oleh Allah SWT yang harus dihargai oleh seluruh penganutnya dengan melaksanakan tuntutannya.

Kedua: Konsep sebenar Maqasid al-Syariah harus difahami oleh semua agar kebaikan dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.

Ketiga: Maqasid al-Syariah sentiasa mengenai menjamin kebahagiaan hidup manusia secara individu mahupun secara berkelompok pada setiap tempat dan ketika.

Jumaat, 14 Disember 2018.
Masjid al-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.
Khutbah sumbangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang diringkaskan.

Comments