Berita Gembira yang Tidak Menggembirakan


Istiadat Konvokesyen ke-34, UIAM menyaksikan penganugerahan ijazah kepada 5,413 orang graduan. Saya yang dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Arab sebagai Bahasa Kedua) (Kepujian) merupakan salah seorang daripada mereka. Turut berkonvokesyen bersama saya adalah sahabat-sahabat rapat yang sepengajian dengan saya walaupun berbeza fakulti seperti Abdullah Izzat, Afif Afnan, Afiq Haikal, Ammar Daniali, Husni, Dr. Luqman, Muhammad Najib dan Muzzammil Al Hajid.

Istiadat Konvokesyen kali ini menggembirakan sekali. Dua tahun yang lepas, saya disempatkan menyaksikan graduan Doktor Falsafah dan Sarjana menerima ijazah masing-masing daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Kali ini, saya sendiri menerima ijazah dasar daripada Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan, Dato’ Dr. Mohd. Gazali Abas, setelah lima tahun lima bulan mengaji di (malah berkhidmat bersama) UIAM. Itu pun setelah sembilan bulan graduasi saya diluluskan dan disahkan oleh UIAM dan setelah dua minggu saya menyertai Perkhidmatan Awam Persekutuan. Alhamdulillah.

Saya berterima kasih sekali kepada terlalu ramai individu dan organisasi yang menyumbang doa, nasihat dan sokongan yang berterusan sehingga membolehkan saya merangkul ijazah pertama saya pada hari ini, terutamanya kepada ibu bapa dan keluarga, sanak saudara, para guru dan pensyarah, para sahabat rapat, serta para rakan sekerja dan sepengajian. Hakikatnya, kejayaan ini bukanlah milik saya seorang, tetapi juga milik mereka semua yang telah melihat mahupun mengharungi bersama jatuh dan bangun, terang dan gelap kehidupan diri ini.

Walaupun begitu, kegembiraan dan kesyukuran yang saya zahirkan bersama keluarga, sanak saudara serta sahabat-sahabat UIAM yang masih ada tidak dapat mengalahkan kehampaan dan kekecewaan yang saya harus jalani sendiri. Walaupun menerima Sijil Penghargaan Rektor kerana mendapat PNGK 3.58, saya bukanlah penerima ijazah sarjana muda kelas pertama, jauh sekali untuk mendapat anugerah sekurang-kurangnya di peringkat jabatan. Saya menyebut perkara ini kerana memang begitu harapan orang lain terhadap saya, yang akhirnya saya tidak dapat realisasikan kerana kelemahan diri sendiri.

Rentetan daripada itu, kejayaan saya pada hari itu tidak diraikan sebaiknya oleh orang-orang sekeliling. Itu pun kerana masing-masing ada perkara yang perlu diutamakan. Malah, kedatangan saya dari Putatan ke Gombak yang sepatutnya menjadi berita gembira yang sampai kepada sahabat-sahabat rapat saya di sekolah lama saya di Gombak melalui telefon bimbit dipandang sebaliknya, malah ditolak ke tepi begitu sahaja dan didiamkan seribu bahasa. Sebabnya tiada apa yang boleh dibanggakan daripada apa-apa yang saya capai, sedangkan mereka merupakan penyumbang langsung dan tidak langsung kepada apa-apa yang telah saya capai.

Sebetulnya saya tidak meminta perkara yang berlebih-lebihan mahupun yang bukan-bukan. Saya hanya mahu berkongsi rasa gembira saya bersama yang lain. Malang sekali, berita baik yang mereka terima dipandang sebaliknya. Kesedihan saya berganda-ganda. Oleh hal yang demikian, saya putuskan untuk bubarkan sahaja pakatan persahabatan yang sudah lebih setahun terbina kerana saya sudah hilang ertinya bagi mereka, walhal saya tidak pernah menolak mereka dengan apa jua cara.

Saya hanya mahu mencintai. Namun, saya tidak lagi dicintai. Oleh itu, saya rela dunia ini membenci. Kekecewaan dan kesedihan yang terbit setiap kali saya bertandang ke Gombak, apa pun jua hasrat yang murni, harus terus saya jalani. Saya akan terus mencintai dengan cara saya sendiri. Saya hanya ingin berkongsi selagi kudrat dan iradat diberi kepada diri ini. Serentak dengan itu, saya mahu kalian menjadi manusiawi yang tahu berbahasa apabila diri ini berbudi, dan yang tahu merasa apabila diri ini memberi. Kerana cinta bukanlah semata-mata sekelip mata atau secebis rasa, tetapi sebuah perjuangan yang tiada pengakhirannya. Terima kasihlah kerana sudah dan masih menerima diri ini.

Comments

  1. Allahu.. saya amat berbesar dgn setiap mahasiswa yg berjaya menghabiskan pengajiannya.. walaupun dengan keputusan yg biasa².. apatah lagi yg dengan keputusan yg membanggakan..

    Oleh itu.. saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan saudara yg amat hebat ni..

    Oleh itu tidak perlulah saudara untuk berkecil hati sebegitu rupa😅..

    Kerana yg kita buat itu..yg penting adalah keredhaan Allan jua..

    Harap saudara dapat mencari nilai² positif daripada apa yg berlaku 😊

    Sekian, Terima kasih..

    May Allah bless you and ease you always 😊..

    Aamiin 😊

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih. Allah berkati saudara jua.

      Delete
    2. Sahabat itu yang menerima kekurangan. Juga seharusnya gembira kerana kita gembira.

      Delete

Post a Comment