Surat Cinta untuk SMESH


Saya pernah dipilih untuk menyertai SMESH lama dahulu. Tetapi, saya memilih untuk berada di sekolah agama sesuai dengan cita-cita saya untuk menjadi seorang guru agama. Alhamdulillah, ketika tulisan ini dinukilkan, hasrat tersebut sudah saya capai. Hari ini, saya seorang guru Bahasa Arab dan Pendidikan Islam secara kelayakan akademik dan ikhtisas.

Saya tidak pernah terfikir bahawa SMESH akan menerima saya pada pertengahan tahun 2016, sekaligus membolehkan saya bersama SMESH selama sebulan sebagai guru pelatih. Harus saya ingatkan diri saya serta Fakulti Pendidikan, UIAM yang memohon bagi pihak saya bahawa SMESH boleh menolak permohonan saya ketika itu.

Kalau itulah yang berlaku, saya tidak perlu berfikir apa yang akan berlaku dan apa yang harus saya lakukan di sini. Tidak perlu juga saya bertemu dan berkenalan dengan orang-orang yang berada di sini, apatah lagi untuk mengetahui perkhabaran seseorang atau segolongan yang berada di sini. Tetapi, rahmat Allah untuk hamba-hamba-Nya tidak pernah menghampakan. Hikmah Allah juga sentiasa menjangkaui apa yang biasa kita fikirkan.

Tempoh penugasan yang amat singkat tidak menghalang saya untuk mengekalkan hubungan peribadi dan profesional dengan sekolah ini dan warganya. Menjadi orang asing setelah tidak lagi menjadi orang dalam bukanlah penghalang kepada keberterusan budi dan bakti kepada rakyat dan negeri menerusi sekolah ini. Selama saya mendekatinya, saya tidak pernah jemu bercerita mengenai cinta, apatah lagi untuk mencintai. Cinta yang saya fikirkan tidak semestinya sama seperti cinta yang kebanyakan orang sedang fikirkan. Walaupun begitu, cinta itu segalanya buat saya.

Cinta tidak setakat membuatkan saya berkenalan, tetapi juga menjalinkan hubungan dengan ramai insan. Cinta juga tidak setakat membolehkan kita belajar sesuatu bersama-sama, tetapi juga mengerjakan sesuatu bersama-sama. Cinta jugalah yang menunjukkan saya jalan-jalan di hadapan, sama ada untuk kekal di atas jalan yang sedia ada atau untuk mengharungi jalan yang berlainan.

Lebih besar daripada itu, cinta menemukan saya dengan orang-orang baik di sini, baik penuntut mahupun pekerja. Saya beruntung kerana berhubungan baik dengan rakan-rakan sekerja yang berdedikasi dan bersemangat waja. Saya lebih terharu apabila Allah temukan saya dengan pelajar-pelajar yang jauh lebih pintar dan berbudi daripada saya. Saya belajar daripada mereka semua. Begitulah juga dengan SMK Sungai Pusu, tempat saya mengajar sebelum ini, walaupun melalui saya.

Cerita cinta saya dengan orang-orang tertentu di sini, sama ada kelihatan atau sebaliknya, hanyalah sebahagian daripada bermacam-macam cerita cita dan cinta saya bersama orang-orang yang berada di sebelah sini. Saya ada alasan yang tersendiri untuk memilih mereka. Memilih sahabat sejati, walaupun mempunyai ramai kawan di sana dan sini, hanyalah perkara biasa. Tetapi memilih mereka bukanlah kerana kelebihan yang mereka ada.

Kalaulah persahabatan diukur setakat pada kelebihan yang ada pada diri masing-masing, nescaya persahabatan akan lenyap ketika lenyapnya kelebihan. Kalaulah pula paras rupa menjadi sandaran, nescaya tiada lagi makna persahabatan ketika kita semua menginjak umur yang berikutnya. Menyedari hal ini, saya memilih persahabatan yang bersandarkan kepada hati nurani. Meski untuk menjaganya lebih payah kerana sifatnya yang berubah-ubah, saya ikat persahabatan ini dengan niat kerana Allah dan pengharapan kepada-Nya.

Begitu pun, tidaklah bermakna yang lain ditinggalkan. Apa yang saya ceritakan hanyalah sebahagian daripada banyak lagi cerita yang serupa. Tetapi, saya tidak mampu menceritakan kesemuanya. Cukuplah saya katakan, kita semua ada cinta; saya sayang semua. Tanpa cinta, tiadalah dunia. Kalau pun ada dunia tanpa cinta, dunia ini mesti akan jadi serba tidak sempurna. Walaupun tidak semua orang mampu menerimanya, itulah yang saya akan pegang sampai bila-bila kerana memang begitulah ajaran Allah dan Rasul-Nya sejak sekian lama. Itu jugalah yang saya akan bawa ke mana-mana.

Namun begitu, saya tidak dapat nafikan beberapa penyesalan yang terbit selama saya mensahabati orang-orang di sebelah sini, terutamanya ketika kata-kata saya tidak dapat didengari oleh mereka yang berbeza agama dengan kita, walhal tugas kita sentiasa mengenai meneruskan legasi membawa rahmat ke seluruh pelusuk alam. Saya hanya boleh harapkan semua yang selama ini sudi mendengar kata-kata saya untuk menyampaikan itu semua kepada mereka.

Penyesalan turut terbit dalam diri ini apabila saya bukan lagi orang dalam di sebelah sini untuk sekian lama. Walaupun saya sentiasa datang menjengah sebulan dua atau tiga kali, keberadaan saya di sini sebagai orang luar bersifat terhad. Tidak banyak perkara yang saya boleh lakukan dalam keadaan saya yang sedemikian. Tidak banyak jugalah yang saya boleh sumbangkan kepada persaudaraan dan persahabatan kita semua. Atas segalanya yang terkurang dan tersalah, saya mohon maaf sebesar-besarnya.

Akan datang, saya bukan lagi dari golongan mereka yang berada di SBP atau SMKA seperti yang saya (dan beberapa orang yang lain) harapkan. Walaupun hakikat ini menghibakan saya pada beberapa ketika, keputusan KPM untuk meletakkan saya di sekolah biasa, saya alu-alukan dengan hati yang terbuka. Malah, saya berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana menjadikan saya seorang anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Saya tidak berani untuk menjanjikan banyak perkara buat masa ini dan dalam situasi saya sebegini. Tetapi, saya boleh yakinkan semua bahawa saya akan terus berpegang kepada tiga perkara berikut, iaitu untuk menjadi segala-galanya, bersedia dengan segala kemungkinan, dan memberikan yang terbaik untuk semua. Lagi pun, Perkhidmatan Awam sentiasa mengenai mewujudkan dan mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara dan rakyat, agama dan umat menerusi dasar dan kepentingan Raja dan Kerajaan.

Saya juga berharap agar banyak lagi yang saya boleh berikan kepada kalian pada waktu yang bersesuaian, di tempat yang bersesuaian dan melalui saluran yang bersesuaian walaupun serba kekurangan. Hakikatnya, kehidupan tidak semata-mata mengenai penerimaan, tetapi juga pemberian. Tambahan pula, tangan yang memberi lebih baik dan lebih mulia di sisi-Nya daripada tangan yang menerima.

Terima kasih banyak-banyak kerana sudah dan masih menerima diri ini apa adanya. Malang sekali bagi saya, pada saat ini, untuk kehilangan sebuah ‘dunia’ yang amat berharga yang saya panggil SMESH. Tidak pernah lagi saya jumpa di mana-mana penjuru di dunia, terutamanya di negara ini, sebuah sekolah yang wajahnya, mindanya dan jiwanya seperti SMESH. Orang-orangnya yang teguh, setia dan berbudi amat beruntung dan berharga. Nilai-nilai yang dipupuk di dalamnya amat istimewa.

Keberadaan sahabat-sahabat dan rakan-rakan sekerja dan sepengajian dari kalangan guru-guru, AKP, pekerja-pekerja swasta, pemimpin-pemimpin PIBG serta pelajar-pelajar yang sudi berkongsi cerita, doa, sokongan dan tunjuk ajar kepada diri ini membuatkan saya merasa beruntung untuk berada di sini dan untuk datang berulang-ulang ke sini. Entah apa lagi yang lebih berharga untuk mereka selain penghargaan dan terima kasih.

Kehadiran dalam hidup saya orang-orang seperti Mohd. Arsyam, Mohd. Afif, Safwan, Muhammad Afiq Danial, Muhammad Nabil dan beberapa lagi nama yang saya tidak dapat sebutkan di sini terlalu besar ertinya kepada diri ini. Begitulah juga kehadiran mereka yang sudah berada di luar sana seperti Mohd. Khairul Farhan, Eldy Mohd. Adland, Ilham dan Mohd. Aiman Syafeeq. Mungkin mereka bukan contoh yang selayaknya kepada kalian. Tetapi, kalau mahu tahu bagaimana baiknya Allah kepada diri ini, lihatlah pada diri mereka; merekalah orangnya.

Tidak pernah saya bermimpi untuk bertemu mereka sebelum-sebelum ini, jauh sekali untuk berkongsi segalanya yang dimiliki dan termampu untuk dikongsi. Benar, saya tidak pernah main kejar-kejar dengan mereka. Saya juga tidak pernah berkongsi nyanyian yang harmoni di sebuah pentas persembahan yang sama. Tidak pernah juga saya bertepuk tangan pada hari anugerah kecemerlangan sebagai meraikan kejayaan mereka, jauh sekali dari membawa mereka berjalan-jalan walaupun hanya beberapa langkah untuk ke pekan. Tetapi, kehilangan mereka amat saya rasai. Keperibadian dan keazaman yang mereka tinggalkan kepada diri ini tidak terganti sampai mati.

Semoga Allah lanjutkan usia kita semua. Saya masih mahu mencintai.

Comments