Dirgahayu Tuan Yang Terutama


"Sebagai rakyat jelata, kita semua harus ingat betapa pentingnya kesetiaan kepada negeri dan pemerintah. Malah, perkara ini bertepatan dengan prinsip iktikad Ahli Sunnah wa al-Jamaah yang sentiasa mentaati dan menghormati pemerintah."

(sempena Hari Ulangtahun Rasmi Kelahiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah)

Saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Besok (Sabtu, 6 Oktober), Sabah akan merayakan Hari Ulangtahun Rasmi Kelahiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah. Seperti yang diputuskan dalam Warta Kerajaan Negeri Sabah No. 671 bertarikh 15 Julai 2010, Sabah merayakannya pada hari Sabtu yang pertama, setiap bulan Oktober, dan menjadikannya Hari Kelepasan Am Negeri mengikut Seksyen 3(1) dan Seksyen 9, Ordinan Cuti 1948, sebagai tambahan kepada Hari Malaysia yang disambut oleh seluruh rakyat Malaysia pada setiap 16 September.

Sebagai warga negeri Sabah, kita seharusnya bersyukur dan berbangga kerana dikurniakan seorang pemimpin tertinggi dan wakil rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di dalam negeri yang kita sebut sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah. Hakikatnya, sebuah negeri sentiasa memerlukan kepada organisasi dan sistem kepimpinan dan pengurusan yang sentiasa menggalakkan rakyat untuk mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang kebitaraan.

Islam memandang kedudukan seorang pemimpin sebagai amat tinggi dan mulia sesuai dengan fungsi mereka untuk menyambung amanah yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW, memelihara agama serta mentadbir urusan rakyat. Imam al-Mawardi dalam kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah menjelaskan bahawa tugas pemimpin adalah untuk menjaga hal ehwal agama dan mentadbir urusan dunia.

Dalam konteks Sabah, kedudukan Yang di-Pertua Negeri sebagai pemerintah tertinggi negeri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Ketua Menteri telah sekian lama diperuntukkan dalam Bab Pertama, Bahagian Pertama, Perlembagaan Negeri Sabah. Sebagai yang demikian, Yang di-Pertua Negeri terikat dengan sumpah untuk menunaikan segala kewajipan yang diamanahkan dengan sepenuh kejujuran, menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negeri dan negara, serta memelihara, melindungi dan mempertahankan kedua-dua Perlembagaannya.

Justeru, sebagai rakyat jelata, kita semua harus ingat betapa pentingnya kesetiaan kepada negeri dan pemerintah. Malah, perkara ini bertepatan dengan prinsip iktikad Ahli Sunnah wa al-Jamaah yang sentiasa mentaati dan menghormati pemerintah. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa, ayat 59:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah, dan taatlah kamu kepada Rasul-Nya serta orang-orang yang berkuasa dari kalangan kamu. Kemudian, jika kamu berselisihan (pandangan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah dan Rasul-Nya (al-Quran dan as-Sunnah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Demikianlah perkara yang amat baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.”

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Malang sekali, institusi diraja Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Semakin hari, semakin jelas usaha- usaha pihak yang tidak bertanggungjawab memburukkan nama Yang di-Pertuan Agong serta ketua-ketua negeri di media sosial. Institusi diraja negeri kita, yang disimbolkan kepada Yang di-Pertua Negeri, turut tidak ketinggalan terkesan dengannya.

Banyak isu yang dilontarkan di media cetak, media elektronik mahupun media sosial yang terkait dengan institusi tersebut serta kemuliaannya belum tentu dapat dipastikan kesahihannya, apatah lagi untuk dibuktikan dengan fakta yang jujur dan nyata. Perkara ini bukan sahaja menyebabkan gangguan kepada keselamatan dan ketenteraman rakyat, tetapi juga kegembiraan kepada golongan-golongan yang mahu mengubah rupa bentuk institusi tertinggi negeri dan negara serta kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negeri dan negara.

Sebagai rakyat yang berpegang teguh dengan lima prinsip Rukunegara, kita mesti bersatu membanteras masalah sedemikian. Sebagai umat Islam juga, kita hendaklah berpegang teguh kepada syariat Islam yang menghendakkan kita sentiasa mengawasi lisan agar tidak terjebak dengan perkara-perkara yang sia-sia. Peringatan ini sudah terang lagi bersuluh dirakamkan oleh Allah SWT dalam Surah al-Isra, ayat 36:

“...dan janganlah kamu mengikuti apa-apa perkara yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, kesemuanya akan dipertanggungjawabkan atas apa-apa yang dilakukannya.”

Dalam nada yang serupa, Ibnu Masud RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Janganlah sesekali kamu melakukan perkara dusta, kerana sesungguhnya perkara dusta membawa kepada perbuatan maksiat, dan perbuatan maksiat membawa kepada (balasan api) neraka.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Sesuai dengan keamanan dan kemakmuran yang tanah air ini sedang kecapi, kita bersyukur dan berterima kasih kepada Allah SWT kerana memelihara Yang di-Pertua Negeri daripada sebarang ancaman dan marabahaya. Keadaan ini tidak lain dan tidak bukan disumbangkan oleh keupayaan beliau mengekalkan kestabilan rakyat dan Kerajaan. Bukan itu sahaja, sokongan dan dukungan daripada para pemimpin, penjawat awam, anggota pasukan keselamatan dan pertahanan, alim ulama serta segenap lapisan masyarakat meneguhkan lagi kedudukan beliau sebagai pemimpin tertinggi negeri.

Kejayaan yang dikecapi oleh rakyat dan negeri, semenjak Sabah bergabung membentuk Malaysia, belum tentu dapat dibilang dengan jari. Pada ketika pembangunan ekonomi dan sosial terus berlangsung di pelbagai kota dan desa di serata negeri, alam sekitar negeri kita terus dijaga dengan rapi. Pada ketika negeri terus memberi tumpuan utama kepada pendidikan, perniagaan dan kerjaya, sudah terlahir dari tanah air kita nama-nama besar yang berjaya menggegar pentas negara, rantau dan dunia dalam pelbagai bidang dengan megah dan bangga.

Walaupun ada sahaja petualang yang pernah menggoncang keamanan dan kemakmuran negeri kita, pasukan keselamatan dan pertahanan sentiasa bersiap siaga untuk menentangnya dengan sepenuh jiwa dan raga. Rentetan daripada keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kita dan tanah air kita, pengunjung dari dalam mahupun luar negara tidak pernah jemu untuk menjengah tempat tinggal kita. Lapangan terbang utama negeri kita merupakan antara yang tersibuk di negara kita dan rantau Asia Tenggara. Kota dan desa, gunung dan hutan belantara, malah lautan dan angkasa raya negeri kita sentiasa menyambut serta mengalu-alukan mereka yang ingin menjengah keunikan dan keistimewaan segala bangsa dan budaya yang sentiasa mengisi makna sebenar kewujudan negeri kita di tengah-tengah peta dunia.

Sesungguhnya kejayaan-kejayaan tersebut merupakan hasil usaha semua pihak yang selama ini berkongsi minda dan jiwa, berganding lengan, bersama beriringan, mencipta dan mengekalkan keamanan dan kemakmuran. Walaupun sentiasa sahaja ada perbezaan, persamaan sentiasa diutamakan. Gotong-royong pemimpin dan rakyat tidak berhenti, malah sebaliknya diteruskan. Semua itu untuk manfaat jangka panjang bersama. Di situlah puncanya rakyat dan negeri kita sentiasa dilimpahi rahmat dan berkat-Nya.

Mengakhiri khutbah, dari Sindumin hingga Kudat, dan dari Pitas hingga Semporna, marilah kita berdoa sempena memperingati hari kebesaran ini, semoga Allah SWT terus menjadikan Sabah sebuah negeri dalam Malaysia yang makmur dan bahagia untuk selama-lamanya, serta mengurniakan kesihatan serta kesejahteraan berterusan kepada Yang di-Pertua Negeri, Kerajaan serta seluruh rakyat.

Jumaat, 5 Oktober 2018.
Masjid al-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.

Photo courtesy of Twitter account of Hon. Dato' Seri Mohamed Azmin Ali, Federal Minister of Economic Affairs

Comments