Berkongsi Dukacita dengan Puchong, Palu dan Donggala


Seperti mana yang kita sedia maklum, negara jiran kita, Indonesia, secara spesifiknya bandar Palu dan daerah Donggala, wilayah Sulawesi Tengah, baru sahaja ditimpa bencana gempa bumi dan tsunami (dan dikhabarkan juga letusan gunung berapi). Beribu orang meninggal dunia; lebih ramai lagi yang cedera dan kehilangan segala-galanya.

Negara kita juga tidak terlepas daripada rasa dukacita. Negara kita baru sahaja kehilangan enam orang wira Jabatan Bomba dan Penyelamat akibat kemalangan yang menimpa ketika menjalankan tugas kepada agama, bangsa dan negara di Puchong, Selangor. Kesempatan yang ada diambil untuk berkongsi rasa simpati dan dukacita dengan mereka yang terkesan dan kehilangan.

Ingatlah, sesungguhnya itu semua merupakan ujian daripada Allah SWT buat hamba-hamba-Nya. Sebagai manusia, kita tidak terdaya untuk menghalangnya. Apabila ditakdirkan oleh-Nya, kita tiada pilihan melainkan untuk menghadapinya dengan kesabaran dan ketabahan sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 155 hingga 157:

“Demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan harta benda, jiwa serta hasil tanaman, dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (iaitu) orang-orang yang, apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itulah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk daripada-Nya.”

Sebagai umat Islam, kita harus mengambil iktibar dan menginsafi segala kejadian yang berlaku di sekeliling kita sama ada dari jarak jauh mahupun dekat. Kita juga harus tidak lalai dan leka dengan tanggungjawab untuk menjalani kehidupan selari dengan kehendak Islam dengan erti kata yang sebenar melaksanakan segala perintah Allah SWT serta menjauhi segala larangan-Nya.

Kepada mereka yang terkesan dan kehilangan, kita disarankan supaya berkongsi segala bantuan dan sokongan setakat yang terdaya. Paling tidak, kita berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan kepada mereka kesabaran dan ketabahan dalam meneruskan kehidupan serta menjauhkan kita dan mereka dari segala bala bencana dan marabahaya.

Photo courtesy of Berita Harian

Comments