Peperiksaan dan Kejayaan


Empat bulan terakhir sentiasa sinonim dengan peperiksaan. Ketika ucapan ini disampaikan, murid-murid Tahun 6 baru sahaja selesai menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah. Masuk sahaja bulan Oktober, pelajar-pelajar Tingkatan 3 akan menyelesaikan Pentaksiran Tingkatan 3. Menyusul pula pada bulan berikutnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia yang diduduki masing-masing oleh pelajar-pelajar Tingkatan 5 dan 6. Belum masuk lagi peperiksaan-peperiksaan besar yang lain yang tidak dapat disebutkan satu persatu.

Kesempatan yang ada diambil untuk mengucapkan tahniah kepada semua yang telah berjaya menduduki peperiksaan dengan sempurna dan selamat berjaya kepada semua yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Ingatlah, walaupun peperiksaan bertujuan untuk menguji penguasaan seseorang terhadap pelbagai disiplin ilmu mengikut aras yang diajarkan, peperiksaan bukanlah semata-mata tempat untuk merangkul kejayaan yang bersifat sementara.

Peperiksaan harus dilihat dalam konteks yang lebih luas dan positif. Selain daripada mendorong kita untuk menguasai lebih banyak ilmu dan kemahiran dan menterjemahkan kedua-duanya menerusi budi dan bakti kepada watan, peperiksaan seharusnya menunjukkan kepada kita jalan yang seterusnya untuk mencapai kejayaan yang lebih abadi dan sempurna, itulah kejayaan ukhrawi di samping kejayaan duniawi.

Hakikatnya, kejayaan yang sebenar-benarnya bukanlah milik mereka yang cepat berpuas hati dengan apa yang ada, bukan juga milik mereka yang sentiasa berada dalam keadaan lalai dan leka, apatah lagi mereka yang telah disesatkan dari jalan yang sepatutnya untuk sementara mahupun selama-lamanya. Kejayaan yang sebenar-benarnya milik mereka yang tidak kenal erti menyerah dan mengalah. Sekali jatuh, bangun semula. Setelah bangun, jalan terus hingga ke akhirnya. Usaha dan doa menjadi panduan menuju cita-cita yang mulia.

Semangat perjuangan inilah yang seharusnya dipupuk dalam minda dan sanubari rakyat dan negara, terutamanya kanak-kanak, remaja dan belia yang berada di bangku sekolah, menara gading mahupun lapangan kerjaya. Hanya dengan semangat perjuangan inilah, kita semua mampu merangkul keunggulan yang berganda, yang kelak tidak setakat diraikan oleh orang yang menciptanya, tetapi dirasai oleh orang-orang yang turut serta menyumbang ke arahnya dan diredhai oleh Yang Maha Kurnia.

Comments