Nikmat Islam dan Iman


Seharusnya kita sedar bahawa hidup di dunia hanyalah sementara. Kesempatan yang Allah SWT berikan kepada kita untuk hidup di dunia ini sewajarnya diisi dengan berpegang teguh kepada akidah yang suci, akur akan segala perintah dan larangan-Nya serta Rasul-Nya SAW, mendekatkan diri dengan segala bentuk kebaikan serta menjauhkan diri daripada segala bentuk keburukan.

Saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Islam dan Iman merupakan nikmat yang Allah SWT berikan kepada hamba-hamba-Nya. Kedua-dua nikmat tersebut malah lebih besar berbanding nikmat-nikmat yang lain. Oleh itu, kita sewajarnya mengucap berbanyak-banyak puji dan syukur ke hadrat Allah SWT atas kedua-dua nikmat ini.

Sebagai manusia, Allah SWT menciptakan kita untuk beribadah kepadanya. Sepanjang kehidupan kita di dunia, tahap ketaatan kita kepada-Nya akan diuji; nasib kita di Hari Akhirat akan turut ditentukan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Mulk, ayat 1 dan 2:

“Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan Allah) yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat), dan Dialah Yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Dialah yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya, dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Allah SWT berkuasa menghidupkan kita di atas muka bumi ini dan mematikan kita. Sesudah dimatikan, akan tiba suatu saat kita akan dihidupkan semula pada Hari Akhirat untuk dihisab amal ibadah dan khidmat bakti kita selama hidup di dunia.

Seharusnya kita sedar bahawa hidup di dunia hanyalah sementara. Kesempatan yang Allah SWT berikan kepada kita untuk hidup di dunia ini sewajarnya diisi dengan berpegang teguh kepada akidah yang suci, akur akan segala perintah dan larangan-Nya serta Rasul-Nya SAW, mendekatkan diri dengan segala bentuk kebaikan serta menjauhkan diri daripada segala bentuk keburukan.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Dalam konteks yang lebih luas, penterjemahan Islam dan Iman memerlukan kepada tadbir urus yang cekap dan berkesan. Hal ini demikian kerana lazimnya, tidak semua manusia baik dan berpegang kepada sifat kemanusiaan. Oleh hal yang demikian, Islam datang bersama al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan untuk membina peradaban umat yang lebih sejahtera dan meluaskan rahmat ke segenap penjuru alam.

Dua prinsip yang terdapat dalam peraturan kehidupan adalah Amar Makruf Nahi Munkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran). Kedua-dua prinsip tersebut perlu sejalan beriringan ke arah mewujudkan dan melestarian masyarakat yang lebih beradab dan beretika. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 110:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah iman itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) hanya sebahagian daripada mereka yang (benar-benar) beriman. Kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq.”

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Penterjemahan Islam dan Iman juga memerlukan kepada landasan syariat yang lebih teratur dan sistematik. Sejak zaman-berzaman, para ilmuwan Islam telah meneroka pelbagai disiplin ilmu dan kemahiran termasuklah sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), bahasa dan sastera, ekonomi, seni dan budaya, sukan, pendidikan, perubatan, politik dan undang-undang. Semua penerokaan ini didokumenkan dalam pelbagai jenis tinggalan kesarjanaan yang boleh didapati di pelbagai penjuru dunia.

Semua itu penting dalam menginspirasikan umat untuk terus menerajui serta mendepani pembangunan dan pemodenan yang seluruh dunia sedang alami sampai kini. Hanya dengan cara itu, Islam serta tamadunnya, walau apa pun yang sedang berlaku, akan dapat dipertahankan dan terus dipandang tinggi dan mulia. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 139:

“Janganlah kamu merasa lemah dan berdukacita, walhal kamulah orang yang tertinggi (darjatnya) jika kamu orang yang beriman.”

Dalam nada yang hampir serupa, Saidina Umar bin al-Khattab RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Islam itu kedudukannya tertinggi. Tiada yang dapat mengatasi ketinggiannya (melainkan Islam).” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Sesungguhnya orang yang beriman mempunyai wawasan yang jelas dalam kehidupannya. Hal ini demikian kerana, penghayatannya yang sebenar-benarnya terhadap Rukun Islam dan Rukun Iman melambangkan penyerahan dirinya (sebagai seorang hamba) kepada Penciptanya (Allah SWT) dalam segala urusan dunia. Dengan cara itu, sifat Ihsan dapat diterbitkan dalam diri yang penuh dengan kejujuran, keikhlasan dan ketaqwaan serta mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Dengan nikmat Islam dan Iman, kita mampu mendidik diri kita untuk sentiasa berpegang dan beramal dengan budi bahasa dan nilai-nilai murni seperti syukur, sabar, jujur, ikhlas, bersih, cekap dan amanah. Kesannya, kehidupan kita menjadi lebih bermakna kerana kemampuan kita untuk menggunakan kesemua nilai tersebut untuk mengisi hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita sesama manusia.

Jiwa yang beriman akan tetap meyakini bahawa segala perbuatan yang baik dan buruk akan dicatat oleh Malaikat Raqib dan Atid dalam buku amalan, kehidupan di dunia akan disudahkan dengan kematian, Malaikat Munkar dan Nakir menjengah alam kubur dengan soalan. Setelah itu, menyusullah pula Hari Kebangkitan, hari dihitung segala amalan. Sama ada dimasukkan ke dalam Syurga atau Neraka, semua itu bergantung kepada keputusan Allah SWT yang memiliki segala kebijaksanaan. Keyakinan seperti inilah yang sesungguhnya mendorong kita untuk menjalani kehidupan dengan penuh tanggungjawab dan integriti seraya terus berserah apa adanya kepada Allah SWT.

Begitulah istimewanya nikmat Islam dan Iman yang memandu kita ke jalan yang sebenar untuk menempuhi realiti kehidupan hari ini dan yang mendorong kita supaya memandang lebih jauh ke depan menjangkaui kejayaan dan kebahagiaan duniawi yang diimpikan, itulah kesudahan kehidupan di Hari Akhirat yang kekal untuk selama-lamanya. Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas, ayat 77:

“Tuntutlah dengan harta yang Allah kurniakan kepadamu akan kebahagiaan Hari Akhirat dan janganlah kamu lupakan bahagianmu dari dunia. Berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.”

Sidang Jumaat yang budiman,

Mengakhiri khutbah, marilah kita renungi intipati-intipati penting sebagai pedoman dalam kehidupan kita.

Pertama: Lazimkan diri untuk bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat Islam dan Iman.

Kedua: Jiwa yang beriman mendorong kita untuk menjalani kehidupan dengan penuh bertanggungjawab dan integriti serta terus berserah apa adanya kepada Allah SWT.

Ketiga: Kehidupan di dunia hanyalah sementara, kehidupan di akhirat yang sesungguhnya kekal selama-lamanya. Hanya taqwa serta amal soleh menjadi penyelamat kita di Hari Akhirat nanti.

“Barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari kelak terdiri daripada orang-orang yang rugi.” (Surah Ali Imran, ayat 85)

Jumaat, 28 September 2018.
Masjid al-A'laa, Kampung Lokub, Manggatal, Kota Kinabalu, Sabah.
Khutbah sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan suntingan.

Comments