Malaysia yang Saya Kenali


"Ketahuilah, dunia, selagi kami masih ada di sini, kami akan terus menyampaikan cinta menerusi pendidikan dan kerjaya, kekeluargaan dan kemasyarakatan, persahabatan sesama rakyat dan negara, usaha dan doa. Kerana hadirnya kami di tengah-tengah dunia bukannya hanya untuk diri kami, tetapi juga sebagai satu untuk semua dan sebagai semua untuk satu."

Please click here for English version.

Ke hadapan dunia dan seisinya yang menjadi kawan dan lawan saya. Mungkin inilah pertama kali saya mengutus surat secara maya kepada dunia. Tapi, bagi sebahagian daripada kalian, ini bukanlah pertama kali saya menulis surat serupa ini. Sama ada kalian pernah membaca tulisan saya selama ini atau sebaliknya, saya hanya mengharapkan yang baik-baik sahaja buat kalian.

Saya anak Malaysia. Malaysia lebih tua daripada saya dan seisi keluarga saya. Mencapai usia 55 tahun – ketika surat ini ditulis – bermakna Malaysia semakin hari, semakin tua. Namun, Malaysia tidak setua negara-negara lain yang berdiri sudah beratus dan beribu tahun lamanya. Malaysia masih muda.

Walaupun begitu, Malaysia mempunyai sejarah yang panjang, bermula sebelum wujudnya nama Malaysia di peta dunia. Perjalanan Malaysia tidak pernah halus dan lurus. Rakyat merasa terlalu perit untuk mengharungi penjajahan, peperangan, perhambaan dan penindasan sebelum mencapai kemerdekaan. Entah berapa banyak harta dan nyawa, haiwan dan tumbuhan yang terkorban sepanjang perjuangan.

Kemerdekaan yang dicapai setelah mengharungi pelbagai cabaran tidak sama sekali meluruskan jalan sebuah perjuangan yang belum selesai dan mesti diteruskan. Pasca pembentukan Malaysia, Malaysia diuji dengan perbalahan antara negara, rusuhan kaum, bencana alam, kemalangan udara, pencerobohan serta cubaan mencipta keganasan. Terima kasih, Allah, doa dan sokongan dari dalam dan luar telah sedikit sebanyak memberi kemudahan kepada Malaysia untuk mengharungi saat-saat yang menggentarkan.

Malaysia yang saya kenali pada hari ini adalah Malaysia yang aman dan sentosa, makmur dan bahagia. Memang ada sahaja yang mencabar keamanan dan kemakmuran negara ini sampai ke saat ini. Begitu pun, keadaan Malaysia sekarang ini membolehkan kami, rakyatnya, menjenguk sanak saudara di desa, meluangkan masa bersama sahabat handai di kota, menuntut ilmu di sekolah dan universiti, dan bekerja dalam sektor kerajaan dan swasta. Sebahagian daripada kami berjaya mencipta pekerjaan untuk manfaat mereka yang memerlukan.

Malaysia yang saya kenali pada hari ini adalah Malaysia yang berilmu, berbudi dan berbakti. Hakikatnya, Malaysia tidak mengajar kami untuk menuntut ilmu dan budi semata-mata untuk manfaat diri sendiri. Ilmu dan budi yang dituntut sepanjang pengajian, kami kembalikan dalam perkhidmatan untuk manfaat masyarakat, terutamanya mereka yang memerlukaan pembelaan.

Malaysia yang saya kenali pada hari ini adalah Malaysia yang berjaya. Walaupun pemerintahan bertukar parti dan tangan, Malaysia terus mencipta pelbagai siri kejayaan di pelbagai peringkat dan lapangan. Itu semua membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara lain di dunia.

Malaysia yang saya kenali pada hari ini adalah Malaysia yang berdiri kerana cinta. Cinta membolehkan masyarakat merasai kegembiraan, membudayakan kasih sayang dan mengamalkan nilai hormat-menghormati. Cinta juga membuatkan para pekerja terus berkhidmat bersungguh-sungguh demi keberterusan kestabilan negara. Cinta jugalah yang membawa Malaysia terus berdiri sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka serta terkenal di mata dunia.

Ketahuilah, dunia, saya menulis surat ini kerana mencintai. Cinta yang sesungguhnya membawa saya mengutus surat ini kepada kalian. Walaupun saya dan kalian berada di sini hanya sementara, cukuplah sebagai menzahirkan rasa bertuah kami menjadi sebahagian daripada dunia. Ketika masih ada di penjuru dunia yang lain yang masih berjuang untuk mendapatkan sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, kami sudah 55 tahun berdiri dan duduk sebagai sebuah negara.

Walaupun terlalu banyak cabaran yang kami perlu kurangi dan atasi, kesetiaan kami kepada Malaysia tidak pernah berbelah bahagi. Walaupun rezeki yang diterima hanya sekadar yang selayaknya, kami rayakan kemenangan kami pada setiap 31 Ogos dan 16 September dengan rasa syukur dan bangga, tidak hanya dengan mengibarkan bendera kebangsaan dan negeri serta menyanyikan lagu-lagu patriotik, tetapi dengan memberikan segalanya yang terbaik untuk semua.

Sekiranya tidak kedengaran lagi salam kami kepada dunia, ketahuilah, dunia, selagi kami masih ada di sini, kami akan terus menyampaikan cinta menerusi pendidikan dan kerjaya, kekeluargaan dan kemasyarakatan, persahabatan sesama rakyat dan negara, usaha dan doa. Kerana hadirnya kami di tengah-tengah dunia bukannya hanya untuk diri kami, tetapi juga sebagai satu untuk semua dan sebagai semua untuk satu.

Terima kasih kerana sudi mendengarkan saya yang memiliki kata-kata yang tidak seberapa. Sepertimana saya mendoakan keamanan dan kemakmuran berterusan untuk negara saya dan rakyat, saya mendoakan yang baik-baik sahaja buat kalian dan negara kalian. Semoga berjumpa lagi di lain masa. Sampaikan salam saya kepada mereka yang berada di penjuru lain di dunia tetapi tidak berkesempatan mendengarkan saya.

Comments