Kepimpinan UIAM di Era Malaysia Baru


Malaysia Baru – walaupun tidak sesuai lagi istilah tersebut setelah berlalunya 100 hari Kerajaan semasa mengambil tempat – menyaksikan perubahan kepimpinan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Presiden dan Rektor, yang masing-masing setaraf Pengerusi Lembaga Pengarah dan Naib Canselor Universiti Awam, disandang oleh orang baru.

Profesor Dato’ Sri Dr. Zaleha Kamaruddin, setelah tujuh tahun menyandang jawatan Rektor, tamat kontrak perkhidmatan pada 31 Julai 2018 dan kembali menjadi pensyarah biasa (berpangkat Profesor) di Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim. Lebih awal daripada itu, Tan Sri Dr. Rais Yatim, penasihat Perdana Menteri keenam bertaraf menteri, mengosongkan kerusi Presiden setelah tamat kontrak pada 1 Jun 2018. Penghargaan yang selayaknya disampaikan kepada mereka berdua atas perkhidmatan yang diberikan kepada UIAM selama ini.

Setelah berlalunya Presiden dan Rektor terdahulu, ramai yang berharap agar orang yang benar-benar sesuai mengambil tempat menggantikan orang yang terdahulu. Pada 1 Ogos 2018, Kerajaan melantik Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak sebagai Rektor. Pelantikan beliau disambut baik oleh rakyat, terutamanya majoriti komuniti UIAM. Walaupun sesetengah pihak menganggap beliau ‘orang luar’, sumbangan beliau sebagai profesor pelawat di UIAM serta perkhidmatan beliau di tiga buah universiti melayakkan beliau untuk menyandang jawatan tersebut.

Pelantikan Rektor baru lebih bermakna bagi warga UIAM apabila beliau mengumumkan aspirasinya untuk menagih segala janji yang ditaburkan oleh Kerajaan serta mengembalikan keadaan UIAM kepada asal seperti yang dicita-citakan oleh para pengasasnya. Antara gagasan yang beliau cadangkan termasuklah membesarkan saiz autonomi, mengembalikan penguasaan akademik di media cetak, elektronik dan sosial, meneguhkan budaya ilmu dan budi dalam kalangan warga, dan membebaskan UIAM dan warganya daripada pengaruh politik dan pemikiran yang tidak bersesuaian.

Pada 5 September 2018, UIAM mengumumkan perkenan Ketua Perlembagaannya, Sultan Ahmad Shah, terhadap pelantikan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, sebagai Presiden. Ramai dari kalangan pekerja UIAM yang menyambut baik pelantikan beliau yang dahulu seorang penolong profesor sains politik di Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan. Bagi mereka, pelantikan beliau tidak setakat mencerminkan keunikan struktur organisasi UIAM, tetapi juga keupayaan beliau dalam memberikan autonomi yang lebih besar dan kebebasan yang lebih banyak kepada UIAM serta warganya.

Begitu pun, ramai juga yang tidak berpuas hati dengan pelantikan Presiden UIAM yang baru, bukan sahaja pendahulu beliau, tetapi juga ahli-ahli politik kerajaan dan pembangkang, mahasiswa dan orang awam. Bagi mereka, pelantikan beliau bukan sahaja mengundang konflik kepentingan dan pengaruh politik parti pemerintah ke dalam UIAM, tetapi juga melanggar janji kebebasan universiti daripada pengaruh politik kepartian seperti yang dijanjikan dalam Buku Harapan.

Harus diingatkan bahawa Presiden UIAM tidak sama dengan Pengerusi Lembaga Pengarah universiti awam lain. Walaupun Rektor mempunyai kuasa yang lebih besar berbanding Presiden, sebagai orang yang dicalonkan oleh Kerajaan (baca: Kabinet) dan dilantik oleh Ketua Perlembagaan, Presiden memegang tanggungjawab yang besar terhadap universiti, baik secara individu mahupun secara bersesama di dalam Lembaga Gabenor.

Artikel 26 dan 61 Perlembagaan UIAM 2018 menggariskan tugas dan tanggungjawab Presiden, antaranya termasuklah mempengerusikan Mesyuarat Agung dan Lembaga Gabenor, melantik Timbalan Rektor, memilih Pemangku Rektor ketika kekosongan jawatan Rektor, menimbang rayuan staf dan pelajar yang dikenakan tindakan tatatertib, mempengerusikan Konvokesyen ketika ketiadaan Ketua Perlembagaan, serta menyelesaikan pertikaian yang berlaku ekoran pelantikan atau pemilihan seseorang anggota Pihak Berkuasa Universiti.

Semua ini, bagaimanapun, belum termasuk penugasan yang dibuat oleh Kerajaan dan Lembaga Gabenor terhadap Presiden. Harus juga diingatkan bahawa semua perkara yang berkaitan dan bersampingan dengan Universiti dipantau dan diputuskan secara muktamad oleh Lembaga Gabenor, terutamanya perkara yang berkaitan dengan perancangan strategik, kewangan, jalinan komuniti, jaringan industri serta pembangunan antarabangsa.

Dari sisi positif, beliau merupakan satu-satunya orang yang berkelayakan menyandang jawatan tersebut. Sebagai seorang pensyarah dan pemimpin kesatuan sekerja, beliau mengetahui selok-belok pentadbiran dan pembangunan Universiti, terutamanya dalam aspek akademik, penyelidikan serta hal ehwal mahasiswa. Beliau dilihat mampu menyumbang kepada pembesaran autonomi serta pembudayaan semula kebebasan akademik dan bersuara dalam kalangan warga.

Dari sisi negatif, beliau bukan lagi seorang ahli akademik di UIAM. Beliau menyertai politik dan menganggotai Pentadbiran setelah meletakkan jawatan sebagai penolong profesor sains politik. Setelah menjadi ahli politik kerajaan, beliau berjanji untuk membebaskan universiti daripada cengkaman politik dan ingin memberikan lebih autonomi kepada universiti dalam membuat keputusan berkaitan universiti itu sendiri. Pelantikan seorang ahli politik (dan Anggota Pentadbiran) sebagai Presiden, walaupun dasarnya adalah untuk melengkapkan keunikan organisasi, bukan sahaja dilihat sebagai mengikat UIAM dengan pengaruh politik parti pemerintah, tetapi juga kemungkiran terhadap janji kepada rakyat.

Malaysia Baru menandakan perubahan dari suatu zaman ke suatu zaman yang lain. Malaysia Baru bukan sahaja menandakan perubahan kepada Malaysia dan rakyatnya, tetapi juga UIAM serta warganya. Mereka yang memilih perubahan bukan sahaja mahu mengubah corak pentadbiran Kerajaan ke arah yang lebih baik, tetapi juga mahukan budaya yang lebih segar dipupuk dalam UIAM dan warganya selaras dengan aspirasi negara dan rakyat.

Walaupun orang yang sedia ada mempunyai merit untuk terus menjadi Presiden UIAM, Malaysia Baru menghendakkan seorang Presiden – setelah berlalunya enam orang Presiden yang majoritinya ahli politik dan seorang pegawai tertinggi Kerajaan – dipilih dari kalangan ahli akademik yang disegani negara dan dunia atau alumni yang bukan ahli politik dan mempunyai rekod cemerlang dalam bidang yang diceburi.

Sama ada orang yang sedia ada akan terus menjadi Presiden sepanjang penggal yang diperkenankan oleh Ketua Perlembagaan atas nasihat Kerajaan atau orang lain yang akan mengambil kerusi Presiden menggantikan yang sedia ada, UIAM masih beraspirasi untuk menjadi sebuah pusat kecemerlangan pendidikan yang unggul menerajui perjuangan negara dan dunia serta mendepani perubahan ke arah negara dan dunia yang lebih makmur dan bahagia berdasarkan kepada petunjuk Allah dan ajaran Rasul-Nya.

Pernyataan yang dituliskan tidaklah bertujuan untuk menderhaka kepada Ketua Perlembagaan yang sesungguhnya seorang Sultan. Pernyataan ini hanyalah semata-mata untuk melaksanakan semak dan imbang terhadap Kerajaan agar pemerintahan Kerajaan selari dengan kehendak yang datang dari denyut nadi rakyat ke arah pemerintahan yang lebih adil dan saksama serta kesejahteraan rakyat yang lebih terbela berlandaskan Perlembagaan, undang-undang serta manifesto parti pemerintah.

Selamat kepada UIAM dan Kerajaan.

Comments