Debat dan Oratori sebagai Agenda Negara


Perkara pertama yang saya lakukan selepas menyertai Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 2012 ialah menyertai debat dan pengucapan awam dalam bahasa Arab. Saya tidak setakat menyertai latihan dan pertandingan dalaman, tetapi juga mempromosikannya kepada warga UIAM dan masyarakat sekitar. Kadangkala, saya membawa nama UIAM itu sendiri (atau kampus yang saya wakili) apabila terlibat dalam acara yang berkaitan dengan debat dan pengucapan awam (sebagai bidang kebitaraan UIAM) dan berkepentingan kepada universiti dan negara.

Saya akui, sepanjang penglibatan saya dengan debat dan pengucapan awam, saya lebih banyak dilibatkan dengan peranan perjalanan pertandingan. Saya menjadi pegawai teknikal pertandingan debat bahasa Arab peringkat kebangsaan dan antarabangsa selama empat tahun (dikira dari tahun 2013). Saya tidak sehebat kawan-kawan saya yang memang dilibatkan langsung dalam proses penghujahan dan pembuktian di pentas perdebatan. Kawan-kawan saya kini pendebat peringkat negara dan dunia yang saya segani.

Begitu pun, debat dan pengucapan awam tidak setakat menemukan saya dengan pelbagai ilmu dan kemahiran yang berguna, tetapi juga menemukan saya dengan pelbagai jenis pendebat bahasa Melayu, Inggeris dan Arab dari pelbagai sekolah, kolej dan universiti, dalam dan luar Malaysia. Lebih daripada itu, debat dan pengucapan awam mengajar saya memandang sesuatu perkara menerusi pelbagai sudut pandang dan tidak berfokus kepada satu sisi sahaja (seperti yang sebahagian ahli politik lakukan).

Menyedari manfaat ini, saya beritahu semua yang mendengar ucapan ulung saya kepada universiti pada 18 Ogos 2014, secara spesifiknya dalam Kejohanan Debat antara Sekolah-sekolah UIAM 2014 (kategori bahasa Arab), “Salah satu cara untuk mencintai negara dan Islam adalah dengan berdebat.” Alasannya mudah, perbezaan pandangan mengenai sesuatu perkara membuatkan para pendebat saling menerima sesama sendiri dengan tangan, minda dan hati yang terbuka. Di situlah sebenarnya cinta yang besar maknanya walaupun besar cabarannya.

Walaupun saya sudah jarang bercakap mengenai debat dan pengucapan awam selepas tahun 2014, saya meneruskan perjuangan saya mengangkat martabat debat dan pengucapan awam dengan cara saya sendiri. Ketika kawan-kawan saya sibuk dengan latihan dan simulasi dalaman, dan ketika sebahagian lagi sibuk dengan pengurusan dan pembangunan pasukan, saya mempromosikan debat dan pengucapan awam serta kepentingannya dalam kolej kediaman dan Parlimen Mahasiswa.

Walaupun keberhasilannya tidak sebesar yang diimpikan, manfaat yang diterima oleh mereka yang terlibat bersifat berterusan. Hal ini demikian kerana, apa yang lebih penting dalam kepimpinan dan pengurusan bukanlah semata-mata hasil yang diharapkan pada masa kini dan secara jangka pendek, tetapi usaha yang berterusan secara jangka panjang ke arah hasil yang lebih besar pada masa hadapan.

Di luar UIAM, saya mempromosikan perkara yang serupa dengan sedaya upaya saya kepada dua buah sekolah menengah, masing-masing di Sabah dan Selangor, dengan cara saya. Impaknya lebih kecil berbanding impak yang dihasilkan di UIAM itu sendiri. Masa yang amat terbatas merupakan punca. Tetapi, impak yang kecil tidak menghalang lebih banyak lagi orang mendapat manfaat (yang boleh jadi lebih baik daripada apa yang asalnya diimpikan).

Tahun ini (2018), di bawah kepimpinan baru, UIAM memimpin (malah mendepani) langkah. Debat dan pengucapan awam kini menjadi agenda negara. Rekod ini berkat usaha dan doa semua yang terlibat dalam bidang ini secara langsung mahupun tidak langsung, dalam skala kecil mahupun besar, sama ada berbahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Rekod ini hasil perjuangan semua yang telah dan masih berjuang memartabatkan debat dan pengucapan awam sepanjang kewujudan UIAM di peta Malaysia dan mata dunia.

Sebagai agenda negara, rakyat yang berbilang bangsa, agama dan pandangan, diajak untuk meraikannya bersama, terutamanya mereka yang berada di bangku sekolah dan menara gading. Bukanlah untuk mempromosikan mana-mana individu atau kumpulan yang membawa sesuatu kepentingan, tetapi untuk meraikan semua pandangan yang bersesuaian walaupun berbeza kepentingan sesuai dengan kemuliaan ilmu dan kemahiran, budi dan bakti.

Comments