Melunasi Janji-janji Kemerdekaan


"Kita tidak banyak masa untuk mengharungi kekecewaan. Perjuangan mesti diteruskan."

Saya masih ingat, beberapa hari yang lepas, ada orang dalam dari salah sebuah sekolah kerajaan negeri  – nama sekolah dan daerah dirahsiakan – beriya-iya mengajak saya untuk mengajar bahasa Arab di situ. Apabila saya ke mari, saya berjumpa dengan pengetuanya yang mengesahkan bahawa memang sekolah itu memerlukan guru bahasa Arab dan meyakinkan saya bahawa saya harus berada di sana.

Waktu itu, beliau memberitahu bahawa beliau akan menghubungi saya pada petang hari saya datang bertemu beliau. Malangnya, pada waktu yang dijanjikan, malah sampai pada saat saya berbicara sebegini, beliau tidak menghubungi saya. Barulah saya sedar kemudiannya bahawa saya sebenarnya tidak diperlukan di situ.

Berita ini memang mengecewakan saya. Begitu pun, itu hanyalah salah satu daripada pelbagai kisah kekecewaan yang saya hadapi selama ini, terutamanya sepanjang lima tahun yang lepas. Saya juga masih ingat, ketika mengajar di sekolah lama, saya pernah diajak untuk bersama budak kumpulan Nasyid dalam sesi latihan, tetapi kemudiannya ditolak dengan tangan begitu sahaja.

Beginilah kehidupan. Bukan namanya kehidupan jika tidak disulami dengan kekecewaan. Walaupun begitu, kekecewaan bukanlah untuk diharungi untuk tempoh yang lama. Kelak kekecewaan menyebabkan kita tidak berbuat apa-apa. Kita mesti melakukan sesuatu yang lain untuk mengatasi kekecewaan. Lagi pun, masih banyak perkara yang menanti di hadapan kita.

Sebagai khalifah Allah di muka bumi, kita masih ada tiga tanggungjawab, yakni tanggungjawab kepada diri, tanggungjawab kepada negara dan tanggungjawab kepada agama. Semua itu perlu untuk mengisi janji-janji kemerdekaan yang Bapa Kemerdekaan telah tinggalkan kepada kita semua.

Salah satu daripadanya ialah untuk mendaulatkan syiar Islam. Apa yang kita lakukan pada malam ini – berkumpul untuk mendengar tazkirah – sebenarnya merupakan sebahagian daripada usaha untuk melunasi janji kemerdekaan. Hakikatnya, agama Islam tidak dijadikan sebagai agama rasmi Malaysia begitu sahaja. Ada tanggungjawab besar yang harus kita pikul bersama terhadap agama.

Salah satu daripada janji-janji kemerdekaan ialah untuk mewujudkan masyarakat yang aman dan harmoni. Dalam skop sekolah, keamanan dan keharmonian hanya dapat dicapai menerusi kesempurnaan pendidikan. Oleh sebab itu, setiap kali kita selesai solat, kita berdoa agar diberikan kejayaan bergaya di dalam peperiksaan utama setelah berhempas-pulas untuk mendapatkannya.

Begitu pun, ilmu yang kita timba di sekolah bukanlah semata-mata untuk peperiksaan, tetapi untuk kehidupan. Oleh hal yang demikian, janganlah menimba ilmu semata-mata untuk menghadapi peperiksaan kerana ada perkara yang lebih mustahak menanti di hadapan. Itulah kehidupan yang penuh dengan cabaran yang sentiasa memerlukan kepada penyelesaian.

Sebenarnya, banyak lagi janji kemerdekaan yang kita perlu lunaskan berdasarkan kepada Pemasyhuran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 serta Pemasyhuran Malaysia 1963. Namun, tidak semua mampu memahami dengan mudah kedua-duanya. Oleh itu, kembalilah kepada Rukunegara.

Sesungguhnya apa-apa pun yang kita lakukan selama ini, itu semua untuk diri, negara dan agama. Kita tidak banyak masa untuk mengharungi kekecewaan. Perjuangan mesti diteruskan. Jadikan ilmu yang dikecapi sebagai hidayah untuk meneruskan perjuangan melunasi janji-janji kemerdekaan yang belum dan mesti diselesaikan.

Jumaat, 10 Ogos 2018
Surau Nurul Yaqin, IPGM Kampus Kent, Tuaran, Sabah

--------

Note: The speech written here does not reflect the writer's exact words, but includes all main points of speech delivered on the time of delivery.

Comments