Ke Arah ASEAN yang Berdaya Tahan dan Berinovasi


Setiap 8 Ogos, Malaysia dan sembilan buah negara Asia Tenggara yang lain memperingati pengasasan Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Asalnya, hanya lima buah negara yang mengganggotai ASEAN. Tetapi, keyakinan dan wawasan yang ditonjolkan dalam ASEAN membuatkan lima buah negara yang berikutnya menyertai ASEAN, dengan Kemboja menjadi negara kesepuluh yang menyertai ASEAN pada tahun 1999.

Sesungguhnya penubuhan ASEAN pada 8 Ogos 1967 bukanlah perkara yang sia-sia. Penubuhan ASEAN oleh para pengasasnya – yakni Narciso Ramos dari Filipina, Adam Malik dari Indonesia, Tun Abdul Razak Hussein dari Malaysia, Sinnathamby Rajaratnam dari Singapura, dan Thanat Khoman dari Thailand – membawa bersama cita-cita untuk mengekalkan keamanan dan kemakmuran kepada Asia Tenggara, sekaligus untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Asia Tenggara mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rantau-rantau yang lain.

Walaupun begitu, cita-cita ASEAN ke arah keamanan dan kemakmuran tidak harus dipandang menerusi satu sudut semata-mata. Kewujudan Komuniti ASEAN pada 2015 bersama tiga komuniti pecahan di bawahnya menghendaki ASEAN serta lebih kurang 650 juta penduduknya memandang aspirasi ASEAN menerusi tiga spektrum yang berbeza, iaitu politik dan keselamatan, ekonomi, serta sosiobudaya.

Dari sudut politik dan keselamatan, dasar serta strategi keselamatan dan pertahanan serantau, keharmonian demokrasi serta keteguhan pentadbiran keadilan menjadi keutamaan. Dari sudut ekonomi pula, kerancakan perdagangan dua hala dan pelbagai hala serta pertumbuhan industri utama menjadi sandaran. Begitulah juga dengan sudut sosiobudaya yang menekankan pembangunan pendidikan dan kemahiran serta apresiasi seni dan budaya.

Perkara ini penting bagi memastikan matlamat akhir penubuhan ASEAN – untuk mencapai keamanan dan kemakmuran serantau – menjadi kenyataan pada waktunya berasaskan kepada Cara ASEAN. Hakikatnya, halatuju ASEAN hanya boleh dicapai apabila seluruh Komuniti ASEAN memaikan peranan mereka masing-masing menerusi Cara ASEAN yang “berani untuk bermimpi dan peduli untuk berkongsi”.

Sayangnya, tidak semua warga ASEAN mampu memahami, apatah lagi menghayati Cara ASEAN yang diilhamkan berasaskan nilai hormat-menghormati, kasih sayang, tolak ansur, kerjasama, kesederhanaan, kebebasan serta semangat bermasyarakat. Perkara ini menghalang Komuniti ASEAN untuk menjadi sebuah komuniti yang sarat dengan ruang dan peluang dalam pelbagai bidang dan, pada masa yang sama, membantutkan usaha ASEAN untuk mencapai wawasannya.

Sesungguhnya hasrat untuk menjayakan ASEAN tidak semestinya memerlukan usaha yang besar. Pada ketika para ahli politik, pegawai awam, ahli akademik serta usahawan menangani perkara-perkara yang besar termasuk cabaran ekonomi dan keselamatan, perkara sekecil mengadakan gotong-royong di kota atau desa, menyediakan bantuan dan sokongan kepada golongan yang memerlukan, serta menganjurkan pertandingan kebudayaan dan kesenian oleh komuniti kejiranan, mahasiswa dan karyawan memberi sumbangan yang besar kepada ASEAN.

Hal ini demikian kerana, aspirasi ASEAN sentiasa mengenai kewujudan dan kelestarian komuniti yang sarat dengan ruang yang peluang yang tidak semata-mata dicipta atas dasar persaingan, tetapi atas dasar kerjasama. Sekarang bukan lagi persaingan menjadi keutamaan, tetapi kerjasama. Kerana kerjasama, ASEAN akan kekal sebagai sebuah rantau yang berdaya tahan dan berinovasi.

Bersamalah kita berani untuk bermimpi dan peduli dengan berkongsi kerana itulah Cara ASEAN. Bersamalah kita merangkul keunggulan untuk negara dan rantau dengan Cara ASEAN ke arah ASEAN yang berdaya tahan dan berinovasi.

Comments