Cinta yang Membina Negara


Jikalau saya diberi peluang untuk memilih lagu tema Hari Kebangsaan yang terbaik yang pernah saya dengari, nyanyikan dan hayati, saya memilih lagu Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta. Lagu yang dinyanyikan oleh Bob Yusof ini ciptaan Sharon Tan, dengan liriknya ditulis oleh Ahmad Fedtri Yahya.

Lagu tema Hari Kebangsaan 2014 asalnya mengambil inspirasi daripada baris pertama lagu Warisan nyanyian Sudirman Arshad (1982). Begitu pun, lagu ini diberi nafas yang berbeza yang menjadikan lagu ini amat bermakna merentasi masa. Pertama, kerana lagu ini tidak setakat diminati oleh orang kita, tetapi juga diminati oleh warga negara asing, terutamanya negara tetangga. Kedua, kerana lagu ini sesuai untuk semua golongan yang berada di dalam negara. Ketiga dan yang lebih utama, kerana roh dan nilai yang dipupuk dalam lagu ini bersifat lebih mendalam.

Lagu tersebut berbeza dengan lagu Kita Punya Malaysia nyanyian Bunkface yang dipilih sebagai lagu tema Hari Kebangsaan 2018 yang memenuhi hanya satu atau dua daripada tiga kriteria yang disebutkan. Pertama, kerana lagu ini lebih sesuai dengan orang muda. Kedua, kerana tidak semua yang berada di dalam negara memaknai perubahan. Ketiga dan yang lebih mustahak, kerana sayang kepada negara, seperti dalam tema “Sayangi Malaysiaku”, tidak semestinya sedalam cinta kepada negara.

Pada pandangan penulis, cinta kepada negara bersifat lebih mendalam berbanding sayang kepada negara. Walaupun perkataan ‘cinta’ dan ‘sayang’ – termasuklah ‘kasih’ – sinonim dari segi bahasa, kedua-dua perkataan tersebut mempunyai perbezaan yang ketara dari segi istilah. Ketika rasa kasih dan sayang kepada negara terhenti setakat luahan kesyukuran dan rasa bertuah kerana adanya sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, rasa cinta kepada negara mendepani luahan tersebut.

Hakikatnya, bukan negara yang membina cinta, tetapi cinta yang membina negara. Sebagai rakyat, cinta kepada negara tidak semestinya dinyatakan dengan lisan, tetapi diterjemahkan dengan tindakan yang berterusan disertai dengan keyakinan. Sejarah negara sudah terang lagi bersuluh membuktikan, malah mengajar kita, suka dan duka perjuangan pahlawan negara mewujudkan negara yang berdaulat dan merdeka serta mengekalkan keamanan dan kemakmuran dalam negara dan rakyat.

Peranan rakyat pada hari ini tidak cukup setakat untuk mempelajari sejarah seraya berterima kasih kepada sejarawan yang menulis sejarah dan pahlawan negara yang mencipta sejarah. Rakyat pada hari ini membawa peranan yang lebih besar daripada itu, iaitu untuk mencipta dan meneruskan kejayaan yang berikutnya di pelbagai tempat dan ketika, peringkat dan lapangan.

Mereka yang berada di bangku sekolah atau menara gading meneroka sebanyak dan sedalam mungkin ilmu dan budi. Mereka yang bekerja, baik dengan Kerajaan, perniagaan, syarikat mahupun badan bukan kerajaan, menterjemahkan ilmu dan budi menerusi pelaksanaan tugas dan tanggungjawab yang diberikan. Sebahagian daripada mereka dipilih untuk membuat dasar yang menjamin kesejahteraan rakyat. Sebahagian lagi diangkat untuk menegakkan keadilan.

Pendek kata, setiap orang yang berada di dalam negara mempunyai tugas dan tanggungjawab yang dikhususkan sesuai dengan bidang yang diceburi pada masa dan tempatnya. Walaupun begitu, tugas dan tanggungjawab seseorang tidak terhad setakat yang diberikan. Hal ini demikian kerana, masih ada amanah yang lebih besar yang ditinggalkan oleh para pengasas dan pemimpin negara untuk ditunaikan oleh generasi kini dan akan datang; itulah mengisi dan melunasi janji-janji kemerdekaan.

Negara sedang menghadapi pelbagai cabaran besar yang datang daripada pelbagai hala. Hanya dengan melaksanakan amanah yang ditinggalkan, cabaran-cabaran tersebut dapat dinoktahkan. Sayangnya, amanah tersebut tidak dapat dipikul oleh seseorang secara bersendiri. Walaupun masing-masing ada caranya yang tersendiri untuk menunaikannya, amanah tersebut harus digalas oleh rakyat secara bersama.

Hal ini demikian kerana, yang menjadi sasaran ketika negara sedang diuji dari dalam dan luar adalah asas-asas pembentukan negara. Itulah Islam sebagai agama rasmi, Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi, demokrasi berparlimen sebagai asas pemerintahan, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu yang dipertahankan, hak dan keistimewaan Melayu, Bumiputera dan orang asal yang dikekalkan, kebebasan rakyat yang bersesuaian dengan nilai dan budaya ketimuran, kemasyarakatan yang berteraskan keamanan dan perpaduan, serta pembahagian kekayaan yang adil dan saksama.

Sebagai rakyat, asas-asas pembentukan negara harus dihormati, diraikan dan dipertahankan walaupun sekecil mengucapkan selamat serta menghulurkan tangan kepada jiran dan rakan sekerja. Perbezaan tidak harus mengatasi persamaan yang sentiasa menyatukan. Hanya dengan cara itulah, negara – walau apa pun jalan yang akan ditempuhi pada masa kini dan akan datang – akan dapat mengekalkan keamanan dan kemakmuran.

Kesimpulannya, memang cinta rakyat yang sesungguhnya membina negara. Dengan cinta, kita tidak sekadar meluahkan rasa bangga, bertuah dan bersyukur serta ikrar taat setia kepada negara. Cinta membolehkan kita sekurang-kurangnya berkenalan dengan mereka yang berbeza agama, bangsa, budaya dan pemikiran. Cinta juga membolehkan kita mencapai segala yang kita inginkan untuk diri kita dan sekeliling menerusi doa dan usaha berterusan. Cinta yang sama jugalah membawa kita mencapai kejayaan yang tidak semestinya kita pernah impikan selama ini.

Perjalanan negara masih jauh. Selagi adanya nama Malaysia di peta dunia, dan selagi adanya dunia di dalam alam semesta, selagi itulah perjalanan negara mencapai keamanan dan kemakmuran berterusan berkesinambungan. Kitalah yang akan meneruskan perjalanan bersama negara ke arah masa depan yang lebih bercahaya.

Comments