Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama


"Bumi ini milik Allah. Tamadun manusia hanya meminjamnya daripada Penciptanya, bukanlah untuk berbuat sesuka hati, tetapi untuk berkongsi kehidupan dengan hidupan yang lain, dengan tuntutan menuruti segala perintah Allah di atasnya."

Saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Alam sekitar merupakan anugerah Allah yang amat bernilai kepada manusia. Allah SWT menciptakan alam ini dengan sempurna dan seimbang untuk dimanfaatkan dan dimakmurkan oleh manusia. Bumi yang luas dijadikan tempat tinggal manusia. Gunung-ganang menjadi pasak bumi, langit adalah atapnya.

Tumbuh-tumbuhan menjadi sumber makanan dan perubatan, hujan turun membawa rezeki, begitu jugalah hidupan kelautan yang dijadikan untuk kemudahan hidup manusia. Hakikat ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim, ayat 32 dan 33:

“(Dialah) Allah yang menciptakan langit dan bumi dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan sebagai rezeki bagi kamu; Dia jugalah yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (merentasinya); dan Dia jugalah yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar untuk kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah bagi kehidupan kamu.”

Ayat tersebut tidak setakat menggambarkan alam sekitar sebagai kurniaan Allah yang agung, tetapi juga peri mustahak pemeliharaan dan pemuliharaannya, yang semestinya selari dengan kemajuan yang sedang dinikmati oleh negara dan rakyat. Hakikatnya, keseimbangan ekosistem dan kelestarian alam sekitar memberi impak yang besar kepada kesejahteraan kehidupan.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Walaupun begitu, masih ada dalam kalangan kita yang tidak merasai kebertanggungjawaban memelihara dan memulihara alam sekitar. Kita tidak perlu pergi jauh-jauh untuk mencari permasalahan tersebut. Cukuplah kita menemuinya di desa atau kota yang berdekatan dengan kita. Masih ada yang membuang sampah merata-rata, melepaskan sisa buangan secara terus ke laut dan sungai, melepaskan asap kilang tanpa tapisan, menceroboh hutan secara berleluasa, menjalankan aktiviti pembangunan secara tidak terkawal dan melakukan pembakaran terbuka.

Harus kita ingat bahawa tindak-tanduk masyarakat yang tidak menghargai alam sekitar mengakibatkan tempiasnya akan kembali kepada kita sendiri. Kenaikan suhu bumi, pencemaran sumber air, pencemaran udara, banjir besar, tanah runtuh, kebakaran hutan, kepupusan flora dan fauna dan perubahan iklim tidak menentu pasti menjejaskan kehidupan manusia.

Pelbagai bencana dan kerosakan yang berlaku di seluruh dunia adalah disebabkan oleh kerakusan dan kecuaian manusia itu sendiri. Firman Allah SWT dalam Surah ar-Rum ayat 41:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Antara kepentingan utama menjaga alam sekitar ialah pemeliharaan sumber air. Sekalipun air meliputi 70 peratus daripada bumi, hanya 2.5 peratus daripadanya merupakan air tawar dan hanya 1 peratus air tawar berada dalam bentuk yang mudah diperoleh.

Adalah amat membimbangkan apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan, seramai 2.1 bilion penduduk dunia mendapat akses kepada keperluan air selamat yang tidak memuaskan, manakala 4.5 bilion penduduk dunia tidak menikmati pengurusan sanitasi yang baik. Lebih membimbangkan lagi, 844 juta penduduk dunia yang tidak mendapat akses kepada keperluan air selamat, langsung tidak memperoleh bekalan air minuman.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Sesungguhnya manusia dan alam sekitar saling memerlukan. Sekiranya salah satu daripada kedua-duanya musnah, maka sengsaralah yang satu lagi. Maka, tidak hairanlah apabila Islam begitu menitikberatkan kebertanggungjawaban manusia untuk menjaga alam sekitar dan mengekalkan keharmonian dunia.

Seiring dengan konsep manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi, kita bukan sahaja perlu memelihara amanah besar untuk mentadbir dan memakmurkan bumi, bahkan perlu bertindak bijak dalam mengatur penggunaan hasil bumi secara lestari demi memastikan generasi seterusnya tidak terbeban dengan ketamakan dan kerakusan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Abu Said al-Khudri RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat Muslim)

Pelaksanaan amalan teknologi hijau seperti penjimatan air dan elektrik serta pengurangan penggunaan plastik harus dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengekalkan kelestarian alam sekitar. Hal ini demikian bagi memastikan manusia dapat menunaikan tanggungjawab secara langsung terhadap alam sekitar.

Pada masa yang sama, rakyat digesa untuk meningkatkan usaha memelihara dan memulihara alam sekitar serta memastikan pengurusan sumber alam yang mampan. Hal ini demikian bagi memastikan bumi kita terus sejahtera untuk generasi kini supaya dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

Sidang Jumaat yang budiman,

Bumi ini milik Allah. Tamadun manusia hanya meminjamnya daripada Penciptanya, bukanlah untuk berbuat sesuka hati, tetapi untuk berkongsi kehidupan dengan hidupan yang lain, dengan tuntutan menuruti segala perintah Allah di atasnya. Dalam erti kata yang lain, berdasarkan kepada prinsip Rahmatan lil-‘Alamin (rahmat kepada seluruh alam), segala ciptaan yang ada di muka bumi ini, termasuklah haiwan dan tumbuhan, wajib diberi hak untuk hidup dan wajib dipelihara dengan sebaik-baiknya.

Namun begitu, apa yang lebih penting adalah langkah pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang bermula daripada diri sendiri dan keluarga, seterusnya kepada masyarakat. Oleh hal yang demikian, bersama-samalah kita mengamalkan gaya hidup yang bersih.

Buang sampah di tempat yang betul. Gunakan air dan tenaga elektrik secara berhemah. Kurangkan penggunaan plastik. Jangan lakukan pembakaran terbuka. Teruskanlah menyedarkan diri kita dan orang sekeliling akan peri pentingnya memelihara dan memulihara alam sekitar.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Mengakhiri khutbah, marilah kita renungi intipati-intipati penting sebagai pedoman dalam kehidupan kita.

Pertama: Allah telah mencipta alam ini dengan sempurna dan seimbang untuk dimakmurkan oleh manusia.

Kedua: Manusia bertanggungjawab memelihara dan memulihara alam sekitar dengan sebaik-sebaiknya.

Ketiga: Islam melarang sebarang bentuk laku musnah ke atas alam sekitar.

“Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-An’aam, ayat 165)

Jumaat, 3 Ogos 2018.
Masjid al-A'laa, Kampung Lokub, Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.
Khutbah sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan suntingan dan tambahan.

Comments