Aidiladha: Menghargai Negara, Memperingati Pengorbanan


"Kehidupan sentiasa mengenai pengorbanan. Kehidupan juga sentiasa menuntut pengorbanan. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, kita semua terikat dengan kewajipan untuk berkorban. Hal ini demikian kerana, dunia adalah medan ujian yang memerlukan kita mengorbankan segala yang kita miliki untuk tujuan yang lebih utama."

Click here to read the full text.

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,

Selamat Hari Raya Aidiladha. Marilah kita sama-sama memulakan hari kita dengan mengucapkan segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa. Dengan limpah kurnia-Nya serta izin-Nya, dapatlah kita meraikan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.

Untuk sampai ke saat ini bukanlah mudah. Tiada siapa yang menyangka bahawa, pada ketika masih ada negara yang mengharungi pergolakan, dan pada ketika masih ada insan di segenap penjuru dunia yang masih dirantai oleh perhambaan dan penindasan atas apa jua sebab dan alasan, negara dan rakyat Malaysia masih dapat merayakan Hari Raya Aidiladha dalam suasana yang aman dan bahagia.

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,

Oleh hal yang demikian, atas nama negara dan rakyat, setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua sempena Hari Raya Aidiladha dan Hari Tasyrik yang akan disambut selama tiga hari yang berikutnya.

Ambillah ruang dan peluang yang tersedia pada waktu ini sehingga hari keempat perayaan, dan sampai bila-bila, untuk menzahirkan rasa bertuah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Allah SWT atas rahmat dan nikmat yang dikurniakan, seraya meneruskan ketaqwaan kita kepada-Nya, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi Allah,

Hari ini cukup signifikan bagi seluruh umat Islam amnya dan rakyat Malaysia khasnya. Negara baru sahaja memperingati Hari Pahlawan, 31 Julai yang lalu. 31 Ogos yang akan datang, negara akan merayakan Hari Kebangsaan dan ulangtahun ke-55 kemerdekaan negeri Sabah. 16 September yang berikutnya pula, negara akan merayakan Hari Malaysia. Hari Raya Aidiladha, kali ini, terletak di antara tarikh-tarikh tersebut. Lebih signifikan lagi, hanya ada satu perkataan untuk menerangkan keempat-empat hari tersebut; itulah pengorbanan.

Begitu pun, tidak semua meraikan Hari Raya Aidiladha seperti kita pada hari ini. Pertama, kerana pada ketika ini, berdasarkan perangkaan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, 1,991,673 orang jemaah haji dari seluruh dunia sedang menunaikan ibadah haji pada ketika ini. 85,579 orang jemaah haji datang berkereta, 16,163 orang dengan kapal laut, dan selebihnya datang dengan penerbangan. Kita berdoa, semoga mereka semua dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna serta pulang ke tanah air dengan haji yang mabrur.

Termasuk dari kalangan mereka yang datang dengan penerbangan adalah 103,055 orang jemaah haji dari Malaysia dan Indonesia yang memasuki Makkah menerusi inisiatif Jalan Makkah. Di bawah inisiatif ini, urusan tapisan keselamatan setelah ketibaan di Arab Saudi dipindahkan terus ke negara asal untuk dilakukan sebelum perlepasan.

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi Allah,

Kedua, kerana tidak semua dapat hidup bersama kita pada hari ini. Sebahagian daripada kita telah terlebih dahulu pulang kepada Penciptanya. Termasuk dalam kumpulan ini adalah mereka yang terkorban dalam perjuangan di jalan Allah, membela nasib keluarga dan masyarakat, mempertahankan bangsa dan negara serta mendaulatkan syiar agama. Kita ucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka atas cita dan cinta mereka. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas mereka dan menempatkan mereka di Syurga bersama-sama orang-orang yang dikasihi-Nya.

Ketiga dan yang paling utama, kerana Hari Raya Aidiladha hanya disyariatkan kepada umat Islam yang masih hidup dan tidak menunaikan ibadah haji. Pada hari ini, selesai kita menunaikan Solat Sunat Aidiladha, mereka yang berkemampuan akan melaksanakan ibadah korban semata-mata kerana Allah dan untuk mengejar pahala besar serta keredhaan Allah. Masyarakat yang berkesempatan akan turut serta menyembelih binatang korban untuk dimanfaatkan oleh umat Islam di kawasan persekitaran. Zaid bin Arqam RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tiada sesuatu amalan yang dikerjakan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai oleh Allah daripada menumpahkan darah korban. Bahawasanya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada Hari Kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan bahawasanya darah korban itu akan mendapat tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi. Oleh itu, hendaklah kamu berkorban dengan hati yang ikhlas.” (Hadis Riwayat Tarmizi)

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Penyembelihan binatang korban merupakan ibadah yang sangat besar ganjaran pahalanya. Ibadah korban merupakan syiar Islam dan lambang pengorbanan besar Nabi Ibrahim AS dalam menyatakan kepatuhan kepada Allah SWT yang tidak berbelah bagi dan ketaatan yang tiada bandingannya. Nabi Ibrahim AS, dengan rela hati, menjunjung dan mematuhi perintah Allah, menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS. Malah, anaknya sedikit pun tidak membantah permintaan bapanya yang sesungguhnya merupakan perintah Allah. Kerelaan dua beranak itu jelas dirakam oleh Allah SWT menerusi firman-Nya dalam Surah al-Saffat, ayat 102:

“Maka, ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah, apa pendapatmu? Anaknya menjawab: “Wahai ayah! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; dengan izin Allah, ayah akan mendapati aku dari kalangan orang-orang yang sabar.”

Muslimin dan Muslimat yang berbahagia,

Sesungguhnya Allah telah memerintahkan hamba-Nya supaya melaksanakan ibadah korban pada setiap tahun. Allah juga telah mensyariatkan ibadah korban sebagai suatu amalan sunat yang sangat dituntut untuk mencapai ketaqwaan dan keikhlasan di sisi Allah sama seperti yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail AS sebagai bukti kecintaan kepada Allah SWT melebihi kecintaan kepada dunia dan seisinya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Haj, ayat 37:

“Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya adalah ketaqwaan dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya, dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang ihsan (yang berusaha supaya sentiasa baik amalannya).”

Kehidupan sentiasa mengenai pengorbanan. Kehidupan juga sentiasa menuntut pengorbanan. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, kita semua terikat dengan kewajipan untuk berkorban. Hal ini demikian kerana, dunia adalah medan ujian yang memerlukan kita mengorbankan segala yang kita miliki untuk tujuan yang lebih utama. Tanpa pengorbanan, kelangsungan hidup tidak akan dapat dinikmati dengan sempurna, sedangkan nikmat itu adalah kurniaan Allah kepada hamba-Nya yang sanggup berusaha dengan gigih dan sanggup berkorban dengan ikhlas kerana Allah.

Seorang pelajar di sekolah mahupun universiti mengorbankan harta, masa dan tenaganya untuk meraih pencapaian akademik dan kokurikulum yang cemerlang. Seorang pekerja mengorbankan harta, masa dan tenaga untuk membina masyarakat yang lebih makmur dan sentosa. Lebih besar daripada itu, seorang pahlawan kehilangan nyawanya dan orang-orang yang dicintainya kerana menyerahkan diri kepada Allah, meninggikan agama-Nya serta mempertahankan kedaulatan negara kita yang tercinta.

Sempena hari yang mulia ini, dengan doa dan ingatan kita semua, kita ucapkan terima kasih kita yang sebesar-besarnya kepada Dol Said, Yamtuan Antah, Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Bahaman, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Sharif Masahor, Paduka Mat Salleh, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Tun Datu Mustapha Datu Harun serta seluruh pahlawan negara yang namanya tidak dapat kita sebutkan satu persatu.

Pengorbanan dan kesetiaan mereka semua selama ini bukan sahaja membolehkan kita berkongsi keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi bersama, tetapi juga membolehkan adanya Malaysia di tengah-tengah peta dunia sebagai “sebuah negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan, dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya, dan menggalakkan keamanan di antara segala bangsa di dunia ini.”

Muslimin dan Muslimat yang budiman,

Mengakhiri ucapan, saya mengajak diri saya dan semua untuk memperingati betapa kehidupan kita sentiasa tidak lari daripada pengorbanan orang lain. Pendidikan kita, kerjaya kita, malah seisi kehidupan kita sentiasa diisi dengan pengorbanan orang-orang yang setia dan penyayang.

Ibu bapa dan keluarga kita banyak berkorban mengasuh dan membesarkan kita demi memastikan kita menjadi insan yang berguna serta mendapat hidayah Allah. Guru-guru kita banyak berkorban demi memastikan bahawa ilmu dan budi yang mereka ajarkan sentiasa sampai di akal dan di dada kita berserta keredhaan-Nya. Sahabat-sahabat kita juga banyak berkorban demi memastikan persaudaraan dan persahabatan berkekalan dengan restu-Nya.

Buat setiap yang telah, pernah dan masih berkorban dalam kehidupan, lihatlah, betapa pengorbanan kalian semua amat bererti buat setiap yang merasainya. Terima kasih sebesar-besarnya diucapkan atas jasa dan sumbangan yang dicurahkan di pelbagai tempat dan ketika. Sesungguhnya kita semua belajar daripada sumbangan dan perjuangan orang lain sehingga kita diberi peluang untuk turut serta berkorban walaupun dengan cara kita sendiri.

Marilah kita kerahkan intelek, emosi, rohani dan jasmani kita, bersatu hati dan bersama berbakti. Perjuangan belum selesai, perjuangan mesti diteruskan. Semoga Allah menerima amalan dan pengorbanan mereka dan kita semua, serta memberikan kudrat dan iradat kepada kita untuk meneruskan perjuangan.

Rabu, 22 Ogos 2018
Masjid al-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah
Khutbah sumbangan Jabatan Agama Islam Selangor dengan suntingan dan tambahan.

Comments