Politik dalam Solat


Solat merupakan ibadah yang wajib ditunaikan ke atas seluruh umat Islam. Walaupun solat boleh dikerjakan bersendirian, umat Islam digalakkan menunaikan solat secara berjemaah. Di samping impak mental dan spiritual yang boleh didapati menerusi solat secara bersendirian, solat secara berjemaah boleh membawa impak politik baik kepada individu mahupun kepada jemaah.

Impak politik bermula sebaik sahaja Bilal (istilah alternatif bagi Muazzin) melaungkan Azan tanda masuk waktu solat dan Iqamat tanda bermulanya solat berjemaah. Sekali Azan dilaungkan, jemaah berpusu-pusu datang ke masjid dan surau untuk menunaikan solat secara berjemaah. Sejurus selepas Iqamat, Imam mengambil tempat untuk memimpin solat.

Panggilan Azan dan Iqamat oleh Bilal melambangkan seruan kepada masyarakat untuk berkumpul dan memilih pemimpin dari kalangan yang kuat dan beramanah. Pemimpin yang terpilih akan memikul tugas kepimpinan sepanjang tempoh yang dikehendaki dan diizinkan, menentukan perintah dan halatuju yang bersesuaian untuk pengikut. Pengikut pula dikehendaki untuk terus patuh kepada pemimpin, perintahnya serta halatujunya selagi mana tidak bercanggah dengan hukum syarak dan peruntukan undang-undang.

Pada ketika Imam mengangkat Takbiratul Ihram, Makmum menyertainya. Segala rukun yang dikerjakan oleh Imam dituruti oleh Makmum sehingga ucapan salam yang terakhir. Melainkan jika ada kesilapan atau kelupaan pada Imam, Makmum boleh menegurnya atau memperbetulkan bacaannya. Di sini, solat bercerita, pengikut boleh menegur atau memperbetulkan pemimpin dengan cara-cara yang munasabah.

Melainkan jika pemimpin tetap dengan tindakan atau pendiriannya yang bertentangan, pengikut boleh memutuskan untuk berpisah dengan pemimpin tersebut, sama ada menjadi minoriti atau membawa majoriti memilih pemimpin baru. Begitulah jua kehendaknya dengan solat; apabila Imam sudah ditegur atau diperbetulkan oleh Makmum sebanyak tiga kali mengikut caranya, Makmum boleh memilih untuk berpisah dari Imam dan meneruskan solat secara bersendiri atau mengulanginya bersama Imam baru.

Selesai sahaja solat berjemaah, Imam terus memimpin jemaah menerusi zikir, wirid dan doa. Selesai sahaja itu semua, Imam dan Makmum akan bersalaman sesama sendiri. Dalam erti kata yang lain, pemimpin tidak setakat memimpin pengikut untuk kebaikan duniawi, tetapi juga untuk kebaikan ukhrawi. Walaupun ada sahaja yang membezakan, memimpin atau dipimpin bukan lagi soalnya, tetapi perpaduan dan kerjasama sesama pemimpin dan pengikut lebih utama demi manfaat dan kejayaan bersama.

Pendek kata, solat berjemaah bukanlah tentang membangunkan mental dan spiritual masyarakat, tetapi lebih besar daripada itu, memberdayakan sosiopolitik masyarakat demi kelangsungan dan kestabilan masyarakat. Sesungguhnya redha Allah terhadap manusia mempunyai interpretasi yang sangat luas, bukan sahaja pada rezeki yang dikurniakan kepada setiap individu, tetapi juga rezeki yang dikurniakan kepada semua untuk dikongsi dan diagihkan secara bersama mengikut garis panduan yang diatur dalam sumber-sumber hukum yang disepakati.

Photo courtesy of Astro Awani

Comments