Persiapan Menjadi Tetamu Allah


"Perjalanan haji bukanlah perjalanan yang biasa. Perjalanan tersebut merupakan perjalanan memenuhi undangan Allah SWT untuk mengunjungi Baitullah."

Saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, dengan melaksanakan segala suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Masuk sahaja bulan Zulkaedah, menyusullah musim keberangkatan jemaah haji ke Tanah Suci. Alhamdulillah; tahun ini, 30,200 orang warganegara Malaysia beragama Islam terpilih untuk menunaikan haji, termasuk 1,225 orang yang berasal dari negeri Sabah.

Sepanjang 14 Julai hingga 14 Ogos, 81 penerbangan akan (malah telah) menerbangkan jemaah haji kita dari Kuala Lumpur serta tujuh buah lokasi lain (termasuk Kota Kinabalu) ke Madinah atau Jeddah. InsyaAllah, 81 penerbangan yang sama akan menerbangkan semula jemaah haji kita pulang dari Tanah Suci ke tanah air sesudah berlalunya musim haji, yakni sepanjang 29 Ogos hingga 25 September.

Mungkin ada ahli keluarga kita, guru kita, sahabat handai kita atau kenalan kita yang terpilih mengerjakan haji pada kali ini. Kita ucapkan selamat pergi dan balik kepada mereka. Semoga mereka mendapat haji yang mabrur.

Hakikatnya, perjalanan haji bukanlah perjalanan yang biasa. Perjalanan tersebut merupakan perjalanan memenuhi undangan Allah SWT untuk mengunjungi Baitullah. Oleh sebab itulah, ungkapan berikut sentiasa diulang-ulang oleh jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia:

“Aku menyahut panggilan-Mu, ya Allah. Aku menyahut panggilan Mu. Aku menyahut panggilan-Mu; tiada sekutu bagi-Mu. Aku menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian, kenikmatan dan kerajaan adalah milik-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu”.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Bagi menyempurnakan ibadah yang agung ini, bakal haji perlulah menyediakan segala keperluan yang diperlukan, antaranya:

Pertama: Persiapan ilmu. Seorang bakal haji hendaklah sentiasa belajar dan mengulang kaji cara dan kaedah melaksanakan ibadah ini serta hal-hal yang berkaitan dengannya meliputi rukun-rukun haji, wajib haji dan syarat-syaratnya, serta larangan-larangan ketika ihram, begitu juga memahami cara melakukan solat jamak dan qasar ketika bermusafir.

Jangan pergi dalam keadaan jahil dengan menganggap ibadah tersebut mudah. Jangan berfikir untuk meniru orang lain sahaja dalam melaksanakan ibadah ini kerana ibadah tersebut melibatkan pelbagai kaedah yang berbeza antara kita dengan orang lain.

Walaupun tinggal di penempatan yang sama, jemaah haji mungkin mengerjakan haji yang berbeza sama ada haji Ifrad, Tamattu’ atau Qiran. Oleh itu, setiap individu perlu mengetahui perjalanan hajinya sendiri dengan ilmu yang dipelajari dalam kursus-kursus dan latihan-latihan yang pernah dihadiri.

Kedua: Persiapan harta untuk perbelanjaan di Tanah Haram, tambang perjalanan yang mencukupi untuk pergi dan balik, serta bekalan untuk perbelanjaan harian ahli keluarga dan tanggungannya sepeninggalannya mengerjakan haji di Tanah Suci.

Ketiga: Persiapan fizikal. Selain dari harta, ibadah haji juga melibatkan aktiviti fizikal yang banyak seperti tawaf, saie dan melontar jamrah. Oleh hal yang demikian, penjagaan kesihatan sangat diperlukan. Ada baiknya sebelum berangkat, bakal haji melatih dirinya dengan aktiviti berjalan kaki jarak dekat mahupun jarak jauh agar tubuhnya tidak terkejut dengan aktiviti fizikal di sana.

Keempat: Persiapan rohani. Inilah persiapan paling utama kerana perjalanan jauh menunaikan haji adalah untuk beribadah kepada Allah dengan mengikhlaskan niat berbekalkan taqwa kepada Allah. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 197:

“(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh hal yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh menggauli isteri, tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Apa jua kebaikan yang kamu kerjakan tetaplah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).”

Sidang Jumaat yang budiman,

Jemaah haji juga hendaklah bertaubat dari segala dosa yang pernah dilakukannya. Hal ini demikian kerana, selain memenuhi tuntutan Rukun Iman, matlamat mengerjakan haji adalah untuk mendapat keampunan daripada Allah SWT.

Ada baiknya bakal haji mendapatkan kemaafan daripada rakan taulannya sebelum berangkat ke Tanah Suci. Semoga apabila kembali nanti, kita akan bersih daripada segala kesalahan antara kita dengan Allah dan sesama manusia. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang mengerjakan haji dalam keadaan dia tidak menggauli isterinya dan tidak melakukan maksiat, maka dia kembali seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya (tiada lagi dosa padanya).” (Hadis Riwayat Bukhari)

Para tetamu Allah juga hendaklah membiasakan diri dengan ibadah-ibadah sunat seperti Qiamullail dan memperbanyakkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran selain daripada ibadah wajib yang semestinya dilaksanakan. Kehadirannya di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi nanti perlu dipenuhi dengan pelbagai amal ibadah lantaran ganjaran amalan di situ digandakan oleh Allah SWT.

Para tetamu Allah juga perlu meningkatkan sifat sabar kerana perjalanan ibadah hajinya nanti akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan, sama ada fizikal mahupun mental. Perhimpunan haji yang melibatkan jutaan manusia itu tentunya mengandungi pelbagai ragam yang menuntut kesabaran setiap individu yang hadir di sana.
Sidang Jumaat yang berbahagia,

Sayangnya, masih ramai yang belum berpeluang mengerjakan ibadah haji meski sudah berkemampuan mengikut hukum Syarak. Begitu pun, elok sahaja kita membuat persediaan awal, termasuklah mencukupkan simpanan untuk mengerjakan haji.

Bagi yang belum berkemampuan, usahakanlah diri untuk memenuhi kemampuan kerana haji merupakan ibadah yang mensyaratkan kemampuan bagi setiap umat Islam yang ingin mengerjakannya. Sebagai memenuhi Rukun Islam yang kelima, umat Islam di Malaysia hendaklah mendaftarkan diri dengan Lembaga Tabung Haji (TH) dan berdoa kepada Allah SWT agar mendapat peluang untuk mendapat giliran menunaikan haji.

Saidina Ali RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Orang yang mempunyai kemampuan (harta) dan kenderaan yang boleh digunakannya untuk melaksanakan ibadat haji ke Baitullah tapi dia tidak melaksanakannya, maka jangan menyesal kalau dia mati dalam keadaan Yahudi atau Nasrani.” (Hadis Riwayat Tarmizi)

Sebagai panduan, umat Islam di Malaysia yang ingin mendaftarkan giliran mengerjakan haji di cawangan TH yang berdekatan hendaklah mempunyai akaun TH yang aktif dengan jumlah simpanan minimum RM 1,300 (Ringgit Malaysia Seribu Tiga Ratus). Mereka yang belum mempunyai akaun TH boleh membuka akaun TH di cawangan TH yang terdekat pada waktu pejabat dengan bayaran minimum RM 10 (Ringgit Malaysia Sepuluh). Jika ada wang mencukupi untuk mendapatkan giliran mengerjakan haji, itu lebih baik.

Setelah pendaftaran giliran mengerjakan haji, dan sehingga sampai giliran mengerjakan haji, simpanan haji hendaklah mencukupi dengan mengambil kira yuran haji kali pertama sebanyak RM 9,980 (Ringgit Malaysia Sembilan Ribu Sembilan Ratus Lapan Puluh), belanja kerana kehendak ibadah haji atau keperluan lain sepanjang perjalanan pergi dan balik serta sepanjang berada di Tanah Suci, serta belanja untuk keluarga dan waris yang ditinggalkan sepanjang melakukan ibadah haji.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Mengakhiri khutbah, marilah kita renungi intipati-intipati penting sebagai pedoman dalam kehidupan kita.

Pertama: Umat Islam hendaklah meyakini bahawa ibadah haji adalah rukun Islam yang wajib ditunaikan sebagai memenuhi tuntutan akidah Islam yang kita anuti.

Kedua: Umat Islam hendaklah berazam dan berniat untuk menunaikan ibadah fardhu haji supaya kematiannya kelak dalam keadaan telah berazam atau telah menyempurnakan rukun Islam.

Ketiga: Umat Islam hendaklah melengkapkan ilmu semua ibadah yang dilakukan supaya ibadah yang dilakukan itu bertepatan dengan syariat Allah SWT.

Keempat: Umat Islam hendaklah menghayati falsafah haji yang merupakan perhimpunan tahunan terbesar umat Islam sebagai lambang dan wadah perpaduan dan penyatuan ummah yang berpaksikan kesatuan akidah dan ibadah kepada Allah Yang Maha Esa.

“...dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke rumah Tuhanmu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Surah al-Haj, ayat 27)

Jumaat, 20 Julai 2018.
Masjid al-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.
Khutbah sumbangan Jabatan Agama Islam Selangor dengan suntingan dan tambahan.

Comments