Menjaga Agama dengan Nilai-nilai Murni


"Pendidikan bertujuan untuk melahirkan manusia yang mampu menterjemahkan prinsip Rahmatan lil-Alamin. Hakikatnya, tugas untuk menterjemahkan makna Rahmatan lil-Alamin bukanlah tugas orang lain, tetapi tugas diri kita sendiri."

Yang Berusaha guru-guru, sahabat-sahabat rapat yang saya cintai, saudara dan saudari, termasuklah mereka yang mengikuti siaran langsung perkongsian saya menerusi Instagram:

Sengaja saya menyiarkan perkongsian saya secara langsung menerusi Instagram kerana saya percaya, ada orang yang tidak bersama kita di sini mahu turut serta mendengarnya, baik pada saat ini mahupun untuk 24 jam yang berikutnya. Semoga bermanfaat, jikalau bukan semua, cukuplah sebahagian.

Cabaran ICT pada Zaman Kebelakangan

Saya mulakan dengan memberitahu kenapa saya gemar bercakap laju. Sebabnya kesan daripada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Pada sekitar tahun 2006 dan 2007, telefon bimbit yang saya pakai masih berjenis telefon lipat. Kelajuan Internet yang ada pada ketika itu pun setakat apa yang ada sahaja, yakni GPRS dan EDGE, kemudiannya 3G, dan baru sekarang ada 4G; pada masa yang akan datang kita akan berjumpa dengan 5G pula.

Oleh kerana kelajuan Internet ketika itu hanya setakat yang ada, pengguna-pengguna telefon bimbit ketika itu tidaklah mengalami penggunaannya seperti mana yang kita alami pada masa kini. Mereka dahulu hanya boleh menghantar SMS dan membuat panggilan terus yang memakan kos yang agak tinggi; kredit telefon cepat habis. Saya tidak berapa aktif menggunakan telefon bimbit pada waktu itu.

Saya hanya aktif menggunakan telefon bimbit setelah mengamalkan hubungan diplomatik dua hala dan pelbagai hala dengan sekolah-sekolah. Jikalau saya diminta untuk bercerita tentang kesemua 8 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) yang ada di Sabah, waktu itu, saya boleh bercerita. Tetapi, saya tidak dapat bercerita mengenai SMKA Keningau kerana sekolah tersebut hanya wujud pada tahun 2013.

Pendidikan Islam di Sabah sebagai Suatu Rahmat

Begitu pun, saya harus beritahu, betapa Allah merahmati Sabah dengan akses kepada pendidikan Islam yang semakin hari, semakin meluas. Walaupun Sabah hanya ada 2 buah Sekolah Berasrama Penuh, Sabah mempunyai 9 buah SMKA dan yang terbanyak di Malaysia.

Tidak mustahil, pada masa yang akan datang, sebuah lagi SMKA atau SBP Integrasi (SBPI) akan diwujudkan. Jika benarlah sebuah SBPI lagi diwujudkan di Sabah seperti perancangan asal, sekolah tersebut akan direkabentuk mengikut acuan SMKA tetapi dengan status SBP, yang sesungguhnya akan membolehkannya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan SBP yang lain di seluruh Malaysia.

Tadi, saya bercerita tentang ICT yang semakin berkembang dalam tempoh yang cukup seketika, yang sesungguhnya kita boleh manfaatkan untuk pelbagai perkara, termasuklah untuk mengembangkan agama. Mutakhir ini, orang kita bercerita tentang Maqasid Syariah, yakni tujuan perundangan Islam dilaksanakan.

Tujuan Syariah untuk Menjaga Agama

Sebetulnya, Maqasid Syariah ada lima, tetapi saya memilih untuk menerangkan hanya salah satu daripadanya, yakni Hifz ad-Din (menjaga agama). Agama bermaksud satu cara hidup yang lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan. Agama juga adalah seperti yang Allah kurniakan kepada kita menerusi firman-Nya, “Sesungguhnya agama yang diterima di sisi Allah hanyalah agama Islam.”

Sebelum ini, saya bercerita mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh agama dan cadangan penyelesaiannya yang bersesuaian. Lanjutan daripada itu, saya berpesan: cabaran-cabaran yang menimpa agama, mahu tidak mahu, hendaklah dihadapi dan diselesaikan oleh umat dengan kesabaran dan ketabahan. Saya menyampaikan pesanan ini melihat kepada keadaan orang awam, apabila pendidikan agama mereka biasa-biasa sahaja, mereka akan memberikan reaksi dengan cara yang drastik.

Benar, setiap orang Islam mempunyai tahap pendidikan Islam yang berbeza. Oleh hal yang demikian, cara mereka menghadapi permasalahan yang berkait rapat dengan agama Islam juga berbeza. Begitu pun, tidaklah bermakna kita bersikap terus menghukum kerana tujuan pendidikan bukanlah semata-mata untuk melahirkan manusia yang bersikap terus menghukum.

Pendidikan untuk Rahmatan lil-Alamin

Sebaliknya, pendidikan bertujuan untuk melahirkan manusia yang mampu menterjemahkan prinsip Rahmatan lil-Alamin. Hakikatnya, tugas untuk menterjemahkan makna Rahmatan lil-Alamin bukanlah tugas orang lain, tetapi tugas diri kita sendiri.

Menteri Pendidikan, baru-baru ini, memberikan panduan bagaimana pendidikan boleh menjadi medan untuk merealisasikan makna Rahmatan lil-Alamin. Itulah kegembiraan, kasih sayang dan hormat-menghormati.

Hakikatnya lagi, pendidikan bukan lagi mengenai akademik semata-mata seperti yang difahami oleh orang awam, tetapi mengenai nilai-nilai murni dan budi bahasa yang sesungguhnya datang dari diri kita sendiri. Perkara itu benar-benar berlaku apabila ada dalam kalangan kita yang mencatatkan pencapaian akademik yang biasa-biasa sahaja tetapi mempunyai budi pekerti yang mulia. Akhirnya, Allah kurniakan rezeki kepadanya lebih cepat berbanding yang lain.

Pada zaman pentadbiran Perdana Menteri Malaysia yang kelima dan keenam, Kerajaan telah menyenaraikan 47 nilai murni yang kesemuanya datang dari diri kita sendiri. Begitu pun, tiada apa yang harus dirisaukan.

Meski banyak cabaran dan dugaan di hadapan, adanya nilai-nilai murni tersebut adalah kerana Allah ingin menguji kita bagaimana kita menggunakan nilai-nilai murni tersebut untuk mencapai tujuan Syariah dilaksanakan, terutamanya dalam hal menjaga agama, sesuai dengan firman-Nya, “Sesungguhnya agama yang diterima di sisi Allah hanyalah agama Islam.”

Memilih Pendekatan untuk Menjaga Agama

Firman Allah yang tersebut tidaklah bermakna Allah tidak datangkan agama Islam kepada kita begitu sahaja, tetapi untuk mencapai tujuan akhir kehidupan kita, yakni untuk mencapai keredhaan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Begitu jugalah dengan sifat agama yang datang bersama tiga komponen asasnya, yakni akidah, ibadah dan akhlak.

Saya masih ingat perbualan saya dengan seorang guru baru-baru ini. Saya bertanya kepada diri saya sendiri, apakah pendekatan yang paling bersesuaian untuk kita amalkan bersama. Pada hemat saya, Islam di Malaysia ada tiga pendekatan, yakni Wahabi, Sufi dan Tabligh.

Adanya Wahabi adalah untuk menjaga keaslian ajaran Islam yang dibawakan oleh Rasulullah SAW. Adanya pula Sufi adalah untuk mengajak umat memuji sambil meneladani Rasulullah SAW. Tabligh pula, pada sudut yang lain, bertujuan untuk menggalakkan umat untuk beribadah.

Benar, memang wujud perbezaan sesama ketiga-tiga golongan tersebut. Sayangnya, tidak semua orang mampu menerima dengan baik perbezaan-perbezaan itu semua. Apabila kita masuk ke dalam sesuatu dalam sesuatu golongan, golongan tersebut akan meminta, malah memaksa kita untuk memilih hanya satu jalan dan kekal di situ sahaja.

Hakikatnya, Islam itu sifatnya fleksibel dan menyeluruh. Harus kita ingat sabda Rasulullah SAW, “Mereka yang mengucapkan kalimah syahadah akan masuk Syurga.” Tidak salah memilih mana-mana jalan selagi mana jalan tersebut tidak bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah.

Kesimpulannya, salah satu daripada Maqasid Syariah ialah untuk menjaga agama. Salah satu daripada caranya pula ialah dengan mengamalkan nilai-nilai murni selari dengan apa yang diajarkan kepada kita di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Semoga apa-apa yang saya sampaikan pada waktu ini memberi manfaat. Sampaikanlah pula kepada orang lain untuk manfaat bersama.

Sabtu, 21 Julai 2018
Surau Nurul Yaqin, IPGM Kampus Kent, Tuaran, Sabah

--------

Note: The speech written here does not reflect the writer's exact words, but includes all main points of speech delivered on the time of delivery.

Comments