Ramadhan yang Luar Biasa


Ramadhan kali ini sangat berbeza dengan Ramadhan yang terdahulu. Hal ini demikian bukanlah kerana negara berada di bawah pentadbiran baru dan kemudiannya merasai dasar dan halatuju baru, tetapi kerana pemikiran dan tingkah laku sebilangan rakyat, baik di alam maya mahupun alam nyata, yang menjejaskan suasana Ramadhan yang diimpikan.

Sesungguhnya Ramadhan hanya datang setahun sekali. Datangnya Ramadhan bukan sahaja dengan kewajipan untuk berpuasa dan menunaikan zakat fitrah, tetapi juga dengan ganjaran berlipat kali ganda daripada Allah SWT hasil daripada amalan fardu dan sunat yang dikerjakan. Oleh sebab itu, tanggapan kepada Ramadhan menjangkaui tanggapan asalnya sebagai bulan puasa dan bulan zakat.

Selain daripada menjadi bulan meraih pahala berganda, Ramadhan disebut sebagai bulan yang sarat dengan kasih sayang Allah SWT. Apakan tidak, satu amalan fardhu diberi ganjaran berlipat kali ganda; satu amalan sunat pula diberi ganjaran menyamai satu amalan fardhu. Di samping beramal ibadah untuk manfaat diri sendiri, kita juga digalakkan beramal ibadah untuk manfaat orang lain.

Relevannya zakat bukan sahaja untuk melaksanakan pembersihan jiwa dan harta serta melengkapkan ibadah puasa, tetapi juga untuk menterjemahkan ingatan dan sokongan kita terhadap mereka yang memerlukan dengan menghulurkan bantuan berupa wang ringgit dan barangan keperluan. Begitulah juga halnya dengan sedekah. Beza zakat dan sedekah hanyalah hukumnya yang wajib dan sunat serta ketentuannya yang sabit dan tidak sabit.

Maka, tidak hairanlah, ada dalam kalangan kita, terutamanya golongan berada, yang menyumbang wang dan tenaga untuk menganjurkan majlis bersahur dan berbuka puasa serta majlis menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di masjid, surau dan dewan keramaian. Sebabnya sudah terang lagi bersuluh, pahala puasa pemberi makan ditambah dengan pahala puasa orang yang menerimanya.

Begitu pun, mustahaknya bulan Ramadhan dalam kehidupan umat Islam ialah objektif asal kedatangan Ramadhan, yakni untuk menyemai dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dalam diri masing-masing. Hakikatnya, ibadah puasa bukanlah tentang mengelakkan diri dari makan dan minum, tetapi juga menjauhkan diri dari apa jua yang menjejaskan pahala puasa mahupun membatalkan puasa.

Yang kita bimbangi, dalam mengharungi Ramadhan kali ini, ialah perkara-perkara sedemikian yang kelihatan semakin berleluasa, terutamanya di alam maya. Cara mereka melakukan itu semua seolah-olah negara dan rakyat jauh dari rahmat Ramadhan yang sepatutnya dirasai oleh semua.

Perbezaan pandangan yang sepatutnya menjadi rahmat, dianggap satu kesalahan yang tidak dapat dimaafkan. Kerana benci terhadap seseorang atau segolongan yang tak bertepi, keji-mengeji dan caci-mencaci masih berlangsung di sana dan sini. Suara dan perlakuan sumbang yang menggugat agama dan negara masih kedengaran dan kelihatan. Lebih malang lagi, ada yang mendoakan keburukan terhadap seseorang atau segolongan yang lain.

Mungkin mereka terlupa bahawa bulan Ramadhan seharusnya yang digandakan itu kebaikan, bukannya keburukan. Mungkin juga mereka terleka akan kemungkaran yang sesungguhnya jauh sekali dari keredhaan. Hakikatnya, bulan Ramadhan bukanlah pentas bagi segala yang negatif. Apalah erti kehadiran Ramadhan kepada kita jika kehadirannya dimanfaatkan semata-mata untuk keburukan dan bukannya untuk kebaikan?

Tidak salah bagi kita untuk meneruskan kehidupan di alam maya dan alam nyata seperti biasa. Tetapi, bukanlah bermakna kita tidak dapat mengubah diri kita ke arah yang lebih baik, apatah lagi untuk membawa diri kita ke belakang. Adanya Ramadhan dalam kehidupan kita membolehkan kita menjadi insan yang memiliki keimanan dan ketaqwaan yang lebih baik daripada sebelumnya, berguna kepada diri sendiri dan orang-orang lain di persekitaran.

Oleh hal yang demikian, di samping kita diwajibkan berpuasa dan menunaikan zakat fitrah, kita digalakkan mendirikan solat malam, memperbanyakkan zikir dan doa, bersedekah, membaca al-Quran, mendengar mahupun menyampaikan tazkirah serta mengunjungi hospital dan rumah-rumah kebajikan.

Di samping itu, kita juga disarankan untuk terus mengeratkan silaturrahim sesama ahli keluarga dan sanak saudara serta menyemarakkan lagi ukhuwwah sesama sahabat handai serta sekalian masyarakat yang lain. Paling tidak, untuk menjauhkan diri dari segala perkara yang menjejaskan mahupun membatalkan puasa.

Ramadhan, walaupun dianggap penghulu segala bulan, mempunyai sifat yang sama dengan 11 bulan Hijri yang lain: datang pada waktunya dan pergi pada waktunya. Tetapi, Ramadhan bukanlah untuk dibiarkan begitu sahaja, apatah lagi ketika Allah SWT menawarkan kepada kita Lailatul Qadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan, di samping tawaran-tawaran lain yang dinyatakan dalam al-Quran dan as-Sunnah, yang semuanya luar biasa. Semua itu menjadikan Ramadhan sebuah bulan yang luar biasa.

Selagi adanya Ramadhan bersama kita, selagi itulah kita tekun pada amal ibadah dan khidmat bakti sehabis baik di samping bersungguh-sungguh mencapai cita-cita yang ingin dicapai di penghujung Ramadhan. Pada masa yang sama, kita pastikan bahawa negara dan rakyat berada dalam keadaan yang lebih baik setelah habisnya Ramadhan, sesuai dengan aspirasi dini bahawa “negeri ini baik, Tuhan Maha Pengampun”.

Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadah dan khidmat bakti kita di sepanjang bulan Ramadhan, mengganjarinya dengan pahala berlipat kali ganda dan luar biasa, sekaligus menjadikan kita ahli syurga dan bukannya ahli neraka. Semoga Allah SWT sempatkan kita untuk bertemu dalam Ramadhan yang berikutnya setelah berlalunya Ramadhan kali ini.

Comments

  1. Betul tu Muiz, sepatutnya masyarakat Islam tidak perlu banyak menceritakan kelemahan/keburukan orang lain tetapi memperbanyakkan amal soleh. Yang paling menyedihkan, ada komentar yang menasihati mereka ditambah dengan dalil Al Quran pun, masih ada yang buat tidak kisah, malah menokok tambah pula dengan komen2 negatif. Kita doakan agar perkara2 seperti ini dapat dihentikan lebih2 lagi di bulan mulia ini.

    ReplyDelete

Post a Comment