Aidilfitri, Syawal dan Masalah Sosial


"Malaysia Baru ialah Malaysia yang umat Islamnya lebih tinggi iman dan taqwanya."

Yang Berusaha guru-guru, sahabat-sahabat rapat yang saya cintai, adik-adik IPG, Ketua Pelajar dan semua pemimpin pelajar, saudara dan saudari:

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Mohon maaf zahir dan batin. Walaupun bukan lagi pada 1 Syawal, saya masih ingin mengucapkan salam sebegitu rupa. Terima kasih banyak-banyak kepada yang telah sudi datang ke rumah, terutamanya Alumni SMESH, SPM 2016. Pada ketika saya tidak menerima seorang pun rakan satu sekolah atau universiti atau rakan sekerja di rumah, saya gembira sekali menerima mereka semua. 

Tiada salahnya meneruskan tradisi Hari Raya Aidilfitri pada sepanjang bulan Syawal. Begitu pun, Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah sehari. Hal ini demikian kerana, Takbir Hari Raya Aidilfitri hanya dilaungkan selama sehari, bukannya empat hari seperti pada Hari Raya Aidiladha dan tiga Hari Tasyrik, bukan juga sebulan. Selepas itu, umat Islam digalakkan berpuasa selama enam hari dalam bulan Syawal

Tidak salah juga bagi kita untuk meneruskan kegembiraan Hari Raya Aidilfitri sepanjang bulan Syawal. Malang sekali, ada segelintir orang, terutamanya di media sosial, yang berpaling dari tujuan asal Hari Raya Aidilfitri dan Syawal, yakni untuk kembali kepada fitrah. Golongan ini bukan sahaja tidak merasai rahmat Ramadhan yang sebenarnya, tetapi juga menyalahgunakan Syawal dengan kebebasan yang tidak bersempadan.

Golongan ini membawa fahaman liberalisme, yakni fahaman yang meletakkan kebebasan yang tidak bersempadan selagi tidak mengganggu orang lain. Fahaman liberalisme diterima oleh masyarakat Barat, tetapi tidak diterima oleh masyarakat Timur kerana, bagi mereka, setiap kebebasan tetap ada hadnya. Pandangan tersebut lebih jelas di sisi Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah.

Golongan ini, sejak berlalunya bulan Ramadhan, telah melakukan sekurang-kurangnya tiga perkara yang merosakkan masyarakat, terutamanya umat Islam, di media sosial, khususnya Twitter. Berlalu sahaja 1 Syawal, ada dalam kalangan mereka yang menghebahkan sumbang mahram dan zina sesama ahli keluarga dan sanak saudara. Malang sekali, sumbang mahram dan zina bukanlah sebahagian daripada fitrah yang sebenarnya.

Pada masa yang hampir sama, datanglah golongan yang berbangga untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sebagai seorang yang bukan sahaja murtad, tetapi juga menjadi ateis. Atas nama kebebasan, mereka memilih untuk mempercayai Teori Darwin mengenai penciptaan manusia yang sesungguhnya menyimpang daripada hakikat penciptaan manusia yang diterangkan dengan sebenar-benarnya dalam al-Quran.

Lebih teruk dari itu, datang pula golongan yang mempersendakan dan mengolok Allah dan malaikat dengan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya. Perkara tersebut menampakkan golongan tersebut sangatlah jauh dari ajaran Islam yang sebenar; mungkin juga sengaja menepikan diri dari Islam. Mereka hanya berfikir untuk kehidupan di dunia tanpa menyedari, malah memikirkan kehidupan berikutnya di alam akhirat.

Berdasarkan senario-senario berikut, jelaslah dan tepatlah kebimbangan yang saya lontarkan ketika bulan Ramadhan masih menjengah. Lebih membimbangkan, rahmat Ramadhan yang cuba dilarikan oleh golongan sedemikian dilaratkan ke bulan Syawal, seolah-olah bulan Syawal menjadi bulan untuk berpaling dari fitrah dan bukannya bulan untuk kembali kepada fitrah.

Bukan ini yang kita mahu lihat di Malaysia Baru. Malaysia Baru ialah Malaysia yang umat Islamnya lebih tinggi iman dan taqwanya. Orang yang tinggi iman dan taqwanya tidak akan terikut-ikut, jauh sekali dari melakukan senario-senario sedemikian.

Oleh hal yang demikian, betapa pentingnya kita – sebagai umat Islam – untuk meninggikan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah, ikuti segala ajaran yang terkandung di dalam kedua-duanya. Sampaikan kepada orang-orang sekeliling apa-apa yang benar dan yang salah di sisi kedua-duanya.

Semua itu bukan sahaja untuk kebaikan diri sendiri, tetapi juga untuk kebaikan orang lain. Kelak yang akan mendapat kesan baik dari pekara-perkara tersebut ialah masyarakat dan tamadun. Hal ini demikian kerana, kita hidup bukan sahaja untuk manfaat diri sendiri, tetapi juga untuk manfaat bersama.

Kesimpulannya, amatlah penting bagi kita untuk membendung masalah-masalah sosial yang sedemikian, lebih-lebih lagi pada bulan Syawal, bulan untuk umat Islam kembali kepada fitrah setelah sebulan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Malaysia Baru bukanlah Malaysia yang melawan fitrah, tetapi Malaysia yang selari dengan fitrah yang sepatutnya.

"Apabila hilangnya keimanan, maka hilanglah juga keamanan. Tiadalah juga dunia bagi mereka yang hidup tanpa agama. Barangsiapa yang rela dengan kehidupan tidak beragama, sesungguhnya dia telah menjadikan kebinasaan teman sejati kehidupannya." (Muhammad Iqbal)

Jumaat, 29 Jun 2018
Surau Nurul Yaqin, IPGM Kampus Kent, Tuaran, Sabah

-------

Note: The speech written here does not reflect the writer's exact words, but includes all main points of speech delivered on the time of delivery.

Comments