Pilihan Raya Umum ke-14


Alhamdulillah. Negara baru sahaja selesai Pilihan Raya Umum ke-14. Proses pemilihan wakil rakyat serta barisan kepimpinan di peringkat negeri dan Persekutuan telah berjalan dengan lancar dan aman, adil dan saksama. Rakyat telah menyatakan aspirasi mereka menerusi peti undi, lambang kepada sistem demokrasi.

Kita ucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada calon yang terpilih untuk menjadi wakil rakyat dan parti yang terpilih untuk membentuk kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan. Kita berikan mandat kepada mereka untuk mewakili dan menerajui rakyat, menunaikan segala janji serta melaksanakan segala tawaran yang disediakan kepada rakyat.

Kepada calon dan parti yang sebaliknya, tahniah juga kita ucapkan kerana telah melakukan dan memberikan yang terbaik kepada para pengundi. Benar, tidak semua orang gembira dengan apa yang berlaku. Walaupun begitu, sama-samalah kita menerimanya dengan tangan, minda dan jiwa yang terbuka. Berusaha lagi dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang, empat atau lima tahun dari sekarang, InsyaAllah.

Sampai bertemu dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang, dan sampai bila-bila pun, kita teruskan kehidupan harian kita seperti biasa. Perpaduan, persahabatan dan persaudaraan sesama kita harus terus dipupuk dan dipertahankan demi memastikan keamanan dan kemakmuran negara terus terpelihara. Tiada sebab untuk kita terus menyebarkan kebencian, apatah lagi untuk menyemarakkan perbalahan sesama sendiri. 

Hakikatnya, walaupun berbeza kepercayaan, fahaman dan parti politik, kita tetap berada dalam saf yang sama: itulah saf Malaysia. Pendidikan kita, kerjaya kita, malah seisi kehidupan kita, semuanya kita lakukan kerana Allah, untuk Malaysia tercinta.

Sebagai hamba Allah dan warga negara Malaysia, di samping redha dengan qada dan qadar Allah, kita kekalkan taat setia kita semata-mata kepada negara. Pada masa yang sama, marilah kita berdoa dan berharap, siapa pun yang menerajui dan mewakili kita, semoga Allah kekalkan keamanan dan kemakmuran untuk kita dan tanah air kita.

Photo courtesy of Cesran International

Comments