Pengistilahan Panggilan Hormat Bahasa Melayu dalam Bahasa Arab


Panggilan hormat merupakan salah satu komponen terpenting dalam pengurusan istiadat dan protokol. Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri serta Bahagian Istiadat dan Protokol Negeri bertanggungjawab terhadap panggilan hormat orang-orang kenamaan masing-masing di peringkat kebangsaan dan negeri.

Namun begitu, panggilan hormat hanya disediakan dan diguna pakai dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Hal ini demikian kerana, penggunaan bahasa Arab dalam urusan serta majlis rasmi kerajaan amatlah jarang. Seperti yang semua sedia maklum, bahasa Arab hanya dipakai dalam majlis rasmi yang tertentu sahaja, seperti sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam dan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa.

Artikel ini bertujuan untuk memperkenalkan panggilan hormat dalam bahasa Arab yang digunakan secara meluas di negara-negara Arab dan menyesuaikannya dengan keadaan Malaysia. Artikel ini, walau bagaimanapun, tidak bertujuan untuk mengambil alih bidang kuasa Institut Terjemahan dan Buku Malaysia serta Dewan Bahasa dan Pustaka terhadap perkara ini.

Semua sedia maklum bahawa Malaysia mempunyai banyak panggilan hormat. Yang lazim kita dengar hanyalah “Yang Berhormat”, “Yang Berbahagia”, “Yang Berusaha” dan “Yang Dihormati”. Malaysia berbeza dengan kebanyakan negara di dunia yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan utama, tetapi lebih kurang sama dengan negara-negara Arab.

Negara-negara Arab mempunyai sekurang-kurangnya 11 jenis panggilan hormat. Selanjutnya, setiap panggilan hormat dalam bahasa Arab disesuaikan dengan bahasa Melayu dan keadaan Malaysia (dan mungkin juga negara-negara Nusantara seperti Brunei, Indonesia dan Singapura).

PERTAMA: as-Sayyid (السيد) atau as-Sayyidah (السيدة). Kedua-dua gelaran tersebut membawa maksud “Tuan/Encik” dan “Puan” dan sesuai dengan orang kebanyakan. Wanita yang belum berkahwin, bagaimanapun, membawa gelaran yang berbeza, iaitu gelaran al-Aanisah (الآنسة).

Mereka yang berumur antara 7 dan 21 tahun dan masih berada bangku sekolah dan menara gading tidak dilayakkan gelaran-gelaran berikut. Sebaliknya, mereka hanya layak diberi gelaran at-Talib (الطالب) atau at-Talibah (الطالبة). Mereka yang berumur kurang daripada 7 tahun pula tidak memegang apa-apa gelaran kehormatan.

KEDUA: Hadrat (حضرة) yang bermaksud beramai-ramai. Walaupun negara-negara Arab berbeza cara pemakaian gelaran ini, negara-negara Arab bersepakat bahawa gelaran ini boleh dipakai oleh seseorang yang dihormati dan disanjung kerana keperibadian yang tinggi. Dalam konteks Malaysia, gelaran ini setaraf dengan gelaran “Yang Dihormati” atau “Yang Berusaha”, tertakluk kepada keadaan majlis itu sendiri.

KETIGA: Fadhilah (فضيلة) atau al-Fadhil (الفاضل) yang membawa maksud seseorang yang mempunyai kelebihan. Gelaran al-Fadhil setaraf dengan “Yang Berbahagia”, tetapi dikhususkan hanya untuk Ustaz, Imam Masjid dan Surau, Syeikh serta Habib sahaja. Ustazah tidak disesuaikan dengan al-Fadhil, tetapi sebaliknya disesuaikan dengan gelaran Fadhilah.

Kadi Besar dan Kadi turut diperuntukkan gelaran serupa, tetapi dengan cara yang berbeza, yakni Sahibul Fadhilah (صاحب الفضيلة). Tetapi, harus diingat bahawa Kadi Besar dan Kadi di Malaysia bermaksud seorang Pegawai Hal Ehwal Islam yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran Syariah di peringkat negeri dan daerah, bukannya Hakim Mahkamah Syariah, dan bukan juga jurunikah yang melaksanakan akad nikah.

Namun begitu, gelaran Fadhilah dilayakkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Majistret, Hakim Mahkamah Rendah Syariah serta Hakim mahkamah atau tribunal yang ditubuhkan di luar sistem kehakiman biasa dan sistem kehakiman syariah.

Gelaran Sahibul Fadhilah turut diperuntukkan kepada Timbalan Mufti Kerajaan Negeri serta Imam Besar Masjid Negeri. Walau bagaimanapun, peruntukan gelaran tersebut tertakluk kepada keputusan rasmi serta amalan lazim kerajaan negeri yang berkaitan.

KEEMPAT: Samahah (سماحة) yang bermaksud yang memudahkan. Hanya Mufti Kerajaan Negeri serta Mufti Wilayah Persekutuan yang layak menggunakan gelaran ini dengan sedikit perbezaan, iaitu Sahibus Samahah (صاحب السماخة). Walau bagaimanapun, peruntukan gelaran tersebut untuk orang-orang kenamaan selain Mufti tertakluk kepada keputusan rasmi serta amalan lazim kerajaan negeri yang berkaitan serta Kerajaan Persekutuan.

KELIMA: Saadah (سعادة) yang membawa maksud “Yang Berbahagia”. Dalam konteks Malaysia, gelaran ini dikurniakan kepada pembawa darjah kebesaran yang bergelar Datuk dan Tan Sri atau setaraf. Gelaran ini juga turut dikurniakan kepada ketua jabatan serta pegawai kanan persekutuan dan negeri, Setiausaha Politik, pengetua dan guru besar sekolah, dan pengarah institusi pendidikan tinggi.

Dalam konteks negara-negara Arab pula, gelaran tersebut disematkan pada Duta Besar, Pesuruhjaya Tinggi serta Wakil Tetap organisasi antarabangsa (yang bergelar “Tuan Yang Terutama”) dan Ahli Parlimen (yang bergelar “Yang Berhormat”) (dan termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri di Malaysia).

KEENAM: Utuufah (عطوفة) yang bermaksud orang baik. Gelaran ini setaraf dengan gelaran “Yang Berbahagia” tetapi hanya sesuai untuk Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian atau setaraf, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri, Peguam Besar Negeri Sabah dan Sarawak serta Setiausaha Tetap Kementerian Sabah dan Sarawak. Gelaran ini juga disesuaikan kepada Naib Canselor dan Rektor Universiti, Residen Bahagian di Sarawak, Pegawai Daerah serta Yang di-Pertua Pihak Berkuasa Tempatan.

KETUJUH: Ma’aali (معالي) yang membawa maksud yang ditinggikan. Gelaran ini setaraf dengan gelaran “Yang Berhormat”. Asalnya, gelaran ini diberikan kepada Menteri sahaja. Tetapi, keadaan Malaysia membolehkannya digunakan oleh Timbalan Menteri, Menteri Negeri Sabah dan Sarawak, Menteri Muda di Sarawak, Pembantu Menteri di Sabah, serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri lain.

Gelaran ini turut disesuaikan kepada Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya Kehakiman walaupun membawa gelaran “Yang Arif”, termasuklah Hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. Begitulah juga dengan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri (yang bergelar “Yang Amat Berhormat” dalam bahasa Melayu).

KELAPAN: Daulah (دولة) yang bermaksud negara. Istilah yang lebih tepat bagi menunjukkan pemilikan seseorang rakyat terhadap sesebuah negara ialah Sahibul Daulah (صاحب الدولة) yang setaraf dengan “Yang Amat Berhormat”. Gelaran ini dikhususkan kepada Perdana Menteri sahaja. Dalam keadaan yang mengizinkan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara (atau setaraf) dilayakkan menggunakan gelaran ini (walaupun hanya dipanggil “Yang Berhormat” sahaja dalam bahasa Melayu).

KESEMBILAN: Fakhamah (فخامة) atau Sahibul Fakhamah (صاحب الفخامة) yang bermaksud “Tuan Yang Terutama”. Gelaran tersebut lazimnya diberikan kepada presiden negara. Namun, dalam konteks Malaysia, gelaran ini dikurniakan kepada Yang di-Pertua negeri-negeri tidak beraja.

KESEPULUH: Samu (سمو) yang bermaksud “Yang Mulia”. Gelaran Samu (secara bersendiri) dikurniakan kepada orang kebanyakan yang mempunyai gelaran diraja serta kerabat diraja yang bukan karib (seperti Tengku dan Tunku). Gelaran Sahibus Samu (صاحب السمو), yang bermaksud “Yang Amat Mulia” pula dikurniakan kepada kerabat diraja yang karib.

Gelaran Sahibus Samu al-Malaki (صاحب السمو الملكي) pula dikurniakan kepada bakal raja pemerintah serta Undang Yang Empat di Negeri Sembilan (termasuklah Tunku Besar Tampin), sesuai dengan sifat gelaran itu yang setaraf dengan gelaran “Yang Teramat Mulia”, “Duli Yang Teramat Mulia” atau “Duli Yang Amat Mulia”.

KESEBELAS dan yang terakhir adalah Jalaalah (جلالة) atau Sahibul Jalaalah (صاحب الجلالة) yang bermaksud “Duli Yang Maha Mulia”. Gelaran ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk Yang di-Pertuan Agong serta raja pemerintah negeri. Dalam keadaan tertentu, raja pemerintah negeri memilih untuk memakai gelaran yang bawah sedikit sebagai meraikan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.

Begitulah cara orang-orang kenamaan yang berkenaan di Malaysia diberi gelaran kehormatan dalam bahasa Arab. Begitu pun, Kerajaan lebih berhak dalam menentukan gelaran yang sewajarnya diberikan kepada orang-orang tertentu dalam bahasa Arab. Hal ini demikian kerana, bahasa Arab, walaupun digunakan dalam kehidupan seharian umat Islam di Malaysia, merupakan bahasa asing di Malaysia.

Comments