Mensyukuri Nikmat Keamanan Menerusi Tarbiyyah Ramadhan


"Sepatutnya kedatangan Ramadhan perlu dilihat dari kerangka yang lebih luas: apa yang Ramadhan tawarkan kepada kita umat manusia, apakah objektif yang ingin dicapai melalui Ramadhan, dan apakah hikmah pensyariatan puasa di bulan Ramadhan."

Saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, dengan melaksanakan segala suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Beberapa hari lagi, kita akan memasuki bulan Ramadhan yang diwajibkan padanya kita berpuasa. Ramadhan saban tahun menjelang tiba dan berlalu pergi. Mungkin ada dalam kalangan kita yang berfikir bahawa Ramadhan hanyalah tentang puasa atau tentang menahan diri dari segala perbuatan yang membatalkan puasa sahaja. Lebih parah lagi, ada dalam kalangan kita yang sebelum memasuki Ramadhan sudah memikirkan baju raya yang ingin dipakai ketika 1 Syawal nanti. 

Sepatutnya kedatangan Ramadhan perlu dilihat dari kerangka yang lebih luas: apa yang Ramadhan tawarkan kepada kita umat manusia, apakah objektif yang ingin dicapai melalui Ramadhan, dan apakah hikmah pensyariatan puasa di bulan Ramadhan. Inilah sebenarnya tujuan dan matlamat puasa sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 183:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Imam Ibnu Kathir menyebut bahawa firman Allah ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman dari kalangan umat manusia dan ini merupakan perintah untuk melaksanakan ibadah puasa. Imam at-Tabari pula menafsirkan ayat ini: “Wahai orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, yang membenarkan kedua-duanya dan berikrar kepada kedua-duanya”. 

Dua tafsiran ini jelas menunjukkan perkaitan rapat antara ibadah puasa dengan ciri-ciri orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Allah SWT hanya memerintahkan puasa ini kepada mereka yang beriman dan Allah SWT juga hanya menerima ibadah puasa dari jiwa-jiwa mereka yang beriman sahaja.

Sidang jemaah yang dimuliakan Allah,

Demikianlah jelas tujuan pensyariatan ibadah puasa di bulan Ramadhan, iaitu bertaqwa kepada Allah. Sayyid Qutb menyimpulkan dalam tafsirnya bahawa taqwa inilah yang membangkitkan kesedaran dalam hati sehingga mahu menunaikan kewajipan ini. Taqwa inilah yang menjaga hati sehingga tidak rosak puasanya dengan maksiat. Taqwa merupakan puncak ketinggian rohani orang-orang yang beriman, dan puasa ini merupakan salah satu alatnya dan jalan untuk mencapai taqwa.

Justeru, bagi mencapai manifestasi taqwa melalui ibadah puasa, sewajarnya kita melaksanakan prasyarat berikut:

Pertama: Seorang yang berpuasa haruslah meninggalkan apa yang diharamkan (perkara yang membatalkan puasa) serta segala bentuk larangan Allah SWT (perkara-perkara maksiat yang lain). Dia meninggalkan semua perkara ini demi mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mengharapkan redha-Nya. 

Kedua: Seorang yang berpuasa bermaksud individu muslim tersebut sedang melatih jiwanya untuk sentiasa Muraqabatullah (merasakan diri sentiasa diawasi oleh Allah SWT). Dia meninggalkan segala kehendak hawa nafsunya (makan, minum dan segala perkara yang membatalkan puasa) padahal dia mampu untuk melakukannya tanpa diketahui oleh orang lain. 

Ketiga: Ibadah puasa sebenarnya telah menyempitkan pergerakan syaitan dalam tubuh badan manusia melalui saluran darah, bertepatan dengan sebuah hadis sahih, yang mana Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah. Aku khuatir sekiranya syaitan itu menyusupkan kejelekan dalam hati kalian berdua.”

Keempat: Ibadah puasa dapat menambahkan ketaatan kepada Allah SWT. Amal ibadah ditingkatkan, masjid-masjid dipenuhi masyarakat, dihidupkan masjid dengan Qiamullail Jamaie.

Antara ciri ketaqwaan yang diharapkan sempena kedatangan Ramadhan ialah untuk kita hidup bersatu padu, saling bermaafan, hormat-menghormati dan melupakan perselisihan dan persengketaan kebelakangan. Marilah kita rapatkan ukhuwah dan persaudaraan antara kita, seperti mana yang diminta oleh Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 103:

“...dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya”.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Mengakhiri khutbah, marilah kita renungi intipati-intipati penting sebagai pedoman dalam kehidupan kita.

Pertama: Ketaqwaan berjaya membendung segala dosa, maksiat dan salah laku dalam kehidupan manusia.

Kedua: Bulan Ramadhan merupakan bulan untuk melatih diri menjadi hamba Allah SWT yang bertaqwa.

Ketiga: Islam telah berjaya menghapuskan perkara-perkara negatif, bukan sahaja dengan undang-undang yang dikuatkuasakan, tetapi juga jati diri seseorang yang disulami dengan sifat taqwa.

“Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah, dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan untuk hari esok, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hasyr, ayat 18)

Jumaat, 11 Mei 2018.
Masjid al-A'laa, Kampung Lokub, Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.
Khutbah sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan suntingan.

Comments