Menjadi Guru yang Peduli


Jauh di sudut hati, saya hanya ingin menjadi sahabat baik kepada semua, sama ada kepada rakan-rakan guru mahupun adik-adik pelajar. Hal ini demikian kerana, persahabatan dan persaudaraan membolehkan segala kandungan pendidikan, sama ada bersifat objektif dan subjektif, sampai kepada golongan sasar dengan cepat dan mudah.

(sempena Hari Guru 2018)

Saya sedar, saya bukanlah seorang guru yang terbaik kepada semua. Terlalu awal rasanya diri ini untuk diperkatakan demikian oleh kerana masih baru dan hijau di langkah ini. Namun, saya cuba untuk menjadi segalanya, bersedia dan menerima segala kemungkinan, dan menjadi serta memberikan yang terbaik kepada semua. Memang itulah semuanya yang selama ini dituntut ke atas kita.

Hakikatnya, populariti bukanlah keutamaan. Menjadi populis juga bukanlah pilihan. Saya bukanlah ahli politik yang berfikir, berbicara dan bertindak sebagai populis hanya untuk mengejar dan mengekalkan populariti dan undi. Tetapi, menjadi diri sendiri kadangkala membolehkan ada yang menyenangi langsung mendekati, mensahabati serta mempersaudarakan diri ini.

Sesungguhnya, saya lebih selesa untuk menjadi diri sendiri. Jauh di sudut hati, saya hanya ingin menjadi sahabat baik kepada semua, sama ada kepada rakan-rakan guru mahupun adik-adik pelajar. Hal ini demikian kerana, persahabatan dan persaudaraan membolehkan segala kandungan pendidikan, sama ada bersifat objektif dan subjektif, sampai kepada golongan sasar dengan cepat dan mudah.

Begitu pun, kita harus ingat bahawa persahabatan dan persaudaraan bukanlah semata-mata kerana pendidikan dan begitulah juga sebaliknya. Pendidikan dan persahabatan serta persaudaraan, sebenarnya, sentiasa berhubung dan melengkapi antara satu sama lain sesuai dengan keperluan peribadi dan kepentingan komuniti. Kedua-duanya, bahkan, harus dipandang dalam konteks yang lebih luas dan komprehensif dan harus juga dikembalikan kepada tujuan kehidupan, yakni untuk mengekalkan ketinggian nilai keimanan dan ketaqwaan kepada Yang Maha Pencipta.

Sayang sekali, menjadi diri sendiri kadangkala disalah erti dan tidak dapat difahami dengan dihayati dengan minda yang bersih dan jiwa yang suci, malah menjadikan jurang antara guru dan pelajar semakin jauh. Walaupun begitu, saya menerima apa adanya kerana apa yang lebih penting bukan lagi penerimaan dan pengertian, tetapi kesediaan, kesungguhan dan keikhlasan diri ini dan sesiapa jua yang berkongsi saf yang sama untuk sentiasa berada bersama rakan-rakan guru dan adik-adik pelajar walaupun harus berjauhan.

Menyedari kewajipan tersebut, saya mengambil berat setiap apa yang berlaku kepada sesiapa jua di sekeliling. Kadang-kadang saya menelefon, mengirim mesej. Pada waktu lapang, saya mengikuti khabar masing-masing di media sosial. Kadangkala, saya menyatakan respons saya terhadap khabarnya yang terkini.

Pada musim perayaan dan hari kebesaran, saya mengirim ucapan selamat. Ketika menerima berita gembira, saya ucap syukur dan tahniah. Pada keadaan yang sebaliknya, saya berkongsi rasa dukacita dan pesanan dengannya. Saya lazim melakukan itu semua dengan mereka yang bersahabat rapat dengan saya. Begitu pun, perkara itu tidaklah bermakna mereka yang sebaliknya dibiarkan tanpa pemedulian begitu sahaja.

Benar, tidak semua orang selesa dengan cara saya berhubung, perkara yang saya sampaikan, gaya komunikasi saya dan kandungan yang saya letakkan dalam ruangan peribadi saya, termasuklah status terkini yang saya muat naik menerusi WhatsApp dan Instagram. Boleh jadi mereka yang berkenaan berbeza fahaman dan pendapat dengan saya. Rasa tidak senang tersebut amat saya kesali dan saya menghormatinya.

Tetapi, itulah cara diri saya menyatakan sesuatu secara telus dan bertanggungjawab. Itulah juga cara saya berkongsi ibrah dan iktibar atas sesuatu cerita atau peristiwa kepada orang lain secara langsung mahupun sebaliknya.

Sebagai insan yang prihatin, begitulah cara yang saya usahakan sedaya upaya saya. Dalam erti kata yang lain, saya akan terus mengambil berat dan berkongsi selagi dikurniakan kudrat dan iradat. Realitinya, kejayaan negara tidak akan bermakna melainkan jika perpaduan, persahabatan dan persaudaraan rakyat dapat terus diperkukuhkan dan dipertahankan sampai bila-bila.

Saya yakin, begitulah jua yang sedang dan akan para pendidik, rakan sekerja dan rakan guru pelatih akan lakukan, bukanlah untuk memanfaatkan diri sendiri, tetapi untuk melestarikan manfaat bersama yang dikongsi seluruh warga sesebuah institusi. Manfaat bersama, dalam hal ini, bukanlah manfaat berbentuk akademik, penyelidikan dan inovasi dan kokurikulum, tetapi berbentuk pembangunan dan pemantapan sahsiah, kerohanian dan kepimpinan; dan lebih mustahak dari itu, kemenjadian dan kebolehpasaran modal insan Malaysia selaras dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Sempena Hari Guru yang disambut pada 16 Mei, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pelajar yang telah berkongsi satu lapangan dengan saya selama ini; lebih-lebih lagi mereka yang bersahabat rapat dengan saya sampai kini. Sebahagian daripada mereka, di atas wahana persahabatan dan persaudaraan, pernah dan masih berkongsi pandangan dan nasihat yang berguna kepada saya. Saya menghargainya.

Dari kedua-duanya, saya sedari bahawa saya manusia biasa, tidak lari daripada kelemahan dan kekurangan, dan sentiasa memerlukan kepada penambahbaikan. Saya mohon berbanyak kemaafan atas kekurangan dan kelemahan diri ini. Saya berazam untuk memberikan segalanya yang lebih baik kepada semua seperti yang semua harapkan.

Sempena Hari Guru juga, kita ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua guru dan ahli akademik (termasuklah guru pelatih, interim dan ganti) yang pernah dan masih menjadi pendidik kita, bukan sahaja kerana jasa dan bakti kepada diri ini selama ini, tetapi juga atas segala pengabdian kepada agama, bangsa dan negara. Terima kasih saya kepada semua rakan sekerja kerana sudi berkongsi ilmu dan pengalaman keguruan dengan saya sebanyak-banyaknya.

Saya optimis, semangat mereka untuk mencurahkan bakti kepada modal insan Malaysia akan kekal dan tekal dalam setiap diri mereka. InsyaAllah, selama mana masih ada usaha dan doa, kasih sayang-Nya tidak akan pernah berpaling dari mereka, dan kita.

Selamat Hari Guru. Terima kasih, cikgu.

Comments

  1. Jiwa seorang guru...ke mana sahaja dia pergi, biar ribut, badai & gelombang yang dihadapi.....tugasnya sebagai guru tdk akn pernah pudar demi utk mendidik insan yg lain....Selamat Hari Guru Muiz

    ReplyDelete

Post a Comment