Kerana Mencintaimu, Aku Datang


Kerana mencintaimu, aku datang
terbang bersama sang burung besi
melintasi lautan, membelah awan
mengharungi kebiruan dan kehitaman
seribu batu punya perjalanan

Kerana mencintaimu, aku datang
setelah menapak seribu langkah
merentas hutan, kota dan desa
hanya untuk kembali kepada
sahabat yang masih ada cinta dan setia

Kerana mencintaimu, aku datang
memberi segala yang termampu
di pundak, di minda dan di jiwa
walaupun pada suatu ketika
aku sesungguhnya tak punya apa

Kerana mencintaimu, aku datang
tetap untuk bersandar di sisi
meski aku hanya suatu beban
yang tak terpikul pada sang kawan
akhirnya terbuang di tepi jalan

Kerana mencintaimu, aku datang
dan sampai saatnya harus meminta
meninggalkan mimpi dan realiti
bahawa meski aku dibiar benci
aku tetap di sisimu, mencintai

Kerana mencintaimu, aku datang
meski masa tak pernah memuaskan
aku masih ada doa dan rasa
peduli sambil memanjat padaNya
Tuhan, sayangi sahabatku, dia.

Mahallah Uthman, UIAM, Gombak, Selangor
4 Mei 2018

Comments