Usrah dalam Mendepani Revolusi Perindustrian Keempat


Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) bukan lagi asing bagi Malaysia. IR 4.0 menyaksikan lebih banyak kerja yang dilakukan oleh manusia biasa dipermudahkan, bahkan diambilalih, oleh kecanggihan teknologi jarak jauh. Hari ini, dalam erti kata yang lain, kita tidak payah berfikir bagaimana untuk mengoperasikan sesuatu alat, sistem atau rangka kerja secara tempatan kerana semuanya boleh dibuat dari jarak jauh dan dari hujung jari.

Kemajuan ini membuatkan hampir kesemua urusan kita, baik dari segi ekonomi, sosial mahupun politik, tidak lagi dikerahkan sepenuhnya oleh tenaga manusia, tetapi digerakkan oleh keupayaan teknologi yang kita boleh kawal dari hujung jari dan jarak jauh. Perkara ini bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, tetapi juga kepada masyarakat dan negara secara keseluruhannya.

Sesungguhnya pembangunan pesat yang dinikmati negara, mutakhir ini, merupakan salah satu daripada kesan langsung dan tidak langsung yang diterima oleh negara daripada IR 4.0. Perkara ini, sekaligus, menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Namun begitu, kejayaan negara sentiasa bersifat dualisme, tidak bergantung semata-mata kepada pembangunan lahiriah, tetapi juga kepada pembangunan rohaniah.

Hakikatnya, kehebatan sesebuah negara tidak semata-mata diukur menerusi ketinggian menara pencakar langit, kerancakan kegiatan perdagangan dan pelaburan, kecepatan kemudahan pengangkutan awam mahupun kecanggihan teknologi pembuatan dan perindustrian, tetapi juga diukur menerusi kemurnian budi pekerti serta kesucian akal dan hati. Kejayaan negara-negara dunia pertama, yang dunia saksikan ketika ini, bukanlah mengenai kepesatan ekonomi, tetapi juga kemurnian sosial dan kestabilan politik.

Penulis berpendapat sudah sampai masanya kemajuan negara tidak bertumpu kepada pembangunan lahiriah semata-mata, tetapi juga kepada pembangunan rohaniah. Perkara ini bersesuaian dengan hasrat Perdana Menteri untuk menyaksikan rakyat menikmati kejayaan duniawi dan ukhrawi yang seimbang dan saksama. Oleh itu, penulis mencadangkan dua perkara agar negara dapat mendepani IR 4.0 secara rohaniah.

Pertama, pencitraan Usrah di semua peringkat masyarakat. Usrah, buat masa ini, sudah dilaksanakan di sekolah-sekolah menengah Kementerian Pendidikan. Pada masa yang sama, Usrah dibudayakan oleh badan-badan bukan kerajaan yang meletakkan Islam sebagai asasnya. Melihat perkara ini, penulis mencadangkan agar Usrah dipromosikan di peringkat akar umbi dan tidak diterhadkan kepada umat Islam sahaja, tetapi juga penganut agama lain.

Kedua, pembudayaan Usrah oleh akar umbi. Apabila akar umbi memahami tujuan, konsep dan cara kerja Usrah, akar umbi bolehlah menggerakkan Usrah di tempat masing-masing mengikut kekerapan yang bersesuaian, contohnya dua minggu sekali. Tujuannya bukan sahaja untuk mengukuhkan budi bahasa dan nilai murni masyarakat, tetapi juga untuk menghidupkannya di lokaliti masing-masing.

Ketiga, pemberdayaan Usrah di peringkat yang lebih tinggi. Apabila budaya Usrah kuat di peringkat akar umbi, Usrah bolehlah pula melaksanakan sesuatu yang lebih besar di peringkat yang lebih tinggi, seperti peringkat mukim dan daerah. Pemberdayaan Usrah bukan sahaja mempromosikan budi bahasa dan nilai murni kepada sesuatu mukim atau daerah, tetapi juga memberi peluang kepada masyarakat membantu Kerajaan menyelesaikan masalah-masalah sosial di samping menggayakan teras-teras kemasyarakatan di sesuatu mukim atau daerah.

Secara keseluruhannya, Usrah bukanlah tentang pembangunan sahsiah dan kerohanian, tetapi juga pendidikan sepanjang hayat serta pemberdayaan sosial masyarakat di peringkat akar umbi. Negara yang berjaya tidak datang daripada kepesatan ekonomi, tetapi juga kemurnian sosial dan kestabilan politik. Sebagaimana masyarakat diberi peluang menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi, masyarakat harus juga dilibatkan dalam pembangunan sosial dan politik, demi mewujudkan sebuah negara yang hebat di masa hadapan.

Comments