Pemakaian Gelaran "Yang Berhormat"


Musim pilihan raya, yang dikira mulai saat pembubaran badan perundangan sehingga saat keputusan pilihan raya diumumkan, merupakan musim yang sarat dengan polemik. Salah satu polemik yang ditimbulkan oleh orang kebanyakan ialah pemakaian gelaran “Yang Berhormat” (YB) ketika ketiadaan badan perundangan.

Walaupun begitu, artikel ini tidaklah bertujuan untuk mengambil alih bidang kuasa mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan. Artikel ini hanyalah semata-mata ingin menjelaskan perkara yang berkaitan berdasarkan sumber sahih yang diperoleh dari pihak berkuasa negeri dan Persekutuan.

Sama ada semua sedia maklum mahupun tidak, pemakaian gelaran YB di peringkat kebangsaan dikawal oleh Surat Pekeliling Am 4/2014, Jabatan Perdana Menteri bertarikh 30 Jun 2014. Menurut pekeliling tersebut, gelaran YB hanya dipakai oleh semua Menteri, semua Timbalan Menteri serta semua Ahli Parlimen, baik Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara. Walau bagaimanapun, pekeliling yang sama tidak menyatakan had penggunaan gelaran tersebut.

Begitulah jua keadaannya di peringkat negeri. Mengikut kelaziman setiap negeri, gelaran YB dikurniakan kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Pegawai Kewangan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri serta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Begitu pun, setiap negeri mempunyai peruntukan serta amalan tersendiri dalam menentukan pemakaian gelaran YB.

Di Johor, misalnya, gelaran YB turut dikurniakan kepada Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja serta semua penyandang darjah kebesaran negeri yang membawa gelaran Dato’. Di Negeri Sembilan dan Kelantan, gelaran YB turut dikurniakan kepada Mufti Kerajaan Negeri di samping gelaran Sahibus Samahah.

Di Sabah, gelaran YB dikawal oleh dikawal oleh Jabatan Ketua Menteri menerusi suatu surat bertarikh 1 September 1996 dan dikurniakan kepada semua Menteri dan Pembantu Menteri, SUK serta semua ADUN. Sarawak turut memberikan peruntukan serupa kepada semua Menteri dan Menteri Muda, SUK dan semua ADUN. Namun begitu, tiada ketetapan mengenai kawalan pemakaian gelaran YB dari segi masa dan keadaan.

Hakikatnya, yang mengehadkan masa dan keadaan pemakaian gelaran YB oleh orang-orang yang berhak ialah Perlembagaan Persekutuan dan Negeri. Hal ini demikian kerana, kedua-dua undang tersebut merupakan panduan asas kepada masa dan keadaan sesuatu jawatan yang membawa gelaran YB. Secara asasnya, gelaran YB disematkan kepada orang yang berhak sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Perkara 43 dan 43A, Perlembagaan Persekutuan, mengukur tempoh perkhidmatan Menteri dan Timbalan Menteri bermula daripada angkat sumpah jawatan sehingga orang berkenaan meletak jawatan, hilang kelayakan menjawat jawatan tersebut, meninggal dunia atau tertubuhnya Kabinet baharu. Pembubaran Parlimen tidak menjejaskan Menteri dan Timbalan Menteri.

Perkara yang sama terpakai bagi Menteri Negeri Sabah dan Sarawak, Menteri Muda Negeri Sarawak, Pembantu Menteri Negeri Sabah serta Ahli EXCO negeri-negeri lain sama ada ketika wujudnya DUN atau sebaliknya. Dalam konteks Sabah, perkara tersebut termaktub dalam Perkara 6(3) dan 7(1), Perlembagaan Negeri Sabah.

Perkara yang sama turut terpakai bagi Ahli Parlimen tetapi dengan sedikit perbezaan. Walaupun keanggotaan seseorang dalam Parlimen bermula dari tarikh angkat sumpah jawatan, Seksyen 13(1), Akta Pilihan Raya 1958 menetapkan perkhidmatan seseorang Ahli Parlimen bermula dari tarikh seseorang memenangi pilihan raya sesuatu kawasan Parlimen. Walau bagaimanapun, peruntukan tersebut hanya terpakai untuk seseorang Ahli Dewan Rakyat.

Pengakhiran perkhidmatan Ahli Parlimen pula ditentukan pada waktu pembubaran Parlimen, perletakan jawatan atau hilang kelayakan menganggotai Parlimen. Perkara yang serupa terpakai untuk ADUN di semua negeri berdasarkan peruntukan undang-undang yang disediakan di negeri masing-masing.

Dalam pada itu, Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan DUN berkhidmat bermula pada hari angkat sumpah jawatan sehingga hari pertama Dewan Rakyat atau DUN baharu bersidang atau sehingga orang yang berkenaan meletak jawatan, hilang kelayakan memegang jawatan atau meninggal dunia.

Begitulah juga dengan Presiden dan Timbalan Presiden Dewan Negara; hanya pengakhiran yang sedikit membezakan. Pengakhiran mereka diukur pada hari terakhir penggal keanggotaan dalam Dewan Negara sama seperti Ahli Dewan Negara yang lain. Harus diingat bahawa Dewan Negara tetap wujud walaupun ketika Parlimen dibubarkan. Oleh itu, keanggotaan Ahli Dewan Negara tetap berjalan walau apa pun keadaan.

Penjawat-penjawat awam yang berkelayakan menggunakan gelaran YB, seperti SUK, Pegawai Kewangan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri dan Mufti Kerajaan Negeri, kekal menggunakan gelaran tersebut bermula dari tarikh pelantikan sehingga persaraan atau penamatan kontrak jawatan yang tidak diperbaharui. Peruntukan gelaran YB di negeri lain untuk orang-orang lain yang berhak bergantung kepada budi bicara Raja Pemerintah atau Yang di-Pertua Negeri, enakmen negeri atau keputusan EXCO.

Kesimpulannya, gelaran YB, apa pun perspektifnya, bersifat sementara. Menteri (termasuk di Sabah dan Sarawak), Timbalan Menteri, Ahli EXCO, Menteri Muda (Sarawak) dan Pembantu Menteri (Sabah) tetap menggunakan gelaran YB sehingga Kabinet atau EXCO baharu ditubuhkan pasca pilihan raya Parlimen atau Negeri walaupun mereka bukan lagi Ahli Dewan Rakyat atau ADUN.

Yang kehilangan gelaran YB setelah pembubaran Parlimen dan DUN hanyalah Ahli Dewan Rakyat dan ADUN yang tidak memegang jawatan-jawatan berkaitan. Hanya yang memenangi kerusi akan menggunakannya sama ada untuk pertama kali atau kali yang berikutnya.

Untuk kesekian kalinya, artikel ini hanyalah semata-mata meleraikan polemik yang membelenggu sesetengah rakyat. Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri (di peringkat kebangsaan) atau Bahagian Istiadat dan Protokol Negeri (di peringkat negeri) lebih berautoriti dalam hal penggunaan gelaran YB oleh orang-orang yang berhak.

__________

Rujukan

Malaysia (2014, Jun 30). Surat Pekeliling Am Bilangan 4 Tahun 2014: “Panggilan Hormat dan Kaedah Penggunaannya”.

Malaysia (2016). Akta Pilihan Raya 1958

Malaysia (2016). Federal Constitution.

Sabah (1996, September 1). Susunan Keutamaan Negeri Sabah.

Sabah (2016). Constitution of the State of Sabah

Sarinah Mat Kasim (2017, Ogos 9). Mufti Negeri Sembilan sudah lama bertaraf EXCO. Sinar Harian.

Comments