Syariat Memelihara Maslahat Umat


"Matlamat menghalalkan cara bukanlah suatu kaedah yang datang daripada Islam. Halal dan haram dalam Islam, sesungguhnya, telah ditentukan oleh Allah SWT dan bukan semata-mata berdasarkan niat."

Saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, dengan melaksanakan segala suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Syariat Islam disusun untuk mengatur kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara, demi kebahagiaan di dunia serta akhirat, yang bersumberkan kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias. Syariat Islam merupakan suatu sistem yang sempurna, bersifat sejagat serta sesuai untuk semua lapisan masyarakat tanpa batasan masa atau sempadan.

Setiap Mujtahid (orang yang berijtihad) terikat dengan sumber tersebut dalam mengeluarkan pandangan, selain asasnya yang telah diteguhkan pada zaman Rasulullah SAW. Inilah perkara yang sangat penting untuk dimiliki dan difahami oleh masyarakat supaya dijadikan panduan dalam kehidupan.

Abdullah bin Masud RA berkata: “Rasulullah SAW pernah melukis satu garisan dengan tangannya di atas tanah dan bersabda: Inilah jalan yang lurus (jalan Allah). Kemudian Baginda melukis pula garisan di kanan dan kirinya pada garis lurus tadi dan bersabda: Di sini ada banyak jalan; setiap daripadanya ada syaitan yang akan menyeru kalian semua kepadanya. Kemudian Baginda membaca ayat al-Quran, (Surah al-An’aam, ayat 153) yang mana bunyinya ...dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus; maka hendaklah kamu menurutnya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana kesemua jalan itu hanya akan memisahkan kamu daripada jalan itu (jalan Allah); begitulah Allah perintahkan kamu supaya kamu bertaqwa.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Syariat Islam merangkumi ajaran yang lengkap dengan elemen ibadah, muamalat, munakahat dan jenayah. Tidak ada satu aspek pun yang tertinggal sama ada pada lahiriah atau batiniah. Setiap perkara yang diperintahkan merupakan punca kebaikan untuk agama dan diri seorang Muslim. Walaupun fitrah mendorong untuk maju, Islam tetap menyediakan peraturan yang jelas bagi memastikan kehidupan manusia sentiasa mendapat keredhaan Allah. Firman Allah SWT dalam Surah al-Jathiyah, ayat 18:

“Kesudahannya, Kami jadikan kamu (wahai Muhammad, dan utuskan kamu) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) daripada hukum-hukum agama, maka turutilah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).”

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Kebelakangan ini, kita dapat saksikan bagaimana sesetengah masyarakat mengambil enteng penggunaan istilah “matlamat menghalalkan cara” sehingga ada yang sanggup melakukan perkara-perkara yang terkeluar daripada landasan syariat dan menghilangkan jati diri sebagai seorang Muslim. Sebagai contoh, menggunakan wang daripada sumber yang haram seperti judi, curi, rasuah dan riba untuk bersedekah.

Media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram dijadikan medium bagi menghalalkan perbuatan masing-masing. Pertimbangan mereka hanya semata-mata ke arah kebendaan dan keduniaan tanpa menitikberatkan soal maruah, tanggungjawab dan kehormatan. Mereka terkeliru dalam memahami akidah berinteraksi dengan al-Quran dan as-Sunnah. Maka, tidak hairanlah jika ada dalam kalangan mereka yang bersimpati dan membantu perjuangan kumpulan atau individu berkaitan.

Menyedari keadaan ini, “matlamat menghalalkan cara” bukanlah suatu kaedah yang datang daripada Islam. Halal dan haram dalam Islam, sesungguhnya, telah ditentukan oleh Allah SWT dan bukan semata-mata berdasarkan niat. Hal ini demikian kerana, niat yang baik tidak memadai tanpa didasari dengan petunjuk yang benar. Tanpa syariat, manusia akan terumbang-ambing dan berada dalam kegelapan. Akibatnya, banyak kemelut dan permasalahan yang terpaksa dihadapi; sebahagiannya berterusan tak berpenghujung.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Sekiranya syariat dilaksanakan dengan sebenarnya, maka terserlahlah keindahan Islam secara realiti dan bukan sekadar teori. Kesempurnaan Islam dalam menjaga sahsiah dan tingkah laku telah menjadikan umat Islam dikenali sebagai umat yang memiliki akhlak yang terpuji. Hakikatnya, tiada satu sistem pun di dunia ini yang mengatasi Islam. Firman Allah SWT dalam Surah asy-Syura, ayat 15:

“Oleh hal yang demikian, maka serulah (mereka, wahai Muhammad, kepada agama yang benar), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: Aku beriman kepada segala Kitab yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Bagi kami amalan kami, bagi kamu pula amalan kamu. Tidaklah patut ada sebarang perbalahan antara kami dengan kamu (kerana kebenaran sudah terang lagi bersuluh). Allah akan menghimpunkan kita semua bersama (pada Hari Akhirat), dan kepada-Nya jualah tempat kembali semua (untuk dihakimi dan diberi balasan).”

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Mengakhiri khutbah, marilah kita renungi intipati-intipati penting sebagai pedoman dalam kehidupan kita.

Pertama: Syariat merupakan satu peraturan yang lengkap yang diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia sebagai panduan mereka dalam menempuh kehidupan.

Kedua: Islam tidak membenarkan prinsip “matlamat menghalalkan cara”. Halal dan haram dalam Islam, sesungguhnya, telah ditentukan oleh Allah SWT.

Ketiga: Peliharalah kehidupan ini dengan mematuhi syariat Islam pada setiap masa.

“...dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan agama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang membolehkan mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang). Berlakunya (perselisihan itu) adalah semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri; dan kalaulah bukan kerana telah terdahulu kalimah ketetapan daripada Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka; dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi kitab agama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap kitab itu.” (Surah asy-Syura, ayat 14)

Jumaat, 30 Mac 2018.
Masjid al-A'laa, Kampung Lokub, Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.
Khutbah terbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan suntingan.

Comments