Surat Cinta Kedua untuk Sungai Pusu


Ketika surat ini ditulis, sudah lebih sebulan saya berada di universiti baharu. Saya pernah pinjamkan diri saya seketika kepada sebuah sekolah rendah. Tetapi, kerana cinta kepada agama dan negara, saya meninggalkan alam persekolahan dan kembali ke pendidikan tinggi.

Untuk memilih jalan ini sesungguhnya bukan mudah, apatah lagi untuk mengharunginya untuk sekurang-kurangnya lima tahun lagi. Walaupun ada yang menggalakkan saya terus mengharunginya, ada juga yang mahu saya menjadi guru di sekolah untuk ke sekian kali.

Tetapi, saya tidak ada jawapan untuk pilihan kedua. Oleh itu, saya memilih untuk terus berada di jalan ini, kalau bukan kerana ingin mengejar tingkat kesarjanaan yang lebih tinggi, kerana ingin memperbaiki peribadi dari semua segi.

Saya memang pernah bermimpi untuk menerima ijazah kedoktoran pada waktu yang sama semua pelajar saya menerima ijazah pertama dari universiti masing-masing. Walaupun begitu, saya hanya boleh berharap kerana yang tahu di manakah saya pada saat itu hanyalah Yang Maha Mengetahui segala-segalanya.

Sedangkan pengajian peringkat sarjana belum selesai, mengapa sudah bermimpi untuk menerima ijazah kedoktoran? Tetapi, biarlah.

Saya tinggalkan harapan itu sebagai motivasi kepada semua pelajar saya, khususnya mereka yang menjadi sahabat rapat saya. Ketika surat ini ditulis, sebahagian mereka baru menerima keputusan SPM masing-masing dan sedang mempertimbangkan jalan yang berikutnya.

Sebahagian lagi masih berada di bangku sekolah. Sebilangan mereka, seperti Basil, tetap berulang alik di antara sekolah dan rumah pada waktu yang ditentukan setiap hari, manakala sebilangan yang lain tetap berada di sekolah, menjadi pelajar asrama yang telah ditentukan jadual hariannya.

Begitu pun, tidak semua mereka mengharungi hari-hari persekolahan mereka dengan pembelajaran, ulang kaji dan peperiksaan sahaja. Sebilangan mereka meneruskan perkhidmatan kepada sekolah menerusi jawatan masing-masing. Muhammad Arif Farhan, misalnya, tidak setakat menyarung baju biru, tetapi juga mengetuai gerak kerja surau sekolah, terutamanya di luar waktu persekolahan.

Sebilangan yang lain pula tetap bersama kumpulan-kumpulan kebitaraan sekolah, meneruskan kegiatan dalam bidang kebitaraan masing-masing. Zarif Syazzuan bukanlah setakat pengacara majlis harapan, tetapi prospek kepada pergerakan nasyid sekolah.

Malangnya, saya bukan lagi anggota kepada sekolah itu. Oleh hal yang demikian, saya tidak dapat memberikan sokongan yang padu dan sempurna seperti yang diharapkan—suatu yang sesungguhnya disesali oleh sekolah dan diri saya sendiri.

Begitu pun, saya tidak pernah menyesal untuk terus dianggap sebahagian daripada keluarga sekolah itu di mana pun saya berada. Bukanlah perkhidmatan dan sumbangan saya kepada sekolah menjadi punca, tetapi keadaan sekolah yang menukarkan saya daripada menjadi seorang pengkhidmat biasa kepada seorang rakan dan abang kepada semua.

Tolong ingatkan saya akan itu pada saat saya tidak mengingatinya lagi.

Lebih berharga bagi saya ialah untuk menjadi sahabat kepada 17 orang pelajar dan bekas pelajar sekolah itu. Alasan saya memilih untuk bersahabat dengan mereka, biarlah saya simpan untuk tatapan diri saya. Saya tidak kisah siapa pun mereka, di mana pun mereka berdiri dan apa pilihan hidup mereka.

Apa yang lebih penting, saya mahu mereka kekal menjadi sahabat rapat saya sampai bila-bila. Jikalau mereka tidak mampu menjaga, biarlah cara dan prinsip saya serta restu Yang Maha Esa yang melestarikannya.

Melainkan jika saya harus pergi dahulu, biarlah luahan Virgoun (2016) memberitahu mereka, dan mungkin jua kalian, “Bila habis sudah waktu ini, tak lagi berpijak pada dunia, telah aku habiskan sisa hidupku hanya untukmu...”

Kampung Dungun Timbok, Tuaran, Sabah.
25-28 Mac 2018.

Comments