Masjid dan Tadbir Urus Baik


Surau Nurul Yaqin, yang terletak tidak jauh dari Masjid an-Nur, sebenarnya jauh lebih baik daripada sebilangan kecil masjid yang terletak di sekitar Daerah Tuaran. Surau tersebut milik IPGM Kampus Kent tetapi diuruskan sama oleh SM Sains Sabah sejak awal tahun 2016.

Begitu pun, rekod tersebut tidak hanya disumbangkan oleh warga kedua-dua institusi yang menghidupkannya pada setiap hari pengajian. Tadbir urus baik serta hubungan baik dengan komuniti yang sebenarnya menjadi penyumbang besar kepada rekod tersebut.

Hubungan baik surau dengan komuniti tidaklah diukur menerusi kekerapan masyarakat sekitar mengunjungi surau pada setiap hari, tetapi kekerapan masyarakat sekitar menyumbang kepada surau menerusi penganjuran dan penglibatan dalam pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada pelbagai kumpulan sasar di dalam mahupun di luar sekolah.

Begitulah juga dengan tadbir urus baik yang diamalkan oleh surau ini. Tadbir urus baik, sesungguhnya, bukanlah terletak pada kewujudan serta kehebatan organisasi, tetapi pada halatuju yang digariskan, pencapaian yang ditunjukkan, serta kebertanggungjawaban terhadap halatuju, pencapaian serta penglibatan semua pihak berkepentingan.

Kesemua ciri tadbir urus baik tersebut dipertanggungjawabkan kepada sebuah organisasi yang menjadi pihak berkuasa. Dalam konteks Sabah, organisasi masjid terdiri daripada Pegawai Masjid (Pegawai) serta Jawatankuasa Kariah (JK) yang tarafnya sama tetapi mempunyai bidang tugas yang berbeza.

Pegawai diketuai oleh seorang Imam Kariah dan dibantu beberapa orang Imam Rawatib, Bilal dan Siak, manakala JK pula dipimpin oleh seorang Pengerusi dan biasanya dibantu oleh 12 orang ahli yang dilantik oleh kariah dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kariah. Kedua-dua Pegawai dan JK melapor kepada Pejabat Hal Ehwal Agama Islam Daerah.

Pegawai bertanggungjawab terhadap perjalanan harian masjid, seperti solat berjemaah, khutbah, urusan perkahwinan, pungutan zakat fitrah serta pengurusan jenazah. JK, di sisi yang berbeza, bertanggungjawab terhadap perancangan dan pelaksanaan segala aktiviti kariah yang bersifat berkala, seperti pengajian berkala, ceramah, forum, majlis berbuka puasa, penyampaian zakat dan sedekah serta sambutan keramaian.

Sesungguhnya keberterusan jadual harian masjid serta penganjuran aktiviti-aktiviti berkala masjid dengan kerjasama dan sokongan jabatan dan agensi kerajaan, syarikat dan perniagaan, badan bukan kerajaan serta orang perseorangan, sentiasa diharapkan oleh ahli-ahli kariah, terutamanya mereka yang selalu datang ke masjid.

Malangnya, ada sebilangan kecil masjid di sekitar daerah yang didapati tidak telus, malah tidak bertanggungjawab dalam menggerakkan masjid. Masjid yang dekat dengan rumah saya – namanya dirahsiakan – termasuk dalam golongan tersebut.

Jangankan jadual harian Imam dan Bilal tidak diumumkan, siapa yang menjadi Pegawai dan anggota JK pun tidak diketahui. Apa yang ingin dilaksanakan oleh JK sepanjang tahun juga tidak dihebahkan. Sampai ke satu tahap, jemaah berfikir bahawa JK hanya muncul dan berfungsi pada bulan Ramadhan dan dua Hari Raya.

Begitulah juga dengan jumlah sumbangan yang dikutip oleh kariah pada setiap Jumaat serta dua Hari Raya juga tidak disampaikan kepada umum. Walhal, kewajipan kariah untuk mengumumkan kedudukan kewangan kariah pada setiap minggu tidak pernah digugurkan. Sekiranya sumbangan yang dikutip hanyalah satu sen, JK tetap perlu menghebahkan kepada jemaah.

Apa yang mengejutkan jemaah ialah pemasangan kotak pada setiap suis pendingin hawa yang dipasang di dalam masjid. Lebih teruk daripada itu, jemaah dimaklumkan dalam satu hebahan khas bahawa “pendingin hawa hanya akan dipasang pada waktu tertentu bagi mengelakkan pembaziran”. Matlamat tidak menghalalkan cara.

Maka, tidak hairanlah, walaupun masjid dikelilingi oleh berbelas buah rumah yang kesemuanya dihuni oleh orang Islam, masjid tersebut hanya dikunjungi oleh empat hingga lima orang pada setiap kali waktu solat, setiap hari. Sudahlah sebilangan mereka jauh daripada hidayah untuk datang ke masjid, keadaan masjid itu sendiri gagal memotivasikan jemaah untuk memenuhinya setiap hari.

Masjid, dari segi perjalanan harian, tidak akan berjaya jika yang ada Imam yang sepatutnya bertugas mengikut jadual tetapi tidak muncul tanpa alasan dan pengganti yang munasabah. Lebih malang lagi keadaannya jika Imam tersebut mengambil imbuhan bulanan tetapi hanya datang pada Jumaat tertentu lalu mengisytiharkan sebaliknya dalam buku rekod harian.

Begitulah juga dari segi perjalanan tahunan. Walaupun tanggungjawab untuk menghidupkan masjid kembali kepada diri setiap ahli kariah, tanggungjawab untuk memenangi hati ahli kariah berasaskan prinsip-prinsip yang digariskan oleh al-Quran, as-Sunnah serta undang-undang yang digubal dan dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tetap diikat kepada Pegawai dan JK.

Caranya tidak setakat menziarahi ahli-ahli kariah secara berkala, tetapi juga memperhalusi semula dasar dan halatuju masjid, menggalakkan ahli-ahli kariah menjayakan aktiviti-aktiviti kariah serta mengundang sinergi pihak lain untuk menjayakan sesebuah masjid. Itu yang diistilahkan sebagai “memasyarakatkan masjid, memasjidkan masyarakat”.

Isunya masa kini bukanlah untuk menjadikan masjid itu mendapat pengiktirafan cemerlang di peringkat tertentu, tetapi untuk menjadikan masjid tersebut sebuah institusi keagamaan dan kemasyarakatan yang sentiasa hidup, dihormati kawan dan disegani lawan.

Oleh itu, belajarlah dari Surau Nurul Yaqin, lihatlah kepada halatujunya, contohilah pula permuafakatan warganya. Belajarlah juga dari masjid-masjid contoh lain di sekitar negeri mahupun negara. Banyak manfaat yang boleh dibawa ke masjid kita untuk dikongsi bersama. Revolusi Perindustrian 4.0 memerlukan Islam bergerak lebih pantas serta mendahului revolusi tersebut dan bukannya ditinggalkan jauh di belakang.

Hanya masjid berkesan boleh membawa imej Islam yang ceria, indah dan mudah kepada semua merentasi bangsa dan pemikiran yang berbeza. Masjid berkesan, agar mudah difahami, merupakan sebuah masjid yang sentiasa dihidupkan oleh jemaah secara harian mahupun berkala, diuruskan secara telus, bertanggungjawab dan berasaskan pencapaian, serta disokong dari pelbagai segi oleh semua pihak berkepentingan.

Photo courtesy of Hazman Yaplin (2013)

Comments