Konsep Tabayyun dalam Mendepani Ledakan Maklumat


"Waspadalah! Menyebarkan sesuatu yang tidak benar tanpa diselidiki tahap kesahihannya, jelas dilarang oleh Allah SWT, apatah lagi jika berita tersebut membawa kepada pergaduhan dan perpecahan."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, dengan melaksanakan segala suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bohong adalah menyatakan sesuatu yang tidak sesuai dengan kenyataan atau berlainan dengan hal sebenarnya. Dalam konteks ajaran Islam, berbohong merupakan salah satu perbuatan yang menjurus kepada akhlak yang tercela kerana memberi kerugian kepada orang lain, bahkan membawa mudarat yang sangat teruk. Oleh itu, tidak hairanlah perbuatan berbohong termasuk di dalam dosa-dosa besar.

Berdasarkan kemelut yang melanda negara dan dunia mutakhir ini, kita dapati terlalu banyak berita dan maklumat yang tidak benar tersebar sepantas kilat – mungkin juga sepantas cahaya, siapa tahu. Kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi, termasuklah media sosial, telah disalahgunakan sebagai alat untuk menabur fitnah atau spekulasi yang sengaja dibuat-buat bagi tujuan hiburan dan lawak jenaka. Malah, ada yang mengecam dan membuat tuduhan melulu bermotifkan populariti supaya menjadi terkenal.

Waspadalah! Menyebarkan sesuatu yang tidak benar tanpa diselidiki tahap kesahihannya, jelas dilarang oleh Allah SWT, apatah lagi jika berita tersebut membawa kepada pergaduhan dan perpecahan. Justeru, Allah SWT menjelaskan kepada kita kaedah yang betul apabila memberi atau menerima sesuatu maklumat sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Hujuraat, ayat 6:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan”.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Ayat tadi menunjukan betapa mustahaknya kita untuk memeriksa, menyelidik dan menyiasat terlebih dahulu kebenaran setiap berita yang diterima sebelum mengambil apa-apa tindakan. Usahlah kita terburu-buru dan hilang sabar seperti seorang munafik. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa, ayat 83:

“...dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; walhal jikalau mereka kembalikan hal itu kepada Rasulullah dan kepada Ulul Amri di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jikalau bukan kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu, tentu kamu mengikut Syaitan kecuali sedikit sahaja dalam kalangan kamu.”

Satu kisah diriwayatkan mengenai al-Walid bin Uqbah yang diutuskan oleh Rasulullah SAW untuk memungut zakat daripada Bani Mustaliq. Ketika berita ini didengari oleh Bani al-Mustaliq, mereka sangat gembira dan keluar beramai-ramai untuk menyambut kedatangan utusan tersebut.

Namun sebelum al-Walid tiba, ada seorang munafik memberitahunya bahawa Bani Mustaliq ini telah murtad, menolak dan tidak mahu membayar zakat, bahkan berhimpun di luar kota untuk menghalang kedatangannya. Dengan khabar ini, al-Walid segera kembali ke Madinah dan melaporkannya kepada Rasulullah SAW. Baginda SAW sangat marah mendengarnya lalu menyiapkan sepasukan tentera untuk memerangi mereka.

Pada ketika ini, datang wakil daripada Bani Mustaliq bertemu baginda SAW dan menerangkan hal yang sebenarnya iaitu mereka bukan berkumpul untuk membunuh al-Walid, tetapi adalah untuk menyambut kedatangan wakil daripada Rasulullah SAW untuk diserahkan sedekah ataupun zakat mereka.

Sidang Jumaat yang budiman,

Sebagai mukmin, kita perlu berhati-hati dan berwaspada apabila menyampaikan sesuatu berita. Pastikan berita itu mempunyai nilai kebaikan dan manfaat kepada masyarakat. Jika tidak, jangan disampaikan maklumat sehingga boleh menimbulkan ketegangan dalam soal agama, maruah dan hubungan kemasyarakatan.

Tindakan Tabayyun membantu kita memproses maklumat yang benar dan lebih tepat serta tidak memudaratkan mana-mana pihak yang berkaitan. Suasana ini menjadikan kehidupan masyarakat dalam keadaan aman damai dan sentiasa bersangka baik antara satu sama lain malah menjadi intipati kemajuan dan kesejahteraan sesuatu ummah dan negara.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Mengakhiri khutbah, marilah kita renungi intipati-intipati penting sebagai pedoman dalam kehidupan kita.

Pertama: Pelaksanaan Tabayyun merupakan ibadah yang dapat meningkatkan iman.

Kedua: Berhati-hati dan tidak terburu-buru apabila menyebarkan maklumat sehingga terbukti benar lagi sahih.

Ketiga: Jangan sekali-kali mereka-reka cerita, ataupun menyebarkan berita yang belum dipastikan kesahihannya.

“...dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak ketahui; sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan ditanya apa yang dilakukan.” (Surah al-Israk, ayat 36)

Jumaat, 16 Mac 2018.
Masjid at-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.
Khutbah terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan suntingan.

Comments