Kembara ke Negara Brunei Darussalam


Dengan Bismillah, saya dan keluarga mengembara ke Negara Brunei Darussalam (NBD) pada Sabtu (20 Januari). Walaupun saya dan adik-beradik saya telah mengembara ke Singapura dan Korea Selatan dalam tiga buah pengembaraan berasingan pada tahun 2016 dan 2017, ini merupakan kali pertama kami sekeluarga mengembara ke luar Malaysia.

Sebenarnya nenek moyang saya berasal dari NBD. Sejarahnya terlalu panjang untuk diceritakan. Diringkaskan cerita, sebahagian kekal di NBD dan menjadi Rakyat Sultan; itulah keluarga sepupu ayah. Sebahagian lagi, termasuk kami sekeluarga, menetap di Kota Kinabalu dan menjadi warganegara Malaysia, anak negeri Sabah.

Walaupun NBD boleh dicecah dengan jalan darat, untuk sampai ke NBD bukanlah mudah. Bandar Seri Begawan (BSB) terletak lebih kurang 355 kilometer dari rumah kami di Tuaran. Lebih kurang lima jam perjalanan berkereta (tanpa henti) diperlukan untuk sampai ke BSB melalui jalan darat. Oleh kerana kami bermalam di Sipitang, perjalanan kami ke NBD mengambil masa dua hari; tiga jam pada hari pertama dan tiga jam lagi pada hari kedua.

Untuk masuk ke dalam NBD juga bukanlah mudah. Empat daripada lima pintu sempadan perlu kami lalui untuk sampai ke BSB: sempadan Sabah-Sarawak di Sindumin-Merapok serta sempadan Malaysia-NBD di Mengkalap-Labu, Ujung Jalan-Pandaruan dan Tedungan-Kuala Lurah. Dalam erti kata lain, sekurang-kurangnya enam kali pasport dimeterai oleh Malaysia dan NBD untuk sampai ke BSB. Sempadan Sungai Tujoh-Sungai Tujuh tidak kami lalui kerana tidak menuju ke Miri.

Jambatan Temburong yang menghubungkan Labu Estate di Daerah Temburong dan Mengkubau di Daerah Brunei-Muara sedang dibina dan dijangka siap pada penghujung tahun 2019. Jambatan sejauh 30 kilometer itu bukan sahaja akan memudahkan dan memendekkan perjalanan mereka yang datang dari Daerah Temburong ke tiga buah daerah yang lain, tetapi juga akan merancakkan kegiatan sosioekonomi NBD secara keseluruhannya.

Apabila siapnya dan rasminya jambatan tersebut, warganegara Malaysia yang memasuki NBD menggunakan jalan darat akan menerima dua cop sahaja pada pasportnya, iaitu di Labu-Mengkalap. Warganegara Malaysia tidak perlu lagi keluar ke Ujung Jalan-Pandaruan dan kemudiannya ke Tedungan-Kuala Lurah – yang jaraknya 57 kilometer – untuk menuju ke BSB kerana adanya jambatan tersebut.

Antara benda pertama yang kami lihat setibanya kami di NBD, secara spesifiknya setelah kami memasuki Daerah Brunei-Muara melalui Kuala Lurah, ialah papan tanda Tasbih, Tahmid dan Takbir. Papan tanda tersebut memberi isyarat kepada pengembara bahawa NBD merupakan Negara Zikir, yakni sebuah negara yang, menurut Sultan Hassanal Bolkiah (2007), “sentiasa mengagungkan Allah supaya kita selalu berada dalam perhatian dan pemeliharaan-Nya.”

Papan tanda lain yang boleh dijumpai di sepanjang jalan NBD ialah papan tanda yang mempromosikan Bahasa Melayu seperti “Utamakan Bahasa Melayu” dan “Bahasa Melayu Bahasa Rasmi Negara” yang ditulis dalam tulisan jawi dan rumi. Yang didaulatkan di NBD bukan sahaja bahasa kebangsaan, tetapi juga tulisan jawi yang menunjangi identiti kebangsaan NBD. Itulah contoh falsafah NBD, Melayu Islam Beraja (MIB).

Namun begitu, falsafah MIB tidak terhenti pada papan-papan tanda jalan raya sahaja. Falsafah MIB, sesungguhnya, melengkapi aspek ekonomi, sosial dan politik NBD. Melihat kepada budi pekerti rakyat Sultan, seni bina mercu tanda NBD yang didirikan di BSB, serta peristiwa yang melatari lembaran sejarah NBD, sudah cukup untuk menggambarkan betapa berertinya falsafah MIB kepada rakyat Sultan serta NBD itu sendiri.

Jikalau tujuan pengembaraan kami ke NBD hanya untuk berkenalan dengan MIB dengan lebih dekat, cukuplah sehari kami berjalan di sekitar Daerah Temburong dan Daerah Brunei-Muara, singgah membeli Nasi Katok di Junjongan, berhenti solat di Masjid Omar Ali Saifuddin, melawat Jame’ Asr Hassanil Bolkiah dan Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja serta menjenguk rumah sepupu ayah di Parit (bukan Kampung Parit di BSB, tetapi Parit yang berdekatan dengan Masin). Tetapi, jikalau tujuan pengembaraan kami adalah untuk melihat keadaan NBD secara keseluruhan, sehari sebenarnya tidak cukup.

Walaupun NBD nampak kecil dalam peta, NBD merupakan sebuah negara yang besar. Keluasan NBD hampir sama dengan keluasan Daerah Rompin, Pahang. Oleh kerana hanya Daerah Temburong dan Daerah Brunei-Muara yang kami lalui di NBD, Daerah Tutong – yang sebenarnya tidak jauh dari Kuala Lurah – dan Daerah Belait – yang hampir sekali dengan Bandaraya Miri, Sarawak – tidak sempat kami lalui dan, oleh itu, harus kami lalui pada kunjungan yang akan datang.

Sesungguhnya NBD bukan sahaja kaya ekonominya, tetapi juga kaya sosialnya. Kebanyakan rumah yang dibina di NBD amatlah besar, besar lagilah pula budi pekerti yang ditanam dalam diri setiap warga dan keluarga yang wujud di NBD. MIB bukan sahaja menjadi sebab kepada keamanan dan kemakmuran NBD, tetapi juga tunjang kepada kestabilan NBD secara berterusan. Banyak perkara yang kita boleh belajar dari NBD.

Comments